Bahaya Jika Anak Guna Botol Susu Lebih Dari 3 Bulan. Awas, Ibu-Ibu Kena Alert Bab Ni!

Share

Tengah bancuh susu anak, entah kenapa tiba-tiba teringat,  “Eh? Berapa lama eh boleh tahan botol susu ni? Takkanlah selama-lamanya pula?”

Mahal macam mana pun botol susu, tukarlah dengan kerap. Jangan kedekut dan terlalu berkira untuk membeli botol susu anak demi kesihatan mereka.

Adalah bahaya menggunakan botol susu yang sudah lebih dari tiga bulan. Lebih bahaya jika terdapat banyak calar balar di bahagian dalam botol. Kesan calar itu akan mengeluarkan toksik dan boleh memudaratkan kesihatan anak.

Jangka Hayat Botol Susu

Jika botol susu mempunyai Bisfenol A (BPA), jangka hayat penggunaannya hanya sekitar 3 ke 6 bulan. Manakala botol susu yang jenis BPA Free, jangka hayatnya lebih panjang.

Namun begitu, sebaik-baiknya tukarlah botol susu anak anda sekiranya warna botol sudah berubah, banyak kesan calar dan sudah kekuningan.

Kesan BPA Terhadap Kesihatan & Bayi

BPA dari produk mengandungi bahan berbahaya ini dapat larut dan meresap ke dalam makanan atau minuman dan seterusnya memasuki badan. Dos Bisfenol A yang rendah sekalipun dalam badan manusia boleh disalah anggap sebagai estrogen.

Estrogen adalah hormon yang mengawal perkembangan otak, sistem peranakan dan pertumbahan janin. Keadaan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan.

Bahkan janin dalam kandungan dan bayi adalah golongan yang paling berisiko jika terdedah dengan BPA ini, kerana ia dikatakan mempengaruhi pembentukan otak dan perangai bayi.

Banyak kajian mengaitkan BPA dengan pelbagai masalah lain seperti:

1. Baligh awal

2. Kanser payudara

3. Kanser prostat

4. Penyakit jantung

5. Obesiti

6. Kencing manis

7. Boleh menyongsangkan ciri-ciri jantina seseorang dan merosakkan hormon.

Botol susu perlu ditukar segera sekiranya:

Kesan calar pada botol

Kesan calar dalam botol anak juga perlu diperhatikan. Jika mempunyai banyak kesan calar, anda perlu menukar botol anak. Bimbang terdapat pembebasan sisa toksik atau bahan kimia daripada plastik botol tersebut.

Sterilizer

Penggunaan sterilizer ini sebenarnya dapat mengurangkan jangka hayat botol. Contohnya, jika botol boleh digunakan selama 6 bulan, mungkin hanya boleh digunakan 4 bulan.

Salah satu sebabnya adalah kerana ia melibatkan penggunaan haba yang tinggi. Pendedahan terhadap air yang menggelegak juga boleh menyebabkan botol polikarbonat melepaskan BPA dengan kadar lebih cepat berbanding terdedah kepada air sejuk atau air suam.

Warna botol

Jika botol anak kelihatan kekuningan, andanya adalah tanda botol perlu ditukar. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kesan calar di baagian dalam botol.

Bau

Jika botol sudah berbau tidak nyaman walaupun kerap kali dibasuh, tukar botol kerana bau itu mungkin berpunca daripada kulat atau mikroorganisma di dalam botol.

Sabun Pencuci Botol

Penggunaan pencuci botol susu juga perlu diambil kira. Mencuci dengan menggunakan sabun biasa ataupun sabun pencuci pinggan perlu dielakkan.

Ianya bukan sahaja mengandungi bahan kimia menghakis, malah memberikan kesan bahaya kepada anak sekiranya sabun tidak dibilas dengan berish. Gunakan bahan pencuci yang bersifat organik.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada para ibu semua. Buat pilihan yang tepat untuk kesihatan si manja yang tersayang.

Sumber: Maya Darwish