Bakal Bergelar Dr, Pelajar Autisme Sambung PhD. Inspirasi!
Jangan pernah menafikan hak anak-anak untuk berjaya dalam hidupnya. Sokongan ibu bapa adalah yang paling utama untuk memastikan kejayaan anak. Bahkan mempunyai anak yang tidak sempurna ia bukan penghalang untuk mereka menempah kejayaan dalam hidup.
Sebagaimana kisah inspirasi sebuah keluarga yang mempunyai anak autisme yang bakal bergelar doktor tidak lama lagi.
Graduan yang dimaksudkan adalah Nur Arif Jasmin, 30, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Qur’an dan Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Artikel Berkaitan: Dulu Anak Autisme, Kini Genius Matematik. Ketahui Cara Ibu Bapa Hebat Ini!
Artikel Berkaitan: Dah Biasa Orang Anggap Anak Biadap, Ayah Ni Cerita Cabaran Didik Anak Autisme. Kagum!
Artikel Berkaitan:“Jangan Down Bila Anak Autisme. Mereka Bukan Biasa-Biasa, Tetapi Luar Biasa.” Perkongsian Bapa Ini Sungguh Motivasi!
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
DAPAT BIMBANGAN DSU
Sepanjang lebih lima tahun melanjutkan pengajian di UIAM, dia sentiasa mendapat sokongan dan bimbingan dari pihak universiti seperti Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU) dan Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya (CCSC).
Menurut Ketua DSU, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin, pihaknya telah merangka pelbagai inisiatif yang dikhususkan kepada Nur Arif supaya dia dapat menjalani proses pengajian dengan baik.
Katanya lagi, DSU sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar seperti Nur Arif yang sememangnya memerlukan perhatian yang lebih berbanding pelajar-pelajar yang lain.
“Kebiasaannya, sebelum Nur Arif pergi ke kelas, kami akan melukis satu peta untuk memudahkan dia mencari kelas kerana dia sering tersesat.”
Nur Arif bersama ahli keluarga selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UIAM Ke-36, baru-baru ini.
Apa yang menarik, sejak di bangku sekolah lagi, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu telah didedahkan dengan ilmu agama oleh ibunya yang merupakan seorang guru mengaji al-Quran. Nyata jelas membayangkan, kejayaan anak adalah cerminan didikan ibu bapa!
Dia kemudiannya didaftarkan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsuddiniah, Gerisek, Johor sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan seterusnya melanjutkan pengajian di UIAM dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh bagi peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.
CABARAN PERNAH DI BULI
Setiap kejayaan pastinya ada cabarannya. Namun ia tidak mematahkan semangat anak istimewa ini untuk mencapai cita-citanya bergelar seorang pensyarah
Di sebalik pencapaian yang membanggakan itu anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini tidak terkecuali daripada berhadapan pelbagai cabaran dan ujian seperti dibuli dan ditertawakan yang berpunca daripada kekurangan kesedaran masyarakat sekeliling mengenai keadaannya.
Bagi menangani kesedihan yang dialami, Nur Arif akan melakukan aktiviti yang menyeronokkan antaranya bermain permainan Power Rangers, tanah liat dan mainan helikopter.
Tambahnya lagi, setiap pensyarah akan diberikan senarai nama pelajar sebelum memulakan kelas, jadi pensyarah akan tandakan nama pelajar yang OKU supaya pensyarah dapat menyediakan keperluan pengajian yang sepatutnya.
Bahkan semasa sesi pengajian pula, pensyarah akan memberikan bimbingan dengan mengajar secara perlahan bagi memudahkan Nur Arif memproses segala pembelajaran yang diberikan.
GEMILANG DALAM HIDUP
Nur Arif juga sering dibantu oleh para sukarelawan dan rakan-rakan daripada Kelab Ibn Ummi Maktum yang terdiri daripada pelajar UIAM.
Kini, Nur Arif tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kawan-kawannya mahupun sukarelawan untuk menjalani kehidupan seharian di kampus kerana dia sudah berani untuk berdikari sehinggakan mampu untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan OKU yang lain.
Memandangkan dia adalah pelajar PhD, Nur Arif sentiasa meluangkan masa lapangnya dengan membantu pelajar berkeperluan khas lain seperti membacakan soalan peperiksaan dan memimpin ke kelas untuk pelajar OKU penglihatan.
Hasil keyakinan yang dibina sejak beberapa tahun yang lalu berjaya menjadikan Nur Arif terpilih sebagai penterjemah untuk sebuah kitab aqidah sebuah syarikat penerbitan.
Nyata, kehebatannya terserlah apabila dibantu dengan banyak unit sokongan. Nyata anak istimewa ini mampu berjaya seperti orang lain.
Sumber: Sinar Bestari
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club