Bawang putih adalah antara makanan yang digelar sebagai ‘superfood’ kerana mengandungi banyak khasiat. Bukan sahaja diketahui umum bagus untuk menjaga kesihatan dalaman buat ibu-ibu yang berpantang, malah lebih daripada itu.
Dikatakan juga bawang putih jika diamalkan dalam diet harian dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Dan salah satunya adalah bagus jika diamalkan oleh sesiapa yang mempunyai masalah kolestrol dalam badan.
Cara pengambilannya adalah seperti mana yang dikongsikan oleh Rasidah Shidah.
Menurutnya, “Banyak khasiat bawang putih. Tapi nak makan mentah begitu saja, tak lalu rasanya. So kita buat jeruk bawang putih. Rasanya sedap macam jeruk buah buahan. Orang yang kolestrol tinggi elok makan bawang putih. Boleh merendah paras kolestrol.”
Resepi :
Bawang putih 1/2 kg buang kulit.
Air secukupnya untuk rebus
*Rebus bawang putih hingga mendidih dan tutup api. Toskan.
Air gula:
Gula 1/2 cawan
Air 2 cawan
Cuka 1 cawan
Garam 3 sudu
* Masak semua bahan hingga mendidih dan sejukkan.
Masukkan bawang putih yang di tos tadi dalam bekas, kemudian tuangkan air gula yang telah di sejukkan. Simpan dalam peti ais. Esok baru makan.
Sumber : Rasidah Shidah
Meninjau pada perkongsian daripada Dr Suri Roowi turut memberi info cara bagaimana terbaik untuk menikmati khasiat bawang putih.
- Ambil 2 ulas bawang putih
- Kupas kulitnya
- Ketuk
- Biarkan 10 minit
- Selepas 10 minit, masukkan bawang putih yang di ketuk tadi ke dalam mug berisi air suam. Kacau sebentar dan kemudian boleh diminum perlahan atau diambil sedikit demi sedikit sepanjang hari 1 mug.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Buang Rahim & Payudara Akibat Kanser. Dek Kerana Suami Yang Penyayang & Sabar, Wanita Ini Mampu Terus Hidup Bahagia!
Mendengar perkongsian daripadanya Puan Noor Diyana Mohamed Zukri, 36 sebagai canser servival, cukup menyentuh hati. Bukan calang-calang orang mampu berada ditempatnya kini, punya semangat yang luar biasa hatta sepanjang bercerita tidak sedikit pun menitiskan air mata. Begitu sabar bercerita satu persatu tentang penyakit yang ditanggungnya kini.
2014 Disahkan kanser
Pada mulanya saya tidak menyedari sebarang perubahan pada diri yang menunjukkan saya tidak sihat, semuanya normal. Hingalah pada suatu hari, sedang saya bersabun dapat rasakan ada benjolan di payudara. Risau dengan keadaan itu, saya pergi ke klinik biasa dan kemudian direfer ke hospital.
Apabila dibuat pemeriksaan, benarlah ada ketulan sebesar 4.5-5 cm dan pembedahan harus segera dilakukan. Dan ketika ini tujuannya hanya untuk mengeluarkan ketulan tersebut, dan siapa menduga selepas 4 hari di bedah barulah didiognos saya ada kanser payudara.
Jujur saya katakan, masa itu emosi saya sangat terganggu, menangis sepanjang hari dan tidak dapat menerima kenyataan. Apa yang saya rasa hidup ini tiada harapan lagi. Namun, suami begitu positif orangnya dan dialah sebenarnya sumber kekuatan saya. Apa yang dia mahu agar saya kembali sembuh.
Maka saya akur untuk jalani pembedahan untuk membuang payudara saya dan jalani rawatan bermula bulan Dis 2014 dan complete kimo/radioteraphy pada bulan Mac 2015. Saya fikirkan selepas buat semua itu, akan berakhirnya kesakitan yang ditanggung. Tetapi sebenarnya disaat itulah semuanya baru bermula.
