Berita

Ayah Dibuang Dengan Kejam Dalam Sungai, Luluh Hati Anak Khabar Duka

Share

Pilu hati apabila mendapat tahu ayah dicampak ke dalam sungai dengan kejam. Tiada kata-kata yang dapat diluahkan betapa sedihnya dengan sikap kejam!

Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, bagaikan hilang kata-kata apabila dimaklumkan polis tentang kejadian yang menimpa bapanya itu.

Menurut laporan Sinar Harian, perbuatan suspek yang mencampak bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan, Sabari Baharom, 62, ke dalam sungai dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat disifatkan sangat kejam oleh anak mangsa.

Dakwa anak bongsu mangsa itu, suspek tersebut dipercayai kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan sebuah rumah yang terletak berhampiran rumah bapanya di Baling.

Anak bongsu mangsa, Muhammad Amir Hakimi turut turun ke lokasi pencarian bapanya di Sungai Padang Terap di Wang Tepus Foto Bernama

“Tindakan suspek terhadap ayah sangat kejam dan keterlaluan sehingga sanggup dia buang ayah dalam sungai.

“Saya difahamkan ayah juga melayan suspek dengan baik,” katanya yang turut turun ke lokasi pencarian bapanya di Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di sini pada Isnin.

Jelas Muhammad Amir Hakimi, mereka sekeluarga mengharapkan agar jasad bapanya ditemui secepat mungkin.

“Saya dan dua kakak juga akan melakukan solat hajat sekali lagi dan berdoa agar jasad ayah ditemui dengan segera,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan misteri kehilangan Sabari di Baling akhirnya terungkai selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki membunuh mangsa.

Foto Bernama
Foto Bernama
Foto Bernama

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat suspek, Sabari dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu, mengaku melakukan perbuatan berkenaan.