“Bagi Anak Lelaki, Ibu Adalah Nombor Satu.” PU Riz Akui Banyak Hal Ikut Kehendak Ibu Menjadi, Tak Kisah Dilabel ‘Anak Mak’

Share

Isu anak mak bukanlah benda baru dalam masyarakat kita. Baik orang biasa mahupun selebriti turut mengalami situasi tersebut. Ada yang kurang gemar dilabel sedemikian, tak kurang yang bangga.

Demikian juga dengan selebriti bernama PU Riz ini. Dia mengakui tidak kisah andai dilabel sebagai ‘anak emak’. Menurut Riz, sepanjang dia menuruti kesemua kehendak ibunya, hampir semua perkara yang dlakukan berjalan lancar.

“Banyak benda yang saya ikut kehendak ibu saya, ia menjadi. Bukan diberi rezeki yang sedikit tetapi melimpah ruah. Dalam hal sambung belajar ini pun, saya mahu penuhi permintaan ibu.

“Saya masuk dunia seni pun atas restunya. Jadi apa salahnya saya penuhi hasratnya yang mahu saya berjaya dalam akademik.

menegaskan akan tetap mendahulukan pendapat dan pandangan ibunya membabitkan soal jodoh, walaupun dalam waktu sama dia sudah mempunyai kekasih hati kelak. Dia juga tidak kisah andai kenyataan diberikan itu akan menyebabkan ada pihak mengajuknya ‘anak mak’ selepas ini.

Ibu nombor satu

Kata bekas peserta Pencetus Ummah itu, andai ibunya tidak bersetuju dengan pilihan hatinya dia akan akur.

“Bagi anak lelaki ibu adalah nombor satu. Malah taraf seorang ibu sangat tinggi di sisi Allah. Al-Quran juga menyebut ibu lebih berbanding bapa.

“Bagi seorang isteri pula suami adalah nombor satu. Bagaimanapun andai bernikah nanti saya sedaya upaya mewujudkan keluarga yang hidup dalam suasana beragama,” katanya.

Dia yang mula dikenali menerusi program realiti, Pencetus Ummah (PU) musim keempat ini juga mula berjinak-jinak dalam dunia bisnes apabila membuka restoran miliknya, Food Station yang beroperasi di Jalan Tun Sambanthan, KL (berhadapan dengan Nu Sentral) yang sudah sudah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Mahu teruskan legasi ayah

Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail rupa-rupanya mahu meneruskan legasi bapanya yang lebih dahulu menceburi dunia perniagaan.

“Bapa menjadi mentor saya dalam apa yang dilakukan termasuk selok belok dunia perniagaan. Saya percaya dalam hidup ini, kita perlu lakukan sesuatu yang dapat memberi jaminan masa depan. Ada juga pendapatan tetap saya setiap bulan.

“Dunia seni masih saya cintai dan berjalan macam biasa. Cuma saya melihat prospek perniagaan makanan ini khususnya boleh dikembangkan dengan baik. Kalau sebut fasal makan ini semua orang perlukan makanan. Pilihan makanan di luar sana memang macam-macam.

Anjur ceramah agama di restoran

Bercerita lanjut mengenai restoran miliknya, premis makanan itu menyediakan lebih 500 lauk pauk Melayu, Thailand dan Barat.

“Sejak dari awal lagi, saya memang tak lepas tangan menguruskannya. Sibuk mana pun, saya akan cuba bahagi masa untuk restoran ini. Dari awal mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia hinggalah beroperasi sampai sekarang, saya akan ambil bahagian.

“Saya turut berusaha mencari tukang masak terbaik sampai pergi ke Kelantan. Banyak juga kos yang dilaburkan termasuk mengubah suai semula restoran ini kerana ia diambil dari sebuah kedai lama yang diuruskan pihak lain,” katanya.

Malah Riz turut menganjurkan ceramah agama di premis berkenaan dalam menyuntik elemen kerohanian sambil menjamu selera.