Menjaga seorang bayi sudah boleh bikin riuh, inikan pula menjaga 5 bayi sekaligus.
Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki warga emas yang dilihat sedang sibuk menjaga cucu-cucunya yang masih bayi pada hari raya yang lalu.
Sedang orang lain sedang sibuk berborak dan menjamu selera, lelaki bernama Tok Aki dilihat cuba untuk menenangkan lima cucu serentak, terdiri daripada sepasang bayi kembar dua, manakala satu lagi adalah kembar tiga.
Bapa kepada kembar tiga, Syed Mohd Faiz Syed Nasir berkata, Tok Aki merupakan bapa saudaranya yang turut dikurniakan dua cucu perempuan kembar berusia tiga bulan.
Menurutnya, video tersebut dirakamkan ketika berkunjung ke rumah bapa saudaranya itu di Simpang Pulai di Pahang, sempena sambutan Hari Raya, baru-baru ini.
“Bapa saudara saya buat pertama kali ada cucu kembar dalam keluarganya. Malam itu saya sekeluarga datang dan bermalam di rumahnya, macam balik kampung.
“Saya ada anak perempuan kembar tiga (triplet). Jadi dia cuba menidurkan lima kembar serentak,”
Lebih mesra disapa Faiz, katanya, anaknya yang merupakan kembar tiga baru berusia 11 bulan dan pertama kali ke rumah Tok Aki.
“Setiap kali raya, saya akan ke rumah Tok Aki. Dia jaga dua cucu kembarnya sejak lahir. Dan malam Hari Raya tu saya bawa tiga lagi bayi kembar.
“Memang terkejut Tok Aki apabila melayan lima bayi kembar serentak. Tok Aki memang rajin menjaga cucu-cucu, dia juga penyayang,” ujarnya yang menetap di Cheras, Selangor.
Bapa kepada lima cahaya mata itu mengakui begitu mencabar untuk menidurkan tiga bayi kembarnya kerana masing-masing sudah pandai meniarap.
“Pergerakan mereka agak cepat menyebabkan sesiapa sahaja akan terkejar-kejar untuk menenangkan mereka. Tambahan pula cucu kembar dua pula baru bangun daripada tidur.
“Anak-anak saya (kembar tiga) pula terjaga daripada tidur di ruang tamu. Jadi, memang riuh masa tu, meraih kampung!”
Walaupun pengalaman baharu pada hari raya, Faiz yang merupakan peniaga air balang menyifatkan bapa saudaranya sebagai seorang yang sangat mesra dengan kanak-kanak dan penyayang.
“Tok Aki orangnya lemah-lembut. Naluri atuk memang sayang cucu-cucu. Bezanya raya tahun ini dia dapat berjumpa dengan lima cucu kembar sekali gus.
“Alhamdulillah dengan adanya Tok Aki masa tu, dapat meringankan sikit beban kami untuk berehat sekejap selepas beraya sepanjang hari.