Banjir UM Reda! Menerusi kenyataan media menerusi facebook rasmi universiti berkenaan, Universiti Malaya ingin memaklumkan bahawa keadaan banjir sekitar kampus telah reda manakala semua laluan telah dibuka semula.
Universiti Malaya juga mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kejadian ini.
Semua staf, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kampus terpelihara.
Terdahulu, Tular sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X, air banjir sudah memasuki kawasan kampus dan dilaporkan agak tinggi parasnya.
Ads
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang pegawai keselamatan memberi amaran untuk tidak menggunakan laluan ‘gate’ Kuala Lumpur untuk memasuki Universiti Malaya ekoran paras air tinggi.
Sikap prihatin lelaki berkenaan memberitahu situasi terkini di UM itu membantu kepada pengguna dan pelajar yang bercadang menggunakan laluan berkenaan. Berlatar belakang air banjir, lelaki itu memberi tahu info semasa meredah banjir.
“Kepada semua warga kampus pelajar dan pengguna, jangan masuk melalui ‘gate’ Kuala Lumpur ke dalam UM di sebalah Masjid Ar Rahman kerana banjir yang di paras agak tinggi.
Ads
“Air banjir juga turut melimpah di hadapan fakulti undang-undang dan di jambatan lingkungan budi,” katanya
Ads
INFO:
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pagi Selasa di beberapa kawasan dalam negara. Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru), Sarawak: Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis). Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam
Proses gali semula kubur Syamsul Haris hari ini, tanah perkuburan mula dipenuhi orang ramai. Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, dijadualkan bermula sekitar jam 8.30 pagi ini bagi tujuan bedah siasat kedua.
Seawal jam 7 pagi, suasana di luar pintu utama Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, sudah mula dipenuhi ahli keluarga dan penduduk setempat yang hadir untuk mengikuti perkembangan.
Pihak polis turut mengawal ketat kawasan berkenaan bagi memastikan hanya individu berkaitan dibenarkan masuk, selain menjaga kelancaran proses penggalian semula dan mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Sekitar jam 7.45 pagi, ibu kepada Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilihat tiba di lokasi dan masuk ke kawasan tanah perkuburan untuk menyaksikan proses berkenaan.
Difahamkan, kerja penggalian itu akan dipantau oleh pegawai Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam keluarga, pegawai serta anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan wakil daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Selesai sahaja proses penggalian, jasad Allahyarham Syamsul Haris akan dibawa terus ke HKL untuk tujuan bedah siasat.
Terdahulu, pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan kubur pelatih PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu digali semula. Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan perkara tersebut selepas menerima permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee.
Menurut keputusan mahkamah, proses penggalian perlu dilakukan bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas mengikuti latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. Jenazah beliau kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
28 Julai 2025
Syamsul Haris, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
29 Julai 2025
Jenazah Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Rinching Hulu, Semenyih.
1 Ogos 2025
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris berdasarkan hasil bedah siasat awal yang tidak menemui kecederaan mencurigakan dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menolak penjelasan awal bahawa anaknya meninggal dunia kerana sawan dan menuntut siasatan menyeluruh termasuk bedah siasat kedua.
2 Ogos 2025
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menubuhkan jawatankuasa yang turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.
11 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Permohonan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui KPT bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
13 Ogos 2025
Polis mengesahkan seramai 22 saksi sudah dirakam keterangan termasuk doktor (rawatan awal), doktor (bedah siasat), rakan sepelatih, jurulatih selain ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mohamed Khaled memaklumkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan dalam insiden berkenaan.
5 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya bagi membolehkan proses bedah siasat kedua.
19 Ogos 2025
Pendengaran hujahan permohonan notis usul supaya kubur Syamsul Haris digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
25 Ogos 2025
Ibu Allahyarham Syamsul Haris memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
26 Ogos 2025
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham.
29 Ogos 2025
Kerja penggalian semula kubur Allahyarham dilaksanakan hari ini bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dilaksanakan di HKL.
Zack X-Factor pilih jadi suri rumah demi anak-anak, isteri tentera darat. Sudah agak lama menyepi daripada dunia hiburan, pelakon dan penyanyi Zack X-Factor membuat keputusan berani dengan memberi tumpuan penuh sebagai suri rumah sejak dua tahun lalu.
Zack atau nama sebenarnya Zachery Francis Abu, 48, menjelaskan, beliau dan isterinya yang bertugas dalam tentera darat perlu membuat pilihan penting berkaitan penjagaan dua anak mereka berusia 10 tahun dan dua tahun.
