Bangkit Dari Derita Kanser Payudara. Ibu Ni Terus Tubuh Kelab Kanser Untuk Jaga Kebajikan Wanita Lain. Memang Terbaik!

Share

Mungkin andai tidak diceritakan, tiada siapa menyangka Puan Noorazziah Binti Ismail, 34 tahun ini sebenarnya merupakan cancer survival . Demi merawat kanser yang dihidapinya,  Puan Noorazziah akur menjalani pembedahan hingga terpaksa membuang payudara di sebelah kanan.

Pun begitu, sikapnya tetap optimis dan positif, hingga mampu menyembunyikan derita yang pernah ditanggungnya.

Apa yang pasti, membaca perkongsian kisahnya cukup terinspirasi. Bermula sebagai pesakit kanser payudara, kini bertindak sebagai pengasas dan juga President Kelab Kanser Pasir Gudang.

Semangat luar biasa yang ada pada dirinya, harus diserap oleh mereka yang kini sedang berjuang melawan kenser. Ayuh ikuti perkongsian kisahnya.

Cek sendiri

15/8/2016 – 4.30pm (sebelum tarikh tersebut saya demam on off lebih kurang 3 bulan lamanya. Pun begitu, pada hari tersebut ketika waktu mandi petang untuk menunaikan solat Asar, tergerak di hati  saya untuk membuat pemeriksaan sendiri pada bahagian payudara. Dari situ, saya dapati ada 2 biji ketulan keras di payudara sebelah kanan. Saya beritahu suami dan pada malam itu juga suami bawa saya ke klinik pakar sakit puan.

Doktor membuat ujian saringan ultrasound dan mendapati memang betul ada 2 biji ketulan lebih kurang besar guli di payudara sebelah kanan saya. Doktor bagi surat untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Saya ke hospital dan mula mengikut beberapa procedure doktor, ambil sample darah – Ultrasound – Biopsy…

Sah kanser!

Pada 19/10/2016 – 9.45am saya disahkan menghidap kanser payudara. Saya menangis semahunya. Dalam perjalanan pulang ke rumah dari hospital saya masih menangis. Pada tengah hari  tersebut saya minta izin pada suami untuk pulang ke kampung di Felda Palong 5, Gemas, Negeri Sembilan. Alhamdulillah tangisan saya terhenti di situ. Saya mula muhasabah diri, saya redha.

Allahuakhabar siapalah saya untuk menidakkan takdir dari Allah. Saya mempunyai seorang ibu, seorang abang, dua orang kakak dan seorang adik perempuan. Saya juga isteri dan ibu kepada seorang anak yang kini berusia 13 tahun.

Mereka segalanya, merekalah kekuatan saya yang sentiasa menyuntik semangat saya tiap masa. Perhatian daripada suami dari awal hingga kini tiada surutnya.

Saya jalani hidup seperti biasa sehingga ada yang tak percaya saya penghidap kanser payudara. Saya banyak dekatkan diri pada Allah. Alhamdulillah hidup saya lebih tenang.

Perjalanan melawan kanser

15/12/2016
Pembedahan ‘mastectomy’ right breast (buang payudara sebelah kanan)

7/2/2017 – 15/6/2017
kemoterapi sebanyak 6x

7/5/2017 – 2/5/2018
Herceptin tagged sebanyak 17x

25/7/2017 – 28/8/2017
Radiotherapy sebanyak 20x

Kesihatan Sekarang

Alhamdulillah. Saya seorang yang sangat-sangat positif. Saya menjalani gaya hidup yang sihat. Saya juga banyak melakukan kerja-kerja sebagai volunteer. Saya juga adalah pengasas dan juga President Kelab Kanser Pasir Gudang.

Tujuan saya tubuhkan KKPG adalah untuk memberi perhatian khusus pada pesakit-pesakit kanser yang ada di sekitar Pasir Gudang. Selain itu saya juga amat mementingkan kebajikan mereka. Saya lalui apa yg mereka lalui. Kesakitan mereka kesakitan saya juga. Saya juga ahli CANCER SUPPORT GROUP JOHOR yang mewakili Pasir Gudang.

Perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya sihat! Saya hanya perlu menjalani pemeriksaan berkala 6 bulan sekali. Nasihat saya bila kita berada dalam keadaan ini kita perlu lebih muhasabah diri dan balik kepada agama. Jaga solat, banyakkan berzikir dan bersedekah.

Berkongsi nasihat

Nasihat saya juga kepada ahli keluarga pengidap kanser, jagalah perasaan mereka yang agak sensitif. Sayangilah mereka, hargai mereka..berikanlah pelukan semangat buat mereka…sesungguhnya kanser itu terlalu sakit untuk dilalui.