Kaum wanita apatah lagi yang telah berkahwin dan melahirkan anak, jangan sesekali ambil mudah dengan cara penjagaan dan tahap kesihatan rahim anda. Ini kerana sikap tidak prihatin dan sambil lewa mungkin akan mengakibatkan anda mengalami masalah rahim yang serius seperti prolaps atau rahim jatuh.
Sebaliknya jika anda mempunyai tanda-tanda ini, sebaiknya berjumpa doktor untuk mengenalpasti tahap kesihatan rahim sekaligus mendapatkan rawatan segera.
Melalui perkongsian Nurul Diyana Kamaludin yang juga merupakan perunding jamu kesihatan dan pengamal perubatan tradisional, beliau berkongsi mengenai 9 tanda-tanda jika seseorang wanita memiliki rahim yang tidak sihat.
1. Tumit sering sakit berdenyut dan menyucuk-nyucuk secara tiba-tiba. Rasa ini lebih kerap bila banyak berjalan, berdiri atau angkat benda berat serta beban pada perut.
2. Rasa sengal-sengal dan bisa-bisa urat pada tapak kaki. Rasa kejang dan menyucuk sekitar tapak kaki.
3. Sering sakit di sekeliling pinggang hingga ke papan punggung dan ke atas urat belikat. Sakit pinggang ini lebih kurang seperti lenguh dan rasa senggugut tapi ia berlaku di luar waktu datang bulan.
4. Bahagian bawah perut hingga ke pangkal peha. Rasa sengal dan lenguh pada pangkal paha hingga merebak ke lutut.
5. Mudah terkencing bila bersin, batuk atau ketawa. Mudah juga dijangkiti dengan penyakit kencing kotor serta rasa ngilu sakit ketika buang air kecil.
6. Sukar melakukan hubungan suami isteri dan sering merasa sakit pada bahagian ari-ari setiap kali bersetubuh. Perkara ini juga boleh merosakkan hubungan suami isteri.
7. Sering mengalami kentut vagina. Maknanya, rahim bermasalah dan vagina kembang.
8. Badan berangin dan sering kembung perut. Badan mudah masuk angin, dan perut menyucuk akibat angin dalam rahim dan perut.
9. Vagina berair dan berbau. Berlaku keputihan luar biasa dan salah satu tanda peranakan kembang.
Mitos Minum Ais Penyebab Rahim Kembang Dan Perut Buncit. Doktor ini Jelaskan Salah Faham.
Selalu kita dengar, ais boleh menyebabkan perut menjadi buncit. Tidak kurang juga yang mengatakan minum ais rahim menjadi kembang dan banyak lagi. Tetapi dimanakah kebenaran disebalik perkara tersebut?
perkongsian Dr. Rusyainie Ramli mungkin dapat membantu ibu-ibu akan hal ini. Boleh lihat status yang dimuatnaik di dalam laman facebooknya berkenaan hal ini.
Namun, terpulang kepada anda sama ada ingin mengikut atau tetap meneruskan pantang seperti yang diturunkan oleh nenek moyang asalkan ia tidak memudaratkan diri sendiri. Yang baik kita ambil dan jadikan panduan.
Teh o ais ni memang minuman kegemaran saya.
Ais tak salah.
Yang salahnya ialah kandungan gula dalam air saya minum ni.
Saya belum boleh minum teh o tanpa gula.
Teh ada kafein. Macam kopi.
Kafein kalau dalam dos sederhana boleh bagi mood lebih baik, buat minda lebih cerdas dan tingkat metabolisma badan.
Teh adalah satu-satunya tumbuhan yang ada asid amino L-theanine. Yang dikatakan merangsang rasa tenang dan rilek. Staf saya kalau nampak saya dah muka merah geram semacam nak naik angin, cepat-cepat pergi belikan saya teh o ais nak sejukkan hati saya yang dah nak melenting.
