Menjengah FB Jabatan Pertanian Malaysia ada dikongsikan hasiat cekur yang boleh dikatakan antara ulam pilihan popular dikalangan orang Jawa.
Jom kita ketahui apa istimewa ulam atau herba nan satu ini.
CEKUR – amalan memakannya boleh menghilangkan jerawat dan awet muda
(idris bald)
Cekur , Cekuh atau galanga kecil merupakan sejenis tumbuhan herba ubatan bersaiz kecil yang boleh mencapai saiz 10 cm. Dikenali juga dengan nama-mana Kencur, Kentioer (Indonesia) Ingurupivali, Hingurupivali (Sri Lanka), Proh hon, Hon proh, Waan teendin, Waan hon (Thailand), Sand ginger, Finger root (Inggeris) atau nama saintifiknya Kaempferia galanga dari keluarga Zingiberacea.
Cekur, yang dipercayai berasal dari China dan India kini ditanam secara meluas di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Cekur tumbuh merumpun dan mempunyai akar rizom yang isinya berwarna putih dan berkulit berwarna coklat keperangan. Daun tunggal, lebar berbentuk panjang membujur dan meruncing dihujungnya serta tidak bertangkai dan berbau wangi. Cekur juga berbunga yang keluar dicelah ketiak daun berwarna putih keunguan. Dibiak menggunakan keratan rizom yang matang sesuai ditanam di kawasan sederhana lembab, subur terutama di tanah yang berorganik.
Pucuk muda cekur enak jika dimakan sebagai ulam dengan sambal belacan, budu, cencalok atau bahan pencicah lain. Selain dari itu, pucuk cekur yang dihiris halus boleh juga digunakan bagi melengkapkan nasi kerabu, nasi ulam atau kerabu yang popular di pantai timur. Rasanya sedikit pedas dan ranggup serta wangi.
Rizom cekur yang mengandungi pati, air, zink, kalsium, kalium, zat besi, minyak atsiri berupa sineol, asid metil kanil dan asid cinnamik, etil aster, kamphene dan gam juga boleh dimakan dengan mengupas kulit dan ditumbuk bersama cili untuk dimakan bersama nasi.
Buang angin
Cekur sangat popular di kalangan ibu-ibu yang baru bersalin yang dikatakan boleh membuang angin, menguncupkan rahim dan penjarang anak.
Redakan penyakit
Dikatakan juga cekur mampu mengubati batuk, sakit tekak, meredakan demam panas dan pelawas kencing.
Awet muda
Cekur mempunyai bahan yang bertindak sebagai antibakteria, antifungus dan antikeradangan. Bagi masyarakat melayu, pengamalan memakan cekur boleh mencegah sakit sengal tulang dan awet muda.
Sejak zaman kuno, cekur telah dikenal sebagai tumbuhan ubat yang banyak digunakan untuk membantu merawat berbagai penyakit. Antara manfaat lain adalah untuk membantu melegakan sakit kepala, selsema dan beberapa penyakit lain.
Hilangkan jerawat
Selain dari itu cekur diketahui dapat membantu menyelaraskan badan, melegakan serangan migrain, mengubati asma, merawat penyakit reumatik, batuk dan dapat menghilangkan jerawat.
Mengikut kajian makmal, keberkesanan cekur adalah karena terdapat lebih dari 23 senyawa dan tujuh di antara senyawa ini mengandung senyawa monoterpena, senyawa aromatik dan sesquiterpene. Cekur juga digunakan secara meluas untuk pembuatan ubat-ubatan moden dan bahan-bahan kosmetik.
Manakala ini pula perkongsian daripada Nur Adibah berkenaan cekur yang dikongsikan hasil temubualnya bersama jirannya.
Jom semak.
Asalnya ke rumah jiran nak mintak daun pegaga je,sekali terpandang kat herba cekur tu.Biasa digunakan dalam masakan orang jawa kan.
Sempat la juga bertanya pada makcik tu apa khasiat daun cekur tu selain dari dibuat masak.
Makcik tu pun cerita yang dia dulu zaman anak dara suka makan daun cekur buat ulam katanya sedap petua orang dulu-dulu nak wangi kan badan kata nya.
Menarik kan bunyi nya saya pun tak lepas kan peluang untuk mencuba rasa dan manfaat kan herba yang ada.
Sumber : Nur Adibah