“Saya pernah hantar anak ke pusat asuhan. Tetapi bila balik rumah saya lihat ada lebam sana sini. Jadi selepas berbincang kami sepakat bahawa salah seorang perlu berhenti kerja dan menjaga anak-anak.
“Jadi saya buat keputusan untuk mengalah dan mengambil alih tugas menjaga anak. Biarlah saya merasa bagaikan rasanya menjaga anak-anak.
“Selepas menjaga anak-anak apa yang boleh saya katakan bukan satu tugas yang mudah. Jika diberi pilihan antara bekerja dan menjaga anak-anak saya akan pilih bekerja,” katanya ketika ditemui di konsert Elite Live ’25 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon drama Si Capik itu menegaskan, pasangan yang bergelar suri rumah wajar dihargai kerana tanggungjawab tersebut sangat mencabar.
Katanya lagi, beliau tidak mengambil peduli tentang pandangan orang terhadap pilihannya.
“Saya tak peduli apa orang nak kata. Inilah peluang saya untuk menjaga anak-anak,” ujarnya.
Sepanjang tempoh itu, Zack mengakui banyak menolak tawaran lakonan kerana tidak mahu menjejaskan komitmen produksi.
“Saya tak mahu kelancaran penggambaran terganggu disebabkan saya. Jadi lebih baik tolak daripada membebankan pihak produksi dan diri saya sendiri. Biarlah saya berkorban.
“Awal-awal dulu saya rasa agak berat juga untuk menggalas tugas menjaga anak-anak sepenuh masa kerana tidak tahu bagaimana perjalan hidup. Tak tahu taraf kewangan macam mana sama ada kukuh atau tidak.
“Tetapi saya bernasib baik kerana isteri saya seorang tentera. Soal tempat tinggal tiada masalah kerana kami tinggal di dalam kem. Saya sudah biasa tinggal dalam kem sejak kecil kerana bapa saya merupakan seorang tentera udara,” kongsinya.
Selepas kembali bertemu rakan-rakan lama di pentas konsert Elite baru-baru ini, Zack kini terbuka hati untuk kembali aktif dalam bidang seni.
Penampilan semula Zack bersama empat anggota X-Factor lain iaitu Danny, Fendi, Shah dan Jim turut mencuri perhatian ramai. Walaupun lama tidak muncul, mereka masih tampil bertenaga dan menghiburkan peminat dengan vokal mantap serta gaya yang segak.
Hati seorang bapa luluh apabila mengetahui anak lelakinya yang berusia 14 tahun kini disiasat polis selepas didakwa membunuh rakan sekolah sendiri dalam kejadian tragis kes tikam pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam temu bual bersama China Press, lelaki berusia 40 tahun itu mengakui masih sukar menerima hakikat bahawa anaknya mampu bertindak sedemikian. Menurutnya, remaja itu seorang yang pendiam dan lebih suka memendam perasaan.
“Saya tidak sangka dia mampu melakukan perkara seperti ini. Anak saya seorang yang pendiam dan introvert,” katanya sebak.
Bapa itu turut mengakui, tiada kata maaf yang mampu menebus kehilangan nyawa pelajar perempuan berusia 16 tahun itu.
“Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan mereka,” katanya lagi sambil menahan tangisan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan penahanan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian badan.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang mendapatkan laporan forensik dan keterangan daripada rakan-rakan sekelas mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mengimbas kembali detik sebelum kejadian, bapa remaja itu berkata pagi tersebut bermula seperti biasa. Dia menghantar anaknya ke sekolah tanpa menyedari sebarang perubahan sikap.
Katanya, anaknya tidak menunjukkan tingkah laku luar biasa meskipun prestasi akademiknya agak lemah dan kadangkala kurang memberi tumpuan dalam kelas. Namun, anaknya bukan jenis yang gemar menimbulkan masalah.
“Anak saya tidak pernah bercerita tentang mangsa kepada saya sebelum ini,” katanya.
Tambah lelaki itu, insiden ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan mematahkan semangatnya sebagai seorang bapa.
“Anak saya seorang yang pendiam dan introvert. Walaupun ada sesuatu berlaku di sekolah sama ada dia dibuli atau tidak, dia tidak akan memberitahu saya.
Saya tahu berkata apa-apa sekarang sudah tidak berguna. Tiada apa yang boleh mengembalikan anak perempuan mereka,” katanya penuh kesal dan sebak.