Ais takkan buatkan rahim saya kembang. Dah 10 tahun rahim saya tak kembang. Hahaha. Rahim kembang sebab saya mengandung. Tak mengandung? Elok je rahim saya dok tempat dia diam-diam.
Ais takkan buatkan becak kat kemaluan sebab saya minum air sejuk ikut mulut. Tak tahulah kalau ada orang minum air kot saluran lain.
Ais takkan buatkan abdomen saya buncit. Sebab air sejuk ni masuk je dekat saluran makan, terus akan ikut suhu badan. Air akan diserap ke dalam darah sistem badan melalui usus.
Yang buncit kat abdomen tu ialah lapisan lemak yang tersimpan. Nak hilangkan tu kena jaga makan dan senam.
Ais takkan buatkan saya rasa letih atau penat. Letih la jadi bos kat ofis. Penat uruskan keluarga. Tidur pun kadang tak cukup. Bukan sebab ais.
Ais takkan buatkan haid berketul-ketul. Tu mitos. Haid tu dinding rahim yang luruh. Maka ada nya tisu dan darah yang keluar ikut faraj. Dalam darah ada bahan untuk bekukan darah. Sebab tulah darah berketul. Cuba potong jari tu, keluar darah atas lantai. Mesti darah tu berketul punya kalau sistem pembekuan darah takde masalah. Kalau takde sistem tu, kita akan berdarah sampai kering. Nak?
Ais takkan buatkan senggugut. Merapu lagi. Senggugut tu benda biasa terjadi dengan haid. Kalau teruk sangat atau berpanjangan, jumpa doktor. Saya dah tulis pasal kitaran haid sebelum ni. Carilah ya.
Ais takkan buatkan vagina tu longgar. Tu auta terbesar bani jamu dan bani klimaks. Mereka tu sentiasa nak takutkan kita dengan ilmu sains songsang sebab hujungnya nak suruh kita beli produk mereka yang biasanya tak daftar pun dengan KKM. Nak ketat? Buat senaman Kegel. Malas? Saya angkat bendera putih dengan orang malas.
Ais takkan buatkan kita cepat tua. Cepat tua la kalau makan tak ingat dunia, berat badan lebih atau obes, malas senam, emosi tak tenteram, hisap rokok macam cerobong asap. Bila dah kena penyakit kronik dan masih tak nak berubah, kualiti hidup takkan sama dah.
Ais takkan buatkan nanti sakit badan bila dah tua sebab tak pantang ais masa lepas bersalin. Tolonglah. Negara kita ni panas ok. Kesian mak stres. Orang melayu ni berialah ikut segala petua masa pantang. Elok habis pantang, terus angkut kaki pergi mekdogol sebab nak buang gian. Tu dah kenapa. Kita ni nak kena jaga kesihatan sepanjang hayat. Pantang sakan la sangat 44 hari pastu buat-buat lupa lepas tu. Nampak macam pantang tu membuta tuli mengikut je tanpa tahu hujung pangkal.
Orang dulu buat petua ais ni sebab ais mahal sangat masa zaman mereka. Bukan semua orang mampu ada peti sejuk. Mereka pergi beli ais kat kedai yang dipotong guna gergaji dan pikul bawa balik rumah. Zaman sekarang dah tak relevan. Kita kan dah belajar sains. Kenapalah masih dok berpegang pada mitos ais ni.
Kesian ais.
Ais tak salah.
Tolong tepek pautan status saya ni kat bani jamu, klimaks dan suku sakat mereka kalau mereka dok membongak pasal ais. Rimas betul saya dengan cerita rekaan mereka.
Sumber: Dr. Rusyainie Ramli
Nak Berjaya Dalam Berdiet, Ini Boleh Buat & Pasti Tak Terbeban!
Bab berdiet ramai juga antara kita menjadikan sebagai satu azam bila datangnya tahun baharu. Kalau boleh biarlah dapat memiliki berat badan ideal.
Bagi merialisasikan azam, impian dan harapan untuk berdiet, elok kiranya kita fahami tip berdiet agar proses diet yang kita lalui tidak membebankan diri sendiri.
