Bahagia Bukan Pada Duit, Harta Banyak, Rumah Dan Kereta Besar Tapi Bila Kita Rasa Cukup Apa Yang Ada.

Share

Bahagia itu bukan banyaknya wang ringgit, tapi bahagia itu bila kita rasa cukup dengan apa yang kita ada.

Asalkan keluarga cukup makan minum, belanja sekolah dan urusan harian tanpa hutang puitang. Itulah kebahagiaan yang sebenar.

Biarpun kehilangan pekerjaan atau perniagaan gagal, ia bulan istilah untuk patah semangat. Tetap berusaha untuk mencari ‘rezeki lain’ seadanya.

Sebagaimana perkongsian Dr Ezairy M. Sallih mengenai bahagia bukan harta benda tapi cukup apa yang kita ada.

Ikuti perkongsiannya.

Pagi tadi semasa saya sedang makan di Ikea bersama anak saya Ammar, datang seorang lelaki berbangsa cina bersama dua orang anaknya. Seorang lingkungan darjah tiga, seorang lagi dalam darjah dua.

Meja itu bulat, ada enam kerusi. Meja kami itu penuh dengan makanan yang kami sedang makan. Isteri saya pula sedang ambil anak perempuan kami di kawasan permainan kanak-kanak tingkat bawah. Maknanya, semua kerusi itu penuh dengan keluarga kami tadi.

Gambar hiasan

“Bang, ada orang duduk sini? Boleh kami duduk di sini?” Sapa beliau. Memang ada empat kerusi kosong kat meja saya ketika itu.

“Boleh-boleh, duduklah sini. Isteri saya sedang ambil anak dekat bawah. Tak apa awak duduk saja, tak ada masalah.”

Lelaki itu jadi serba salah. Mungkin anggapannya memang kami berdua sahaja. Rupa-rupanya ada lagi tiga orang termasuk anak kecil saya paling bongsu.

“Eh, tak apa. Duduk saja,” saya cuba meyakinkan beliau. Dengan teragak-agak dia duduk juga di situ. Kira penuhlah semua kerusi di meja itu. Satu sahaja yang masih kosong.

Tak lama selepas itu, isteri saya datang bersama dua anak kami, Anna dan Amin. Saya bangun, berikan tempat duduk itu kepada isteri, Anna duduk di satu lagi kerusi. Si Amin, saya gendong. Lelaki itu tadi jadi lebih serba-salah.

BEKAS JURUTERA JADI PENJUAL IKAN BILIS

Untuk menghilangkan perasaan beliau itu, saya ambil satu kerusi di meja berhampiran. Kami ramai-ramai penuhkan meja itu. Kami berbual, macam dah lama kenal.

Lelaki ini kata, dulu beliau kerja bahagian engineering. Dari segi dia cerita, macam ada syarikat kecil dan sudah berjaya lah macam itu. Cumanya dua tahun lepas, ekonomi tak berapa nak stabil, beliau pun berhenti kerja. Sekarang uruskan sendiri anak-anak pergi dan balik sekolah. Pada masa sama, beliau buat bisnes jual ikan bilis. Dapat stok dari Sabah. Hantar ke rumah terus, puan-puan.

Nampak tak betapa luar biasanya lelaki ini. Daripada seorang yang dulunya ada pekerjaan yang orang boleh kata senang, tetapi beliau tak malu buat bisnes macam ini.

“Yang penting, ada duit masuk. Anak-anak semua selamat, bang.” Jawapan beliau ini betul-betul meruntun hati saya.

Kita ini yang selalu rasa tak cukup duit hujung bulan, rasa banyak rezeki yang Allah tak beri, sebenarnya ada banyak lagi sebab untuk kita rasa bahagia.

Bahagia itu bukan pada banyaknya duit kita, bukan dengan tingginya harta, besarnya rumah dan kereta kita. Tetapi bahagia ini ialah apabila kita merasa cukup dengan apa yang kita ada.

INI LAH ERTI BAHAGIA

Gambar hiasan

Tak kisahlah rumah kita itu kecil, belum ada zuriat, kereta pun tak besar… Tapi kalau kita rasa itu dah cukup untuk membahagiakan kita sekeluarga, kita akan rasa amat bahagia.

Lelaki yang saya cerita ini nampak tak ada masalah, dia mungkin ada masalah cuma dia tak perlu tunjuk pada kami semua. Sebab dia rasa kehidupannya sekarang sudah cukup memberi kebahagiaan untuknya sekeluarga. Dia pun cerita jujur tentang kehidupannya.

Walaupun saya yang mulanya hanya mahu berkongsi meja bersama lelaki ini, tetapi sebenarnya ada sesuatu lebih besar yang Allah nak beri kepada saya. Supaya saya boleh kongsi kepada kalian semua.

Kalau kita boleh nak rasa bahagia setiap masa, mengapa pilih nak berduka?

Dr Ezairy M.Sallih
Suka melihat lebih ramai orang bahagia.