Pitam adalah suatu fenomena biasa di kalangan warga tua dan muda. Dalam kebanyakan kes, ia bukanlah sesuatu yang serius. Tiada rawatan spesifik diperlukan. Ia dikenali sebagai syncope di kalangan masyarakat perubatan.
Di antara sebab-sebab seseorang itu menjadi pitam ialah :
1. KEADAAN SEKELILING
Keadaan sekeliling amat mempengaruhi sistem pengaliran darah dan sistem saraf bagi seseorang individu. Keadaan yang mendesak seperti berada di tempat yang terlalu padat, melakukan senaman fizikal yang berat, terlalu lapar, terlalu haus, atau berdiri lama di tengah panas terik boleh menyebabkan mereka pitam dan pengsan. Begitu juga jika mereka bangun dari keadaan duduk atau baring terlalu cepat.
.
Keadaan sebegini disebabkan di dalam tubuh kita terdapat sistem vasovagal yang mengawal keseimbangan hormon, emosi, saraf dan peredaran darah. Apabila ia terganggu, ia menyebabkan keadaan pitam atau syncope.
.
Vasovagal syncope disebabkan oleh tekanan emosi, terlalu takut, dimalukan di khalayak, atau merasa tidak selesa di perhimpunan ramai. Emosi yang bercelaru ini menyebabkan sistem saraf akan menghalang darah ke otak, lalu menyebabkan pitam.
.
Hypoxic syncope berlaku akibat kekurangan oksigen (hypoxia) iaitu apabila udara mengandungi kurang dari 16% oksigen. (Kurang dari 11% boleh menyebabkan rasa susah bernafas (suffocation) dan kematian).
.
Sama ada otak kita kekurangan oksigen atau pengaliran darah ke otak tidak mencukupi, tubuh akan menerima ‘signal’ agar sesuatu harus dilakukan. Tubuh akan bertindak balas dengan mengecutkan saluran darah ke bahagian tubuh yang kurang penting, supaya darah dapat dihantar ke bahagian otak bagi membekalkan oksigen.
.
Penghantaran darah dipercepatkan untuk mempercepatkan degupan jantung (tachycardia). Kadar pernafasan juga dipercepatkan bagi meningkatkan tahap kandungan oksigen.
Proses ini akan menyebabkan kulit pesakit berwarna pucat, bernafas dengan laju, loya dan muntah, dan lemah anggota terutamanya kaki. Jika tidak terkawal ia akan menyebabkan pitam.
.
2. HYPERVENTILATION
Individu yang berada dalam keadaan hyperventilation biasanya akan menarik nafas pendek tetapi dengan kadar laju. Tujuannnya adalah untuk menampung kepekatan oksigen yang kurang. Ia juga menyebabkan kepekatan carbon dioxide (CO2) di dalam darah menurun secara mendadak dan mengakibatkan pitam.
.
Keadaan ini berlaku di kalangan orang yang terperanjat, terlalu stress atau mengalami masalah keresahan (anxiety disorders). Saya pernah menerima seorang eksekutif wanita yang pitam kerana dimarahi oleh pegawai atasannya. Beliau tidak dapat menahan rasa terperanjat, malu dan marah di khalayak lalu pitam.
.
3. KEKURANGAN GULA DALAM DARAH
Otak memerlukan bekalan gula yang berterusan untuk berfungsi 24 jam tanpa berhenti. Kekurangan gula berlaku pada mangsa bencana alam yang tidak mendapat bekalan makanan untuk beberapa hari. Mereka yang terlalu menjaga pemakanan dengan ketat juga mengalami masalah serupa.
.
Seorang pesakit mengadu selalu sakit kepala dan badannya lemah. Dia pernah beberapa kali pitam di pejabat. Bila saya periksa, saya dapati kandungan gulanya terlalu rendah. Alasannya untuk menjaga berat badan kerana majlis perkahwinannya akan berlangsung tidak lama lagi.
Kandungan gula sebanyak 3.5mmol/ml menyebabkan pesakit mula berasa pitam manakala bacaan GM 2.0mmol/ml pasti menyebabkan seseorang itu pitam.
.
3. ANEMIA
Anemia berlaku apabila pesakit mempunyai kurang bilangan sel darah merah. Sel-sel ini penting untuk membawa oksigen ke jantung dan otak. Biasanya anemia berlaku pada gadis yang mengalami pendarahan haid yang banyak.
.
4. KEHAMILAN
Bagi wanita muda yang hamil, tubuh mereka mengalami beberapa perubahan dalam sistem peredaran darah. Darah mereka di’kongsi’ dengan bayi yang di dalam rahemnya.
Rahem yang membesar menekan saluran darah besar aorta dan inferior vena cava yang menyalurkan darah semula ke jantung dan ke otak.
.
Seorang gadis berusia 18 tahun telah dibawa oleh ibunya ke klinik kerana pengsan di dapur rumah. Beliau juga kelihatan selalu penat. Ujian air kencing untuk kehamilannya positif. Ibunya pula yang pitam akibat terkejut menerima berita itu.
.
5. MASALAH JANTUNG
Masalah jantung di kalangan remaja jarang diketahui sehingga mereka melakukan aktiviti fizikal di luar rumah. Antara masalah jantung ialah degupan jantung yang tidak seragam (irregular rhythm) dan kebocoran kecil pada dinding tengah jantung (Septal Defect). Jika remaja atau wanita muda pitam setelah melakukan aktiviti senaman yang berat, mereka perlu dihantar untuk pemeriksaan.
Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad
.
#HealthDrZubaidi