Kehidupan yang serba kekurangan adakalanya menjadi pendorong buat seseorang individu itu untuk berusaha mengubah hidup mereka.
Usaha tangga kejayaan dan jangan berputus asa untuk ke arah tersebut. Nyata ungkapan ini sesuai dengan lelaki bernama Muhammad Faiz Ramly, 31 ini.
Dia yang berkongsi kisah hidupnya sehingga tular dan menerima lebih 11,000 perkongsian di laman Twitter dahulunya pernah menemui kegagalan namun berkat usaha gigih akhirnya kejayaan mengiringi kehidupannya kini.
Apa yang paling menyentuh hati adalah dia tidak lupa akan kedua orang tuanya selepas berjaya. Bahkan, kejayaan tersebut dihadiahkan buat ibu bapanya. Pasti terharu kedua orang tuanya . Ikuti kisahnya yang dikongsikan baru-baru ini. Moga bermanfaat untuk semua.
Menyoroti kisahnyanya, akui Faiz keluarga adalah pendorong utama untuknya berusaha demi menggapai sebuah kejayaan.
“Ayah saya seorang petani manakala ibu pula suri rumah. Saya mempunyai 9 adik-beradik dan saya anak ketiga. Dulu saya pernah terfikir untuk berhenti belajar semata-mata untuk bekerja membantu keluarga.
Tetapi saya teruskan juga walaupun menemui kegagalan tetapi saya tidak berputus asa. Sehinggalah saya berjaya membuat PhD yang bakal tamat tidak lama lagi,” ujar Faiz yang pernah melalui kesusahan sehinggakan pernah berpuasa selama dua hari dengan hanya minum air kerana ketiadaan wang ketika belajar di UM beberapa tahun yang lalu.
Bercerita lanjut, jelas Faiz lagi ketika mengambil SPM dahulu, dia pernah mengalami kegagalan yang disifatkannya sebagai keputusan yang ‘hancur’. Namun dia tidak putus asa sebaliknya, dia membuat rayuan untuk ke tingkatan enam.
Selepas gagal di peringkat itu, Faiz mengambil keputusan untuk bekerja seketika bagi mengumpul wang sebelum kembali menyambung pengajian peringkat STM Pada tahun 2008.
Berkat usaha gigih dan doa keluarga, Faiz berjaya menyambung pelajaran sehingga ke peruingkat ijazah sarjana muda pada 2020 dan ijazah sarjana pada 2016 sebelum meneruskan ke peringkah PhD dengan biasiswa penuh.
“Dalam ketika belajar itu, biar keputusna teruk sekali pun yang utama adalah kena fikirkan keluarga. saya selalu fikir, jika saya tidak mengubah hidup kami siapa yang akan bantu?
“Kerana itu ketika belajar, 80% duit biasiswa saya salurkan untuk keluarga dan pelajaran.Manakala selebihnya batu untuk diri sendiri,” ujar Faiz yang merupakan anak kelahiran Bachok, Kelantan.
Kini yang tinggal masih belajar empat adiknya manakala yang lain sudah bekerja dan ada yang memiliki keluarga sendiri.
“Sejak dulu lagi saya memasang impian untuk menggembiarkan hidup ibu bapa saya. Kalau boleh nak hantar ayah mengerjakan umrah.
“Dan alhamdulillah, impian tersbut tercapai kini. Senagaja kami adik-beradik membuat kejutan untuk ibu bapa ketika Raya Tahun Baru Cina baru-baru ini.
“33 tahun lalu, ibu dan ayah kami banyak berkorban untuk kami adik-beradik. Kini tiba masa kami balas kembali jasa tersebut. Kerana itu kami adik-beradik sepakat kumpul duit dan hantar mak ayah ke tanah suci. Insyaallah ibu bapa kami akan ke sana pada bulan ramadan tak lama lagi,” jelas Faiz lagi.
Mengakui kedua-dua orang tuanya terkejut dengan ‘surprise’ yang dibuat oleh mereka, jelas Faiz lagi itulah kali pertama melihat ayahnya menitiskan air mata.
“Dulu waktu jadi petani, ayah juga adalah seorang bilal di masjid. Selalu orang bercerita pasal umrah, haji tetapi dia tak pernah merasa. Kini apa yang dimpikan bakal menjadi kenyataan tak lama lagi,” ujar Faiz yang sudahpun berkahwin dan memiliki seorang anak.
Akuinya, dia tidak mahu anaknya merasai kehidupan perit seperti yang dilaluinya sebelum ini. Justeru, dia mahu memastikan anaknya mendapat peluang pendidikan yang sempurna.
“Kelahiran anak adalah motivasi terbesar saya. Kerana dia jugalah saya mahu berusaha dalam memastikan dapat memberikan yang terbaik untuk anak saya kelak.”jelas Faiz lagi.
Sumber: MSTAR ONLINE