Setiap pasangan yang berkahwin sudah pastinya inginkan kehidupan bahagia sehingga till jannah. Hubungan yang terjalin sekian lama sudah tentu ada pasang surutnya, ada suka dukanya. Bak kata perpatah, sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri.
Bagi pasangan yang sudah lama berkahwin, hakikatnya memerlukan bahasa cinta tersendiri agar rumahtangga sentiasa mesra selalu. ‘
Bahasa cinta bukan sekadar pemberian wang ringgit tetapi, apa sahaja yang membuatkan pasangan berasa dihargai dan dicintai.
Sebagaimana perkongsian oleh Pakar Bius ini,Hana Hadzrami yang berpendapat hubungan mesra suami isteri boleh disemamarakkan apabila mempunyai pasangan saling menjaga hati pasangan.
Ikuti perkongsiannya. Sungguh terkesan dalam hati.
Bahasa Cinta
Di sini anda cuma nampak gambar sekeping thosai dengan kuah chutney kelapa. Namun pada saya, ini adalah salah satu daripada bahasa cinta suami untuk saya. Thosai dibeli khas untuk saya sebagai sarapan pagi, usai pulang keletihan on call.
Seorang sahabat pernah memberitahu, suaminya kalau nak tunjuk sayang, dia akan belikan durian. Bukan dengan sejambak bunga atau intan berlian.
Thosai, durian, bunga, dan intan berlian cuma objek yang menyampaikan perasaan. Objek itu akan ditafsirkan sebagai kasih sayang hanya jika si penerima bijak menafsirkan bahasa cinta si pemberi.
Pernah dengar seorang isteri sanggup berpisah dengan suami yang baik dan rajin kerana tergila-gilakan lelaki yang menaburkan wang ringgit dan harta untuknya?
Pernah dengar seorang suami sanggup meninggalkan isteri yang bersusah payah berkorban untuknya hanya tergila-gilakan perempuan genit yang pandai bermanja-manja?
Sebahagian besar sengketa rumahtangga terjadi kerana suami isteri tak pandai menggunakan dan menafsirkan bahasa cinta.
Ada 5 jenis bahasa cinta universal*
antara dua individu (tidak semestinya pasangan hidup saja):
1. Kata-kata penghargaan
2. Pemberian hadiah
3. Pertolongan dan pengorbanan
4. Sentuhan
5. Luangan masa yang berkualiti
Tak semua orang perlukan kelima-lima bahasa cinta untuk merasa bahagia.
Ada orang yang tak hairan dengan pertolongan kerana dia sendiri rajin bekerja namun amat dambakan hadiah dan kata-kata penghargaan daripada pasangannya.
Ada orang yang tak hairan dengan hadiah penghargaan kerana dia sendiri dah kaya, namun amat dambakan sentuhan dan masa berkualiti daripada pasangannya.
Itulah sebab ada orang yang meninggalkan pasangannya kerana dia gagal merasai cinta melalui bahasa yang difahaminya. Mungkin pada dia, cinta bukan dibuktikan dengan kerja kuat dan pengorbanan tetapi melalui hadiah penghargaan.
Tiada dua manusia yang sama. Namun jika kita tahu mentafsirkan bahasa cinta pasangan masing-masing dan mahu pula mempelajari apakah pilihan bahasa cinta pasangan, maka banyak keretakan rumahtangga boleh dielakkan.
Contohnya pada si suami, boleh jadi bahasa cinta pilihannya ialah sentuhan dan khidmat pertolongan. Pada si isteri pula bahasa cinta pilihannya boleh jadi masa yang berkualiti dan kata-kata penghargaan. Maka suami patut perbanyakkan memuji-muji si isteri dan meluangkan masa untuknya. Dan isteri patut beri layanan dan sentuhan manja pada suaminya.
Buat pasangan yang dah bertahun-tahun bersama; jika anda tidak lagi memberi hadiah, mengucapkan penghargaan, meluangkan masa, apatah lagi memberi sentuhan kasih sayang kepada pasangan; usah harap kasih sayang pasangan anda akan terus kekal segar seperti dahulu.
Cinta dalam bahasa arab adalah ‘Hub’. Hub juga bermakna benih.
Benih yang tak diberi air, cahaya dan baja akan kering layu tanpa sempat bercambah.
Maka usah ternganga atau terngadah jika benih yang anda gagal bajai itu melayang jauh dan bercambah di tempat lain yang bersedia memenuhi keperluannya.
***
Akhir sekali, usah hanya kerana pasangan gagal memberikan satu bahasa cinta yang anda mahukan maka anda tinggalkan dia. Jika pasangan rajin menolong buat kerja rumah, suka meluangkan masa bersama anda tetapi berat mulut untuk memuji dan agak kedekut untuk membelikan hadiah; maafkanlah dia.
Mana-mana individu berhidung belang boleh memberikan hadiah mahal dan kata-kata manis. Namun hanya orang yang ikhlas menyayangi anda akan memberikan perkara yang mahal iaitu masa dan tenaganya.
Bersyukurlah dengan yang sedikit, bersabarlah dengan kekurangan, nescaya Tuhan akan menambahkan kebaikan untuk anda.
Sumber: Hana Hadzrami
20 tahun berkahwin. Belum pakar cinta, hanya pakar bius.
*”The Five Love Languages” by Gary Chapman”