Awas, Bila Kena Kekejangan Otot! Jangan Biar Berpanjangan, Dr Ini Jelaskan Sebabnya.

Share

“Aduhh! Nak luruskan kaki pun sakit bila kejang otot ni. Memang nak gerak pun sakit. Kena urut-urut dulu hingga rasa kejang tu kembali normal.”

Sudah tentu ada antara kita pernah mengalami rasa kejang otot waktu pagi terutama waktu bangun tidur atau pun ketika bersukan.

Walau nampak biasa aje kejang otot ni tapi jika dibiarkan ia akan menyebabkan akan menjadi serius. Ikuti penjelas Dr Zubaidi Ahmad perkara ini.

Kejang otot yang menyerang sewaktu baru bangun tidur adalah pengalaman yang kurang menyenangkan dan boleh mengganggu ‘mood’ anda sepanjang hari.

Biasanya kejang otot ini menyebabkan kesakitan pada jari kaki dan betis, iaitu antara bahagian yang kerap dilanda masalah ini.

Berdasarkan kajian American Academy of Family Physicians, 60% orang dewasa yang sering mengalami kekejangan otot pada awal pagi atau sebelah malamnya turut menghidapi masalah gangguan tidur atau insomnia.

Meskipun kejang otot adalah perkara biasa, tetapi ada serangan kejang otot tertentu perlu diambil serius kerana boleh menyebabkan komplikasi lebih serius.

LIMA GEJALA KENA AMBIL TAHU

Disenaraikan lima gejala kejang harus diberi perhatian dan memerlukan pemeriksaan kesihatan segera:

1. Kejang otot yang berlaku dalam tempoh panjang.

Kekejangan yang berlaku dalam tempoh singkat boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang, apatah lagi jika ia berlangsung dalam tempoh lama. Andai kejang menjejaskan fungsi harian anda, sebaik-baiknya dapatkan bantuan.

Kekejangan yang berlangsung dalam tempoh yang panjang boleh menjadi petanda gejala penyakit lebih serius. Selain dari itu, gejala kejang yang terlalu lama juga boleh disebabkan kolesterol tinggi selain gangguan saraf.

2. Kejang otot disertai bengkak, kemerahan dan perubahan warna pada bahagian terjejas.

Pengambilan ubat tertentu selain sering terbabit dengan perjalanan panjang contohnya duduk terlalu lama (sama ada di atas kenderaan atau di tempat kerja) boleh memungkinkan anda mengalami gejala kejang otot disertai kemerahan.

Kalau ada simptom lain termasuk bengkak dan perubahan warna pada kulit, itu menandakan ada gumpalan darah dalam tubuh. Pada awalnya gumpalan darah itu tidak bahaya, namun risiko boleh meningkat apabila berlaku saluran darah pecah dan menyumbang kepada serangan jantung atau strok. Ambil langkah pencegahan untuk mengelakkan anda berada pada tahap berkenaan.

3. Otot kaki yang kejang pada jarak sama ketika melakukan aktiviti olahraga.

Ini satu petanda bagi atlet yang gemar melakukan aktiviti larian jauh. Biasanya anda akan menghadapi saat otot betis seolah-olah ‘mengeras’.
Jika keadaan itu berlaku secara konsisten pada jarak hampir sama, ia mungkin gejala sindrom kompatmen. Ia merujuk kepada bahagian otot kaki mengembang sehingga memberi tekanan kepada bahagian lain. Kes terburuk membabitkan penyakit ialah saluran darah mahupun saraf tercedera dan terjejas akibat masalah berkenaan. Dapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan larian.

4. Kekejangan yang disusuli rasa mual, demam dan muntah.

Kejang otot yang disertai rasa mual, demam dan berakhir dengan muntah menandakan masalah dalam badan. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh masalah dehidrasi.

Sebaik-baiknya ambil air mencukupi untuk mengembalikan elektrolit dalam badan. Namun dapatkan nasihat doktor jika gejala itu berlarutan.

5. Disertai rasa panas dan kebas di bahagian otot mengalami kejang.

Apabila kejang otot turut disertai rasa panas dan kebas, ia merujuk kepada gejala dipanggil hernia cakera. Setiap tulang belakang dilengkapi dengan cakera pertengahan, bertindak sebagai penyerap kejutan dan pautan. Apabila seseorang berjalan atau berdiri, cakera ini menyokong beban yang menegak ketika pergerakan.

Namun bagi yang mengalami masalah ini, biasanya saraf akan ditekan dan akhirnya menyebabkan kesakitan. Biasanya pesakit akan rasa pijar di bahagian tubuh bawah terutama kaki.

Bagi melegakan gejala terbabit, biasanya terapi panas digunakan untuk menghilangkan rasa sakit. Namun, sebaik-baiknya temui doktor untuk tahu tahap kesakitan serta rawatan sesuai

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club