Berita

ATM Siasat Dakwaan Kes Buli Pelajar Kadet, Cedera Ditekap Seterika

Share

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan berkaitan tular menerusi media sosial melibatkan kes salah laku buli dakwaan Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) cedera ditekap seterika, disyaki dibuli senior.

Menerusi laman rasmainya, ATM mengeluarkan kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden itu yang memperlihat kesan lecur pada badan mangsa.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil maklum berkenaan laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden seorang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK – UPNM) yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang ‘senior’nya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada Pegawai Kadet tersebut sehingga meninggalkan kesan lecur.


Susulan itu, ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK – UPNM.

ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut. Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah.

ATM juga menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara ini secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya. Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut.

Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera baru-baru ini.

Memetik sumber, mangsa mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas, yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sumber: Angkatan Tentera Malaysia