Tahap kesihatan saya semakin merosot, rambut saya gugur, selera makan berkurangan, kuku menjadi biru, muntah-muntah dan saya ambil keputusan hanya mengurungkan diri dalam rumah.
Pengorbanan suami
Saya cukup bersyukur dikurniakan suami sepertinya, tetap melayan saya seperti dahulu. Penuh kasih sayang dan saya amat hargainya. Suami sangat mainkan peranannya, ketika saya terlantar sakit, dia cuti kerja tanpa gaji demi menjaga saya. Dia jugalah yang menguruskan anak sambil dibantu orang tua kami.
Selain itu, dia jugalah yang tidak putus asa terus berusaha membawa saya ke merata-rata untuk mencari rawatan kanser. Pantang dapat tahu, ada cara alternatif, akan diusahakan untuk saya berubat.
Kuasa Tuhan, Saya Hamil
Ini suatu peristiwa yang cukup luar biasa dan doktor sendiri pelik bagaimana saya boleh hamil. Memandangkan saya telah dibekalkan ubat yang harus diambil selama 5 tahun untuk melawan kanser daripada menyerang lagi. Dan kesan ubat tersebut menghalang untuk saya mengandung.
Namun, kuasa dan perancangan Allah itu cukup indah. Saya disahkan hamil pada tahun 2016 dan doktor menyarankan untuk digugurkan kandungan tersebut atas faktor kesihatan. Namun naluri ibu yang ada dalam diri saya mengatasi semuanya. Saya rayu untuk meneruskan kandungan walaupun doktor jelaskan risiko yang bakal saya tanggung. Saya pasrah, kandungan ini harus diteruskan!
Alhamdulillah, sepanjang tempoh kehamilan kesihatan saya stabil dan menjalani rawatan kandungan lebih kerap berbanding ibu yang normal. Perkembangan bayi stabil dan pada usia 8 bulan kandungan, setalah dibuat setail scan, doktor dapati tangan bayi masih tergenggam tidak terbuka. Menurut doktor, bayi akan ada alami masalah apabila dilahirkan nanti. Saya serahkan semuanya pada Allah dan hanya Dialah tempat saya bergantung.
Subhanallah, anak saya dilahirkan sempurna dan normal seperti bayi lain. Syukur dengan kurniaan Allah yang cukup indah. Kami namakan Tuan Mohd Aiyjaz Aniq yang kini berusia 1 tahun 6 bulan dan dia jugalah putera permata hati yang melengkapkan lagi dengan 4 orang puteri kesayangan kami.
Terus Diduga
Setelah 4 bulan melahirkan anak, kanser menyerang saya lagi dan inilah risiko yang perlu saya tanggung atas keputusan yang saya buat. Jadi saya perlu membuang satu lagi payudara untuk terus berjuang. Sekali lagi, suami tetap dengan keyakinannya bahawa saya boleh sembuh dan sihat seperti sediakala.
Selepas pembedahan saya menolak untuk jalani kimoterapi kerana tidak mahu merasai kesakitan sebagaimana yang pernah saya lalui dulu. Atas keputusan ini juga, doktor sarankan untuk saya mengambil ubat yang lebih kuat untuk melawan kanser dan pengorbanannya saya perlu membuang rahim. Maka pada bulan 12 yang lalu saya telah lakukan pembedahan tersebut.
Suami tetap bagi semangat dan antara kata-katanya yang saya pegang adalah “Tak pa, kita buat apa sahaja asal sihat” dan atas sebab itu juga saya mahu jalani kehidupan yang sihat bersama keluarga.
“Saya pikir positif nak sihat je.Tak fikir sakit, fikir nak sembuh”-Noor Diyana
Usah Biar Aura Negatif Menguasai Diri. Amalkan Doa-Doa Pendek Ini, Dapat Bantu Hilangkan Stres, Sedih & Gelisah!
Adalah lumrah bagi manusia untuk berasa ‘down’ atau kecewa apabila diri diuji. Tertanya-tanya kenapa Allah turunkan ujian sedemikian. Namun percayalah itu semua adalah cara Dia mahu menguji hambaNya sejauh mana tahap keimanan dan kesabarannya apabila diuji sedemikian.
