Bakal Timang Anak Kelima, Jamal Abdillah Kongsi Nama Anak, Pilih Tarikh Cantik!

Share

Penghibur Lagenda Tanah Air, Datuk Jamal Abdillah, 63 dan isteri, Zai Izzati Khiruddin, 27, sepakat memilih tarikh cantik, 22 Februari depan bagi menyambut kelahiran cahaya mata kelima mereka.

Bukan hanya berkongsi tarikh kelahiran, tetapi bapa kepada empat cahaya mata ini juga sudah memilih nama yang istimewa buat cahaya mata kelimanya itu.

Menurut Datuk Jamal, isterinya dijangka akan bersalin pada 28 Februari ini, namun isterinya sanggup melahirkan anak secara pembedahan kerana mahu dapatkan tarikh kelahiran ‘cantik’ itu.

“Jika diikutkan, isteri akan bersalin pada 28 Februari. Namun, Insya-Allah, Zai melahirkan anak secara pembedahan pada 22 Februari ini.

“Tarikh 22 Februari dipilih kerana angka cantik. Tetapi sebagai manusia, kita hanya mampu merancang,” katanya berkongsi.

Iskandar Rayyan Yamani Penyeri Baru Dalam Keluarga

Bukan hanya berkongsi pada umum tarikh kelahiran, malah Datuk Jamal dan isteri juga berkongsi nama yang dipilih untuk si comel putera kesayangan mereka iaitu Iskandar Rayyan Yamani.

“Pada mulanya hendak letak nama Iskandar Zulkarnain. Namun, nama itu sudah biasa didengar. Jadi, kami pilih Iskandar Rayyan,” katanya.

Walaupun usianya sudah 63 tahun, namun Datuk Jamal tidak lokek membantu isterinya menjaga dua anak mereka dan kini kembali bersedia untuk menimang cahaya mata baru.

Terdahulu, Datuk Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan dikurniakan dua cahaya mata Nur Azura Yamani, 3, dan El Isaac Yamani berusia setahun lebih. Datuk Jamal juga mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 16, menerusi perkahwinan terdahulu.