Ibu mana yang tidak bersedih bila anak yang menjadi harapan keluarga pergi buat selamanya. Bukan mudah untuk menerima kenyataan tersebut namun perlu reda dengan takdir Ilahi.
Begitulah yang dirasai oleh Puan Razilah Daud, ibu kepada Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang maut dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut apa yang dilaporkan di Utusan Malaysia, anak kedua daripada empat adik beradik itu merupakan harapan keluarga kerana banyak berjasa terhadap kedua ibu bapanya, Bustamy Tuakal, 70, dan Razilah Daud, 52.
Belikan Rumah & Beri Duit Belanja
Razilah berkata, rumah didiaminya bersama suami serta dua orang lagi anaknya di Taman Redan Perdana di sini dibeli oleh Mohamad Affendi.
Sebelum ini katanya, suami yang bekerja sebagai buruh dan dia mengambil upah menjahit pakaian tinggal menyewa di Felda Keratong 3 dan Keratong 5.
“Sudah tiga tahun kami duduk sini (Taman Redan Perdana) sejak 2017, arwah beli rumah ini dan dia maklum emak duduk sini, anggap seperti emak dan abah berpencen. Duduk berehat.
“Kelengkapan rumah semua lengkap dan disediakan oleh arwah. Duit belanja pun setiap bulan arwah beri. Arwah memang banyak berjasa pada keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Redan Perdana, di sini semalam.
Nahas Pesawat Hawk
Dalam kejadian yang berlaku dalam kawasan pangkalan TUDM Butterworth pukul 10.07 malam itu, seorang lagi anggota TUDM dilaporkan cedera selepas pesawat jenis Hawk 108 itu terhempas.
Anggota terbabit, Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, kini sedang menerima rawatan di HSJ di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil.
Razilah berkata, anak keduanya itu yang menetap di Labuan, Sabah pergi ke Pulau Pinang untuk mengikuti kursus atau latihan penerbangan di situ.
“Kebiasaannya jika ada peperiksaan atau ujian, arwah biasanya akan hubungi makcik, tapi semalam tidak. Cuma sebelum ini dia ada maklum akan ada periksa paling susah sekali, namun dia tidak cakap periksa apa,” katanya.
Razilah berkata, dia dan suaminya sebak ketika menerima perkhabaran itu namun menerima ketentuan ilahi.
“Pada awal pagi tadi (semalam) mak cik terlalu sedih kehilangan anak yang merupakan harapan keluarga,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
ARTIKEL MENARIK : Akui Sibuk Kerja & Kini Ibu Ni Kesal Biarkan Anak Bermain ‘Phone’ Sampai Mata Merah & Sembab!
LAGI ARTIKEL MENARIK :Pakar Jelaskan Punca Kemerosotan Tulang & Otot, Serta Tips Pemakanan Yang Baik. Sila Take note, Rugi Kalau Tak Tahu!
Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club