Percayalah, Dia takkan menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Sebagai hambaNya kena sabar dan reda. Ujian itu tanda Allah sayangkan kita. Itu yang patut kita pegang dan tanam dalam diri. Usaha berprasangka buruk ke atasNya.
Berikut adalah himpunan doa penenang hati dari Al-Quran dan hadis yang boleh diamalkan. Ianya pendek dan mudah dihafal.
7 DOA PENENANG HATI YANG UNTUK MENGHILANGKAN STRES, SEDIH, DAN GELISAH
DOA 1
اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِالْبَلَاءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ
(Allahumma inni a’uuzubika min jahdil bala’. Wa darkish shaqa’. Wa suu il qadhaa’. Wa shamaamatil a’daa’.)
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menemui penderitaan, dari takdir yang buruk & dari keberhasilan musuh
– Sahih Bukhari
DOA 2
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْث
(Yaa hayyu yaa qayyuumm. Bi rahmatika astaghiiths.)
Maksudnya: Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan.
– Hadis Riwayat Tirmidzi
DOA 3
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
(Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla wa anta taj’alul hazna iza syi’ta sahla)
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.”
– Sahih Ibnu Hibban
DOA 4
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّ جَالِ
(Allahumma inni a’uuzubika minal hammi wal hazan. wa a’udzubika minal ajzi wal kasali, wa a’udzubika minal jubni wal bukhli, wa a’udzubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal.)
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.
– Sahih Bukhari
DOA 5
لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ
(Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minaz zholimin.)
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari pada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.
– Surah Al-Anbiya’ Ayat 87
DOA 6
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
(Rabbish rahli sadri. Wayassirli amri. Wahlul uqdatam millisani. Yafqahu qauli)
Maksudnya: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku, dan lancarkanlah lidahku supaya mereka faham ucapanku.
– Surah Taha Ayat 25-28
DOA 7
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
(Hasbunallah wanikmal wakil)
Maksudnya: Cukuplah Allah sebagai Pelindung kami
– Surah Al-Imran Ayat 173
Sumber: Sirap Limau
“Ada Yang Cakap, Jangan Mengandung Nanti Anak Macam Suami…” 4 Tahun Sukur & Isteri ‘Pujuk’ Ayah Satukan Mereka. Kisah Yang Sangat Berinspirasi!
Kejayaan adalah bermula dengan impian. Untuk mencapai impian kena disusuli dengan usaha dan tindakan. Barulah dapat mengecapi kemanisannya.
Biarpun dirinya tergolong dalam Orang Kelainan Upaya (OKU), namun Mohd Sukur Ibrahim seorang yang kuat semangat, tidak mengalah dengan kekurangan tersebut.
Perkongsian bapa kepada seorang cahaya mata ini pastinya memberi inspirasi kepada OKU lain untuk terus berusaha mencapai apa yang diingini. Tanpa keberanian, mimpi tidak bermakna.
Mohd Sukur Ibrahim merupakan Penceramah Motivasi serta Penulis buku Inspirasi Sukur dan Takdir itu Anugerah. Majalah Keluarga berpeluang menemu bual beliau bersama isterinya baru-baru ini.
“Ramai yang tanya apa cabaran paling besar dalam hidup. Adakah membina perniagaan yang kini sudah memasuki usia 7 tahun. Atau adakah cabaran mendirikan rumah tangga?
“Tapi sebenarnya, cabaran paling besar adalah untuk menerima diri saya seadanya. Dalam berumur 4-5 tahun, saya sudah nampak kelainan diri dengan adik-beradik yang lain membuatkan saya tak boleh terima diri sebegini. Kalau ada yang datang ke rumah, saya lari menyorok di dalam bilik. Pernah saya menyorok bawah tudung saji kerana malu dengan diri saya.