Nak tahu rahsianya, ayuh hadam perkongsian dari saudara Arif Sukri ini.
Semasa diet dibuat jangan sesekali menganggap sempurna itu satu ukuran kejayaan.
1. Andai pagi kelaut dengan sarapan yang berat dan melebihi kalori, tengahari nanti fokuslah kembali.
2. Jika hidangan di kedai makan tidak menepati kriteria makanan sihat, cukuplah sekadar apa yang terbaik di sana.
3. Tak mesti tunggu ada sayur lengkap, salad yang banyak. Jika ada timun yang kecil, itu pun dah baik.
4. Jika mahu minum air manis sedikit lebih, maka nasi itu dikurang-kurangkan. Ingat kedua-duanya adalah karbo.
5. Andai tiada lauk-lauk rebus atas bakar-bakar, yang goreng juga boleh jadi pilihan. Yang utama jaga kuantiti.
6. Hari ni jika tak sempat bersenam, sebolehnya gantikan dengan banyakkan berjalan kaki.
7. Hidup ini sifatnya tidak sempurna. Kita tidak perlu jadi orang yang mahu serba ada.
8. Apa yang kita fokus adalah apa yang terbaik dari yang kita ada. Begitulah.
sumber : Arif Sukri
Buat yang terbaik, bukan cari sempurna.
Bila Orang Tua Sering Terkena Bengkak Kaki, Dr Ni Beri Penjelasan Padu!
Lazimnya masalah kaki bengkak sering dikaitkan dengan wanita hamil dan masalah itu tidaklah dianggap merbahaya. Namun jangan pelik, masalah kaki bengkak juga akan sering terjadi pada ibu ayah yang telah berusia. Pun begitu, persoalannya adakah bekak tersebut menyakitkan atau merbahaya buat mereka.
Memahami situasi itu, penerangan dan pemahaman yang diberikan oleh Dr. Zubaidi Hj Ahmad ini dapatlah kiranya memberi info bermanfaat untuk semua.
BENGKAK PERGELANGAN KAKI DI KALANGAN WARGA TUA
“Abang, mak telefon, kata kaki dia bengkak..”
“Jangan risau. Berdiri solat tarawih lama sangat kot”. Itu detik hati saya.
“Tak bahaya ke? Mak ada darah tinggi..”
Saya tergamam. Mungkinkah bengkak di pergelangan kaki berkait dengan penyakit darah tingginya?
Ramai di kalangan warga tua yang mengadu mengalami bengkak di pergelangan kaki. Bengkak ini tidak menyakitkan dan ia akan hilang dengan sendiri setelah beberapa hari, tanpa perlu mengambil apa-apa ubat. Ia tidak bahaya.
Bengkak ini dinamakan ankle edema iaitu pengumpulan cecair pada pergelangan kaki akibat kesan graviti.
Banyak faktor-faktor yang menyebabkan bengkak di pergelangan kaki. Antara puncanya ialah :
1. Berdiri terlalu lama
2. Duduk terlalu lama dalam kereta atau kapal terbang
3. Berat badan yang berlebihan
4. Jika pernah berlaku kecederaan di kawasan itu, bengkak akan lebih mudah berlaku
Jika bengkak kaki berlaku setelah berlaku perkara-perkara di atas, ia tidak merbahaya. Selalunya bengkak itu tidak menyakitkan dan akan berkurangan setelah beberapa hari.
“Cakap kat mak, supaya angkat kaki melebihi paras jantung ketika berbaring. Nanti bengkak itu akan hilang secara perlahan-lahan”.
Saya memberikan beberapa saranan-saranan yang boleh dilakukan di rumah. Jika bengkak itu mulai surut, maka ia tidak menunjukkan tanda-tanda bahaya. Selain itu, bengkak kaki boleh dihilangkan dengan melakukan pergerakan pada otot betis supaya darah dapat dipamkan ke jantung iaitu dengan melakukan pergerakan ringan pada sendi-sendi dan otot betis. Urutan yang ringan pada bengkak itu juga membantu melancarkan perjalanan saluran limfatik.
