Ibu bapa perlu bersepakat dan memberi keutamaan dalam pendidikan anak untuk berinteraksi dengan al-Quran. Ia membentuk jati diri dan keperibadian mereka. Itu yang dipraktikkan oleh Ketua Pergerakan Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam keluargnya.
“Al- Quran adalah perkara penting untuk dibaca oleh ahli keluarga setiap hari. Kami membaca al-Quran sekeluarga sebagai rutin harian antara waktu solat Maghrib dan Isyak.
“Apabila saya dan isteri, Prof Madya Dr Irwani Abdullah tiada di rumah, anak yang lebih besar akan menyemak bacaan adik-adiknya. Saya juga memberi insentif kepada anak berkaitan dengan al-Quran.
“Contohnya, jika anak dapat menghafal satu surah, baru saya berikan satu permainan sebagai ganjaran. Sebagai ibu bapa, kita perlu mengamalkan budaya membaca al-Quran agar menjadi ikutan anak-anak.”
Pasangan tersebut dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ammar, 16, Affaf, 13, Affan, 10, Azzah, 8 dan Azzam, 5. Mereka bakal menimang cahaya mata ke enam pada November ini. Keluarga Asyraf Wajdi menjadi Sahabah Al Quran – Keluarga di bawah kempen My Family #QuranHour dan #Saving Families dalam mengukuhkan keluarga dengan al-Quran, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Asyraf Wajdi berkata, jika ibu bapa tidak membaca al-Quran bagaimana hendak sampai mesej ke lubuk hati anak? Berdasarkan pengalaman sewaktu kecil, ibu bapa beliau amat menekan soal al-Quran. Leteran mereka sentiasa mengingatkan beliau untuk akrab dengan al-Quran.
Ini diakui oleh Irwani yang mendapat didikan ibu bapa dalam menekankan “Quran Time” antara Maghrib dan Isyak. Budaya tersebut diteruskan dalam legasi keluarga beliau, ditambah dengan galakkan ibu mertuanya yang mengutamakan bacaan al-Quran selepas subuh. Ini melengkapkan kitaran hidup berdamping dengan al-Quran.
“Saya sebagai ibu perlu tegas dan paling berdisiplin dalam mendidik anak kerana suami jarang ada di rumah. Ayah sebagai faktor meletakkan undang-undang dan peraturan kepada anak. Jadi mudah bagi si ibu untuk melaksanakan tanggungjawab untuk mengingatkan anak-anak.
“Setiap waktu cuti sekolah, kami akan sediakan jadual untuk anak-anak menghafaz al-Quran. Anak yang bersekolah rendah menghafaz juzuk 30, manakala anak bersekolah menengah mula menghafal dari juzuk 29 dan seterusnya. Anak berumur bawah 6 tahun perlu menghafal surah lazim.”
Kata Irwani lagi, apabila anak sudah mengenal antara baik dan buruk semasa mumayiz, mereka diajar untuk mengenal ALLAH. Ketika anak masuk sekolah rendah, baru ditekankan disiplin solat yang cukup dan mengaji al-Quran secara konsisten. Menjelang remaja atau di alam sekolah menengah, ibu bapa memfokuskan adab, tanggungjawab dan berdikari kepada anak.
“Saya mendapati apabila anak dapat diterapkan nilai agama iaitu solat, membaca dan menghafal al-Quran, jiwa anak mudah dibentuk atau menerima nasihat serta teguran. Ternyata al-Quran sebagai penawar dan nur pada jiwa anak-anak kami.”
Asyraf Wajdi menambah, “Anak-anak mudah dididik jika ada cahaya iaitu al-Quran kerana hati mereka diberi berakah dan rahmat daripada ALLAH SWT.”
Sumber: Fouziah Amir & Sinar Harian