“Saya selalu cakap dengan mak, kenapa saya dilahirkan begini, kenapa saya berbeza dengan orang lain, apa dosa dan salah saya. Kenapa tangan dan kaki saya begini. Bagaimana saya nak hidup dan berada dalam dunia luar dengan keadaan begini. Saya jadi orang yang sangat tak yakin pada diri.
“Suatu hari, ibu bapa mula berfikir bagaimana nak bina keyakinan diri saya. Alhamdulillah mereka prihatin dan berfikiran terbuka. Jadi mereka hantar saya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Itulah titik permulaan perubahan dalam diri saya.
“Bila masuk ke situ, saya bertemu dengan kawan-kawan yang senasib dengan saya. Rupanya ada lagi yang lebih daif dari saya. Baru saya sedar yang sebenarnya kekurangan diri saya adalah biasa. Walaupun tak ada tangan dan kaki, ketinggian 100 cm tetapi Allah kurniakan akal fikiran yang waras dan saya boleh berjalan.
“Disitulah permulaan titik perubahan hidup. Alhamdulillah, saya berjaya lanjutkan pengajian ke univeriti dan ada ijazah. Dapat membina perniagaan sendiri iaitu membekal dan memasang karpet pejabat, surau dan masjid yang kini sudah memasuki usia tahun 10 tahun bisnes ini. Selain itu, saya juga memberi ceramah dan motivasi. Terbaru saya mengeluarkan produk parfum sendiri,” jelas Sukur sambil mengakui walaupun OKU tapi dia OK.
Memujuk hati
Bahagia yang dikecapi bersama Wan Nurul Syazwani Wan Mohd Yen, bukanlah semudah yang disangka. Perjalanan jodohnya cukup berliku. 4 tahun lamanya pasangan ini mengambil masa ‘memujuk hati’ ayah sebelum bersetuju untuk menyatukan mereka.
“Sebelum ini saya merupakan junior abang (Sukur) di universiti. Selepas tamat pengajian, dia ajak saya bekerja dengannya. Waktu itu tidak wujud sebarang perasan tetapi kami lebih kepada saling membantu.
“Namun faktor aurat dan status menyebabkan kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Memandangkan ke mana-mana sahaja kami pergi berdua, jadi tidak mahu dipandang serong kami memilih untuk berkahwin.
“Tetapi hasrat tersebut ditentang oleh ayah saya. Dia enggan membenarkan kami berkahwin. Tetapi kami tidak putus asa. Dalam tempoh 4 tahun, kami usaha untuk mendapatkan restu. Sehinggalah ayah lembut hati tetapi dengan syarat ada ‘ujian’ terlebih dahulu untuk abang.
“Selama 4 hari abang duduk di rumah saya untuk ‘orentasi’ dengan ayah dan juga bapa saudara, alhamdulillah daripada situ ayah nampak abang boleh berdikari dan melakukan semua kerja tanpa mengharapkan orang lain. Rupanya ayah bimbang bagaimana kehidupan kami kelak.
“Ditambah pula imam yang bakal menikahkan kami juga mengenali abang yang terkenal sebagai pakar motivasi. Daripada situ juga membuka pintu hati ayah untuk lebih menerima abang. Alhamdulillah, selepas berkahwin, kami hidup bersama dan dikurniakan cahaya mata sulung Anas Wafiy,” ulas Wani lagi yang kini berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada anak mereka.
Anak senasib ayah
Usai berkahwin, masih ada mulut-mulut yang memperkatakan yang bukan-bukan. Ada yang menakut-nakutkan bakal dapat anak seperti ayahnya.
“Kena ingat kita ada Allah, apa yang Allah bagi itulah yang terbaik. Waktu mengandung memang saya takut sangat, tetapi apabila ingat semula kenapa saya boleh terima keadaan suami tetapi sekarang nak takut pula.
“Malah ada mulut-mulut yang berkata tak perlu mengandung nanti dapat anak senasib seperti suami. Semuanya milik Allah dan kalau Allah nak bagi kita kena reda. Tetapi saya tak pernah mengadu dengan suami kerana hidup dengan suami tak pernah rasa kurang dan seperti orang normal yang lain.
.