Arab Saudi telah membatalkan kebanyakan sekatan COVID-19 di negara itu bakal mempermudahkan urusan ketibaan umat Islam ke Tanah Suci.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata penarikan balik sekatan berkenaan turut disahkan melalui perbualan beliau dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, malam Sabtu.
Dipetik dari BH Online, Arab Saudi membatalkan kebanyakan sekatan COVID-19, termasuk penjarakan fizikal di kawasan awam dan kuarantin untuk pelawat yang sudah menerima vaksin.
“Ya betul, (beberapa sekatan ditarik semula Arab Saudi) mulai semalam. Tidak perlu lagi kuarantin dan pengembara termasuk umat Islam yang akan menunaikan ibadah suci di negara itu tidak perlu lagi menjalani ujian PCR dan RTK.
“Antaranya, tiada lagi keperluan untuk memakai pelitup muka kecuali di tempat tertutup, dan saf solat juga dirapatkan semula,” jelasnya.
Penjarakan fizikal turut ditamatkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta tidak lagi mewajibkan pelawat yang divaksin untuk menunjukkan keputusan negatif hasil ujian PCR atau RTK sebelum tiba di negara berkenaan.
Selain itu, diharapkan agar Kerajaan Arab Saudi akan turut membenarkan pelaksanaan ibadah haji membabitkan umat Islam dari seluruh dunia yang sudah dua tahun tertangguh disebabkan penularan COVID-19.
Kelonggaran yang diberikan ini sekali gus dapat membantu industri pelancongan dan umrah yang telah dilanda kesuraman sepanjang tempoh terbabit, untuk kembali bangkit serta pulih.
Sumber : BH Online