Genap dua minggu pemergian isteri ketika dalam pelukan, suami tercinta Amirul Nafis Amirnuddin berkongsi keadaan anak sulung mereka Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis, 2 bulan.
Menerusi hantaran di Instagram, Amirul Nafis memberitahu anaknya sudah mula tidak mahu duduk diam tanpa sebab.
Bahkan katanya lagi anak kecilnya itu asyik menangis selepas pemergian ibu dua minggu yang lalu.
“Adik dah mula tak mahu duduk sangat. Asyik menangis, serba tak kena.
“Papa tahu adik rindu mama,” kongsinya.
Mahu simpan memori untuk anak lihat di masa depan
Melalui perkongsian itu juga, bapa muda ini juga turut memotretkan semua kenangannya bersama isteri dalam media social sebagai memori untuk dirinya dan anaknya, Baby Faleeq.
“Papa masukkan dalam hantaran ini, supaya nanti adik besar dia boleh tengok. Inilah seorang mama adik yang suka jalan dengan papa, yang selalu ada dekat mana dengan papa.
“Yang paling kuat makan tetapi tetap kurus. Lillah, mama dalam ingatan papa dan sekeluarga,” kata Amirul Nafis.
Terdahulu, kisah seorang ibu muda yang meninggal dunia dalam pelukan suami ketika tidur benar-benar meruntun hati ramai memandangkan dia baru sahaja selesai menyusukan anaknya berusia dua bulan. Allahyarham difahamkan mengalami jangkitan pada paru-paru namun tidak menunjukkan sebarang tanda sedang sakit.