Hakikatnya kita sering diuji daripada pelbagai sudut, dan ujian-ujian ini jugalah menyebabkan kita rasakan sesuatu yang menyakitkan hati. Ada yang berasa sedih, marah, benci dan pelbagai emosi negatif lainnya.
Pun begitu, dalam berdepan dengan ujian sebenarnya saat dan ketika itulah banyak menuntut kita bukan hanya untuk bersabar tetapi mendidik hati lebih terbuka berdepan dengan masalah. Andai terus diikut rasa hati, bimbang juga akhirnya badan rosak binasa.
Jadi bagaimana cara sewajarnya untuk seseorang itu segera bangkit daripada melalui saat-saat kepayahan dalam hidup agar diri dan hati tidak terus dirundung duka.
Hal ini dikongsikan oleh Ustazah Asma Harun untuk panduan bersama.
Berfikir berlebihan tentang perkara yang telah berlaku sangat merugikan masa, tenaga, emosi dan akal kita. Bahkan ia boleh menjejaskan kesihatan. Kita tak boleh sesekali mengubah apa yang telah berlaku walau dengan air mata darah sekali pun. Apa yang boleh kita buat saat ini,
➡Kesat air mata tu,
➡Tarik nafas,
➡Zikir, Ya Qawiyy (40x atau sebanyaknya), sudahi dengan doa – Ya Allah Ya Qawiyy Yang Maha Kuat, berilah aku kekuatan untuk menghadapi ujian ini.
➡Zikir, Ya Fattah (40x atau sebanyaknya), sudahi dengan doa – Ya Allah Yang Maha Membuka, bukakanlah jalan keluar daripada kesulitan, keresahan dan kesempitan ini.
➡ Lepas tu cepat-cepatlah buat kerja, atau apa-apa aktiviti fizikal, yang suri rumah kemas rumah atau buat operasi ke, yang berniaga buat cara orang berniaga, yang di pejabat jaga masa dan kualiti kerja.
Jatuh itu biasa. Bangkit setiap kali jatuh itu luar biasa. Jatuh kerana manusia, bangkitlah kerana allah. Dia sentiasa ada dekat dengan kita. Sangat dekat!
sumber : Asma Binti Harun