Memelihara haiwan dianjurkan dalam Islam namun pemiliknya hendaklah menjaga dengan baik kepada haiwan peliharaannya. Penjagaan hendaklah diberikan secukupnya agar haiwan tersebut dapat meneruskan kehidupannya dengan baik.
Ketika ditemubual oleh wartawan Majalah Keluarga, Baharim Abu Bakar memaklumkan memelihara sebanyak 21 ekor kucing yang disifakan bagaikan anak-anaknya. Suami kepada Nur Hanariawati dan bapa kepada tiga orang anak iaitu Nur Fatihah, Nur Farihah dan Muhammad Farhan Iman, begitu teruja apabila berkongsi cerita mengenai kisah hidupnya bersama kucing-kucingnya.
“Saya dan isteri anggap kucing-kucing saya ini umpama anak sendiri. Gelagat mereka memang menghiburkan kami. Kami amat sayang mereka. Hilang segala tekanan seharian. Gelagat mereka memberikan kegembiraan buat kami. Mereka juga amat manja. Jika waktu malam, memang ada yang akan tidur sekatil dengan kami. Memang kami akan berhati-hati takut ada yang terpijak.
“Jika bersempatan saya akan membawa kucing-kucing ini menaiki kereta. Bawa mereka pusing-pusing sekitar taman perumahan kami. Mereka semua duduk diam.
“Bagaikan anak sendiri, kami memberikan mereka nama dan setiap nama itu berdasarkan karektor mereka. Contohnya, Cici disebabkan kami lihat jiwanya lembut, Jojo pula sikapnya suka bermain dan happy go lucky dan Aladdin pula bersikap seperti ketua yang menjaga kawasan,” ujar Baharim Abu Bakar yang menyebut sebahagian nama kucing-kucingnya sambil membelai lembut anak bulus yang berada disisi.
Jadi ‘bidan’ dan CPR
Memilik kucing dengan jumlah yang banyak sudah pastinya memerlukan komitmen yang tinggi supaya haiwan peliharan ini dijaga dengan sempurna termasuk aspek kebersihan dan pemakanan.
“Setiap pagi sebelum saya keluar bekerja, saya akan pastikan lantai rumah dicuci, bekas najis dibersihkan serta menyediakan makanan kepada kucing-kucingnya.
“Manakala tugas isteri pula lebih kepada pengurusan kucing apabila ada yang demam dan hendak beranak. Saya masih ingat, pernah kucing-kucing kami serentak demam. Isteri merawat kucing-kucing tersebut sehingga perlu bangun dua, tiga pagi untuk memberi air agar tidak alami kekurangan air.
“Isteri saya juga bagaikan ‘doula’ kucing-kucing kami yang hendak beranak. Pernah kucing beranak songsang, sehingga anaknya kena diberi CPR.
“Saya bersyukur, kami berkongsi hobi yang sama meminati kucing. Anak-anaak pula memang tidak lepas peluang bermain dengan kucing-kucing setelah pulang dari sekolah. Kami juga bahasakan diri dengan panggilan ‘ayah’ dan ‘ibu’ bersama semua anak bulus kami ini,” ujarnya yang memperuntukkan RM1 ribu setiap bulan bagi pengurusan kesemua kucing-kucingnya.
5 tahun tak balik kampung beraya
Memelihara haiwan yang manja dan comel ini rupanya memerlukan komitmen yang tinggi. Bagi Baharim, selama lima tahun, ahli keluarganya tidak pulang beraya di kampung semenjak memiliki kucing yang banyak. Juga pada masa yang sama turut menjalankan perniagaan menguruskan kucing atas nama Katsumi Cat yang memberikan perkhidmatan menjaga kucing, grooming dan cat grab.
“Saya bersyukur ibu saya memahami situasi yang saya tempuhi. Selain menjaga kucing sendiri, saya juga menguruskan kucing pelanggan saya. Ibu saya pernah datang ke rumah melihat saya mencari rezeki.
“Bagaimana pun, jika kami pergi bercuti, paling lama hanya tiga hari sahaja. Dalam tempoh ketiadaan kami, ada adik kami yang akan datang memberikan makan kepada kucing-kucing tersebut,” katanya.
Kematian Aladdin jadi tular
Terdahulu, kisahnya kucing kesayangan Baharim telah menjadi tular ekoran rakaman video beliau sedang menangisi kematian kucing tersayang bernama Aladdin. Isterinya yang memuat naik video di laman sosial Katsumi Cat, tidak menyangka menjadi viral.
“Aladdin begitu istimewa buat kami. Kematiannya seharusnya tidak berlaku, namun akibat kecuaian dirinya, Alladin tersepit pada suatu besi sehingga menyebabkan tulang tengkoknya patah.
“Ia adalah kucing yang diberikan oleh seorang teman.Ketika diserahkan kepadanya, Aladdin berusia lima bulan. Beberapa bulan yang lalu, Aladdin mati pada usia mencecah tiga tahun.
“Saya masih ingat setelah isteri menelefon saya untuk pulang segera setelah berlaku kejadian itu. Menurut isteri, ada mendengar seakan berlaku pergaduhan antara Aladdin dengan seekor kucing peliharan kami.
“Setelah balik, saya dapati Aladdin sudah tidak bermaya. Matanya hanya memandang saya ketika itu hinggalah nafasnya yang terakhir.
“Saya akui tidak dapat menerima kematiannya kerana sebelum saya keluar, Aladdin sihat dan ceria. Untuk kenangan, saya telah tanamnya dihalaman rumah kami,” jelasnya mengimbau kenangan.
Sumber: Majalah Keluarga