Jika bengkak itu berulang, pesakit boleh menggunakan stokin khas yang boleh didapati dari farmasi. Penjagaan makanan juga penting. Pesakit dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan ‘low-salt diet’.
Bagi bengkak yang tidak merbahaya, doktor selalunya akan memberikan ubat Frusemide 40mg (diuretic) yang mana air yang terkumpul akan dibuangkan melalui air kencing. Namun ubat ini mempunyai kesan sampingan dan harus diberikan secara berhati-hati kepada pesakit warga emas, terutama jika mereka mempunyai penyakit kronik. Oleh itu ubat ini hanya digunakan setelah mendapat nasihat doktor.
Jika bengkak itu tidak menyusut saiznya, ia adalah tanda bagi komplikasi penyakit yang lebih serius. Warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi harus mendapatkan pemeriksaan yang lebih teliti di hospital, terutama jika bengkak itu tidak berkurangan setelah beberapa hari. Dikhuatiri, bengkak itu menandakan seseorang itu mengalami masalah jantung, ginjal atau hati yang serius.
Sebahagian warga emas mengambil beberapa jenis ubat untuk merawat beberapa penyakit kronik mereka. Ada juga antara ubat-ubatan ini yang boleh menyebabkan bengkak di pergelangan kaki. Beberapa ubat yang diberikan doktor juga boleh menyebabkan bengkak pada kaki. Antaranya :
1. Pil hormon replacement therapy (HRT) dan testosterone
2. Pil untuk penyakit darah tinggi seperti calcium channel blockers (seperti nifedipine, amlodipine, diltiazem, felodipine, and verapamil)
3. Pil yang mengandungi steroids
4. Pil rawatan kemurungan jenis MAO inhibitors (seperti phenelzine dan tranylcypromine) dan tricyclics (seperti nortriptyline, desipramine, dan amitriptyline)
Jadi jika berjumpa doktor untuk mengadu masalah bengkak kaki, saya sarankan agar pesakit membawa ubat-ubatan mereka agar doktor yang memeriksa dapat menyemak ubat-ubatan itu. Doktor akan menghentikan ubat-ubatan itu dan mungkin menggantikannya dengan ubat yang lain bagi mengelakkan bengkak di pergelangan kaki berulang. Saya pernah ditanya oleh seorang rakan yang mengadu bengkak di kaki ibunya.
“Doc, ibu I ada bengkak di pergelangan kaki tapi yang peliknya, dia mengadu sakit pada bahagian itu. Bahaya tak?”
Jika bengkak kaki disertai dengan rasa sakit, selalunya ia menunjukkan masalah yang lebih merbahaya, sama ada infeksi dan gout. Pemeriksaan yang rapi harus dilakukan. Jadi saya mencadangkan agar warga tua yang mengalami masalah bengkak di pergelangan kaki agar menjalani pemeriksaan oleh doktor, terutama jika mereka adalah pesakit kronik seperti seperti hypertensi/darah tinggi, diabetes/kencing manis dan hyperkolestrol.
Saya bimbang bengkak kakinya adalah tanda-tanda komplikasi penyakit kronik seperti kegagalan jantung, buah pinggang atau mungkin hati. Doktor akan memberikan rawatan berdasarkan penyakit yang sebenar, dan bukan hanya untuk menghilangkan bengkak di pergelangan kaki sahaja.
Rujukan :
Goldman L. Approach to the patient with possible cardiovascular disease. In: Goldman L, Ausiello D, eds. Cecil Medicine. 23rd ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 48.
Benoit Blondeau; Lawrence L Tretbar; Morgan, Cheryl E.; Simon J. Simonian (2007). Lymphedema: Diagnosis and Treatment. Springer.
sumber : Dr. Zubaidi Hj Ahmad