“Ayah Susah Menangis Tapi Kali Ini Menitis Juga Air Mata”. Terharu Gara-Gara Anak Dan Menantu ‘Tong Tong ‘ Duit Beli Kereta Baru Untuknya.

Share

Anda boleh jadi sebak malah menitiskan air mata sebaik selesai menonton video adik-beradik yang membelikan ayahnya, Samsudin Bin Zainuddin, 62 sebuah kereta Axia baru dan menghadiahkan kenderaan itu pada tarikh pilihanraya PRU14 yang lepas. Lagi-lagi bila dalam hujan lebat itu, ayah memandu sambil mengelap cermin depan yang dah mulai kabur.

Beruntung anak-anak ini kerana dapat berbakti kepada kedua orang tuanya, ibu, Nor Hayati Abd Talib, 55 dan ayah yang masih sihat itu. Inilah yang dikongsikan dalam facebook, Nor Haliza Samsudin Jrm. Katanya, mereka adik beradik tidak sampai hati tengok ayah bawa kereta lama. Aircond tak ada, banyak yang rosak dan tak selesa. Sedangkan anak-anak semua naik kereta yang selesa.”

Dari situlah, persepakatan dan perkongsian 8 orang anak dan 5 orang menantu ini menjayakan misi untuk membelikan ayah sebuah kereta.

“Mula-mula kami berangan saja. Rasa tak mampu. Bila ayah cerita kereta dia banyak rosak, kena tolak bila nak jalan, aircond dah tak ada, tingkap tak boleh tutup dan banyak lagi. Maka kami mula berbincang. Berkongsi adik beradik untuk bayar ansuran dan downpayment. Perancangan demi perancangan untuk membuat surprise pun dimulakan.

“Ada cabaran sebenarnya nak dapatkan kereta ini. Sebabnya kami nak sebelum pilihanraya. Nak bagi masa itu. Syukur sales advisor dari Perodua ( FB : Ridzuan Perodua ) dan Bank Muamalat bagi komitmen yang sangat-sangat baik. Memang diaorang bagi tepat pada masa seperti yang dijanjikan.”

Kereta Baru Buat Ayah

Dan akhirnya pada 9 Mei 2018, sempena Hari Mengundi dapat juga kami semua berkumpul untuk serahkan kereta pada ibu dan ayah.

“Bukan kereta mewah kami dapat belikan, hanya kereta kecil ikhlas dari jiwa kami yang besar untuk ibu ayah tersayang.”

“Maaflah ibu ayah, banyak sangat kami terpaksa ‘menipu’ untuk buat surprise untuk ibu ayah. Biar satu dunia membenci, kami tetap disisi. Ayat ayah semalam, “Ayah tengah mandi pun terasa nak nangis, tersenyum sendiri.” Ujar Nor Haliza lagi.

Kata Nor Haliza, ayahnya ini seorang peneroka. Manakala ibunya suri rumah yang membesarkan 8 orang anak. Di kawasan kediamannya, dekat Felda Nitar 1, Mersing Johor, ayahnya itu terkenal sebagai peniaga aiskrim kon

“Ibu kadang-kadang meniaga laksa, mi rebus. kuih-kuih untuk di jaja. Kitaorang bayar yuran sekolah biasanya hasil kutipan duit raya atau hasil jualan laksa/mi rebus.”

Masjid Jadi Tempat Pertama Ayah Bawa Kereta Baru

Mahalnya air mata insan bernama ayah. Orang yang paling susah nak tunjuk dia sedih, dia susah, dia gembira. Tak pernah kami tengok ayah menitiskan air mata.

Tapi sempena semalam 9 Mei 2018 bersamaan Hari Undi, kami dapat buat ayah menangis.” Inilah pula kata-kata Hafiz N Noi Page, salah seorang anak Samsudin.

Terima kasih menjaga kami. Sesungguhnya jasa kalian tak ternilai. Betapa sedihnya bila tengok ayah menangis. Kami sayang ayah. Tempat pertama ayah bawa kereta tu di masjid bersama anak-anak dan menantu. Semoga Allah memberkati keluarga kami.”