Tiada kata yang mampu diungkapkan tatkala ditinggalkan pergi insan tersayang buat selama-lamanya. Kehilangan yang cukup memeritkan, seolah-olah separu nyawa diragut pergi bersama.
Namun, sosok tubuh bernama Shuib atau nama penuhnya, Shahmira Muhamad ini kuat dan cekal orangnya. Kepulangan isteri tersayang, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin ke Rahmatullah diterima dengan hati yang reda.
Menurut Shuib, malam tadi dia dan tiga anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, sempat membuat panggilan video buat kali terakhir bersama arwah isterinya yang sedang nazak di hospital.
Kata Shuib lagi, arwah isterinya akan ditayamun dan disolat jenazah di hospital berkenaan kira kira jam 10 pagi.
Jenazah Siti Sarah dijangka akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira kira jam 12 tengah hari.
“Memang permintaannya untuk dikebumikan sebelah arwah ibunya. Malah selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya.
“Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan 6 Ogos lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata, Allah lebih menyayanginya.
“Nama Ayash Affan itu sendiri dipilihnya kerana menurut pembacaan arwah, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Gaza,” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu sebelum ini tidak sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.
Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Sumber: Berita Harian Online