Bait-Bait Puisi ‘Maafkan Kami Adib..’ Sungguh Meruntun Jiwa. Semoga Tenang Di Sana…

Share

Terusik jiwa apabila mem baca bait-bait puisi buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang telah kembali ke ramtullah pada 9.41 malam semalam. Allahyarham yang parah akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, sebelum itu hampir tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN).
Puisi ini dihaslikan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Azmi Hamid, didedikasikan khas buat Allahyarham Muhammad Adib. Penuh tersurat dan tersirat buat hati yang duka dengan pemergiannya wira negara ini.
Curahan perasaan melalui puisi yang bertajuk ‘Maafkan kami, Adib, membuatkan hati terkesan. Hati mana yang tak sebak, plot yang bermula dengan kesedihan kemudiannya dirai dengan kesyukuran namun diakhiri pula dengan kesedihan setelah setelah pemergiaannya.
Benar, emosi ibu, ayah dan ahli keluarga pastinya yang lebih terkesan ketika ini.
Buat rakyat Malaysia, hayati sepenuh hati bait-bait puisi ini.

Foto: Sharul Hafiz Zam / NSTP

Maafkan Kami, Adib
Adib,
Namamu tak pernah disebut-sebut,
Hanya ayah, ibu, saudara dan tunangmu yang menyambut,
Tiap kali engkau pulang setelah bertugas,
Tunangmu mungkin terasa ingin mengikut,
Berjanji satu hari nanti kamu bersamanya akan hidup sehingga tibanya maut

Adib,
Kamu tidak sesekali menyangka,
Terperangkap dalam sengketa,
Yang kamu tahu hanya menyahut panggilan untuk bertugas tanpa bertanya,
Apakah tugas biasa ataukah merbahaya

Adib,
Seluruh negara tiba-tiba tersentak mendengar berita,
Engkau bergelut untuk menyelamatkan nyawa,
Rupanya bila manusia hilang timbang rasa,
Engkau pula yang menjadi mangsa

Adib,
Negara ini telah ditatang untuk anak muda seperti kamu,
Agar diwarisi sehingga ke anak cucu,
Yang berlain kaum, agama dan hidup berukun damai, itulah pesan ibu,
Jangan sekali-kali engkau sia-siakan tanah air ini milik bangsamu

Adib,
Air mata kami mengalir mengenangkan derita yang kamu lalui,
Kenapa nyawamu tidak dihargai,


Bukankah kita berjanji hidup bersama di tanah pertiwi ini,
Bumi bertuah tempat lahirmu menjadi saksi,

Adib,
Kamu hanyalah seorang warga yang mahu hidup biasa,
Negara yang makmur ingin dinikmati bersama,
Tidak ada yang harus berprasangka dan mencuriga,
Si Mamat, si Ah Chong, si Ramasami, bukankah rakan kita belaka

Adib,
Engkau dipaksa membayar harga dari sebuah pertelingkahan,
Mereka tidak kisah untuk apa harus berbunuhan,
Peduli apa kepada negara dan warga yang akan berberontakan,
Asal puas mendapat upah yang hanya seratus dua yang memalukan

Adib,
Kami semua bersalah dari sebuah kealpaan,
Saling mencuriga dan tidak mahu bermaafan,
Lalu engkau berada di tengah-tengah persengketaan,
Inilah natijah dari keegoaan yang tidak kenal sempadan

Adib,
Aku terkelu dan sukar mencari kata-kata,
Berita pemergianmu, tidak disangka,
Aku masih mengharap, engkau boleh berbicara,
Mengkisahkan pesan kepada anak cucu kita,
Jangan berulang lagi babak yang meluka,
Negara ini bakal kita wariskan kepada seluruh anak bangsa

Adib,
Damailah kamu di pusara, yang akan tercatat dalam sejarah,
Aku mengharap seluruh warga turut mengambil ibrah,
Bahawa Tuhan berpesan, hiduplah dengan pasrah,
Dalam rasa keinsanan dibina ukhwah,


Kami berazam tidak akan mengulangi permusuhan yang membawa belah
Sesungguhnya negara ini terlalu mahal dan terlalu indah untuk dibiar punah.

Jika Mat Kilau, Tok Janggut, Dato Bahaman, Tok Gajah, Hang Tuah adalah antara pahlawan negara zaman sebelum kemerdekaan mempunya cerita tersendiri. Begitu juga dengan Allahyarham Muhammad Adib. Dek kerakusan manusia, anak kelahirana kedah ini menjadi mangsa. Tanggungjawab yang digalas dengan amanah menjadi sandaran utama akhirnya meragut nyawa. Moga kisah ini akan menjadi teladan dan diceritakan kepada anak cucu kita nanti bahawa pentingnya kemakmuran sesebuah negara pelbagai bangsa.

Foto: Shahir Omar / Astro Awani

Sumber: Harian Metro

Foto: Shahir Omar / Astro Awani dan Sharul Hafiz Zam / NSTP