Keibubapaan

“Ayda Selalu Ada Pada Waktu Yang Tepat” Nabil Mahir Hargai Masa Dengan Anak & Isteri!

Share

Bergelar bapa kepada dua anak yang masih kecil memerlukan tumpuan yang bukan sedikit. Namun bagi pengacara Nabil Mahir yang juga suami kepada Ayda Jebat, dia menikmati malah mensyukuri nikmat kehidupan bergelar bapa.

Tambah Nabil lagi yang dipilih sebagai penerima anugerah Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Papa Millennial meluahkan rasa bahagia dan nikmatnya bergelar seorang bapa.

Malah kata Nabil lagi sebolehnya dia mahu memperuntukkan lebih masa dengan anak serta tidak pernah rasa terbeban.

“Alhamdulillah bila kita dah ada anak ni rezeki pun makin bertambah. Alhamdulillah struggle jaga anak ni pada saya bila nak bangun malam saja.

“Tambah pula anak pertama dah besar sikit dan anak kedua pula kecil, nak kena lalui lagi sekali ia jadi sukar tapi bagi saya ia bukan masalah sebab saya cukup enjoy perjalanan menjadi seorang bapa.

“Bagi saya kalau tak enjoy journey ni apa makna kehidupan kita. Kalau kita jadi bapa, kita cuba enjoy dengan setiap momen. Bagi saya semua momen ini akan berlalu dengan cepat.

“Sampai satu waktu saya pasti akan rindukan fasa-fasa waktu anak masih bayi dulu. Jadi enjoy lah dengan setiap momen dengan anak-anak,” kata Nabil berkongsi kisah hidupnya bergelar bapa.

Tambah Nabil lagi dia sebolehnya mahu sentiasa bersama dengan anak dalam setiap masa biarpun terpaksa mengorbankan masa untuk dirinya sendiri.

“Saya sebenarnya suka sangat main game, sejak kecil lagi memang minat cuma bila dah jadi parent ini saya tak ada masa untuk semua itu.

“Kadang nak me time, kita pun cubalah nak main game tapi baru nak main tiba rasa macam tak cukup main dengan anak tadi. Off balik dan saya main dengan anak.

“Saya memang nak main game sangat-sangat tapi saya tak nak kehilangan masa saya sekarang dengan anak-anak. Begitulah,” luahnya.

Karektor anak-anak berbeza
Ketika ditanya mengenai keletah dua anaknya, akui Nabil ia momen yang paling mengujakan lebih-lebih lagi kini anak sulungnya, Ana Nayla sudah semakin menampakkan karektornya.

“Dua-dua alhamdulillah sangat baik dan mudah dijaga. Apa yang membezakan perangai keduanya ialah Nayla dia sangat bersifat keperempuanan. Dia paling suka menari. Masa dekat pertunjukkan sekolah dia pandai dan cepat ikut rentak menari dan keadaan itu buat kami berdua terkejut.

“Masa Ayda masuk pertandingan hari itu dia pun tengok macam mana ibu dia buat persembahan dan dia pun nak buat sama. Dia suka,” tambahnya lagi.

Bercerita kisah anak sulungnya itu kata Nabil lagi, dia kini melalui fasa-fasa yang amat diimpikannya sejak dulu bila mana anak perempuannya mula cemburu dengan Ayda dan merebut perhatiannya.

“Orang kata anak perempuan ni anak daddy kan tapi tidak pada Nayla, dia lebih rapat dengan ibu dia. Tapi satu momen ni yang cukup menyentuh hati saya dan dah lama saya tunggu-tunggu sejak dulu.

“Hari ini dia bangun tidur dia cakap ‘I want Dada dan terus peluk saya tapi Ayda pun menyakat nak peluk saya dan waktu itulah dia tolak dan tepis tangan Ayda. Dia cakap “No, Dada is mine”.

“Dah lama saya tunggu momen ni tapi sayangnya saya tak dapat nak rekod momen itu sebab berlaku secara spontan saja,” ujarnya berkongsi.

Bagi Nabil lagi, dua anaknya sememangnya dibawah jagaannya sepenuhnya dan dia tidak kekok menguruskan kedua-duanya sekali.

Ayda Jebat jadi penguat
Pun begitu tanpa sokongan Ayda, pastinya kehidupannya bergelar bapa tidak sempurna. Malah kata Nabil lagi, Ayda adalah kekuatan bagi dirinya.

“Kalau Ayda tak ada saya rasa saya tak sekuat apa yang saya ada hari ini. Dia seorang yang sentiasa bagi saya motivasi.

“Dia bukan bagi kata-kata semangat tapi cara dia sentiasa buat saya rasa bersemangat untuk buat sesuatu.

“Kadang-kadang kalau saya tak cakap dengan dia pun dia boleh tahu. Dia selalu datang pada waktu yang tepat untuk bertanyakan pada saya sama ada saya okay atau tidak.

“Bagi saya dalam rumah tangga, kita tak boleh harapkan pasangan bagi 50-50. Ada waktunya kita kena bagi 90-10 mengikut situasi dan saling bekerjasama,” tambah Nabil lagi.

Terdahulu Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021. Pasangan ini kini dikurniakan dengan sepasang cahaya mata, Ana Nayla dan Aali Mateen.