Biasanya apabila tiba musim perayaan, tidak kiralah Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krimas atau sambutan Hari Raya, pastinya akan ada situasi salam hari raya dan berpelukan, betul tak? Si kecil juga tidak terkecuali apabila ada ahli keluarga yang ingin peluk anak.
Tetapi kadangkala ada anak-anak yang tidak mahu bersalaman atau berpelukan, jadi apakah tindakan anda? Memaksa atau menerima kehendak mereka tersebut?
Apakah adab hari raya itu lebih penting atau keselesaan anak? Jom ketahui jawapannya dalam perkongsian artikel ini.
Situasi selalu terjadi apabila ada yang ingin peluk anak
Senario memeluk atau bersalam ini bukanlah hanya terjadi ketika perayaan, bahkan berlaku setiap kali rumah dikunjungi saudara-mara.
Apabila ahli keluarga ingin pulang, kita biasanya akan memanggil anak untuk bersalaman, “Husna, salam Mak Long.”
Ada anak yang mudah menerima arahan. Terdapat juga anak yang teragak-agak – jelas menunjukkan mereka tidak mahu melakukannya – tetapi anda memaksa mereka untuk melakukannya, sama ada secara lisan atau literal.
Anda mungkin terfikir ia hanyalah pelukan, sekadar adab hari raya atau ketika bersama ahli keluarga. Namun penerimaan anak terhadap keadaan tersebut mungkin berbeza.
Peluk anak biarlah atas kerelaan mereka
Tidak kira sama ada anak lelaki atau perempuan, kedua-duanya mempunyai hak melakukan sesuatu atau keinginan mereka sendiri.
Walaupun perbuatan bersalaman atau berpelukan kelihatan seperti adab hari raya, namun fikirkan mesej yang anda hantar melalui tindakan memaksa anak memberikan kasih sayang walaupun jelas mereka tidak mahu melakukannya.
Anda sedang ‘memberitahu’ mereka bahawa apabila ada individu dewasa yang mahukan pelukan atau ciuman, anak harus memberikannya walaupun tidak selesa – sekali gus memberi ruang kepada perbuatan gangguan seksual.
Sebaliknya, jika ibu bapa membenarkan anak menunjukkan kasih sayang mengikut istilah dan kerelaan mereka sendiri, anda mengajar mereka untuk mempunyai hak tersendiri berkaitan perasaan dan emosi.
Tindakan tersebut juga membantu anak menyedari bahawa anda menghargai perasaan mereka. Sekali gus membolehkan anak belajar bahawa mereka mempunyai hak untuk mengatakan tidak.
Memaksa anak juga dalam masa yang sama mengajar mereka bahawa individu dikenali sentiasa boleh menyentuh mereka. Kesannya anak mungkin tidak akan berkongsikan kepada anda jika berlakunya gangguan seksual.
Pentingnya keselesaan si kecil dalam situasi peluk anak
Ibu bapa perlu membantu anak memahami jika keadaan atau sesuatu perkara membuatkan mereka tidak selesa, jangan lakukannya. Walaupun ia melibatkan pelukan atau bersalaman dengan datuk, nenek mahupun ahli keluarga lain.
Tidak dinafikan, pelukan dan ciuman daripada ahli keluarga adalah sebagai tanda kasih sayang kepada si kecil. Namun itu tidak bermakna anda boleh membiarkan anak berada dalam keadaan tidak selesa secara fizikal hanya kerana tidak mahu menyakiti hati ahli keluarga lain.
Ia adalah tanggungjawab ibu bapa untuk menentukan bahawa anak tidak perlu dipaksa melakukan sesuatu di luar kehendak mereka selagi berada dalam landasan yang betul.
Pilihan adab hari raya yang boleh diamalkan
Apabila anda meminta si kecil bersalaman atau memeluk ahli keluarga tetapi permintaan tersebut ditolak, pastinya timbul rasa kejanggalan, bukan?
Jadi untuk mengelakkan situasi tersebut, anda boleh mencuba beberapa tip berikut:
Berikan pilihan sebelum membiarkan ahli keluarga peluk anak
Tanyakan kepada si kecil sama ada mereka boleh memberikan pelukan, ciuman atau salam hari raya kepada ahli keluarga lain, contohnya “Tok mesti suka kalau Husna kiss Tok, Husna nak kiss tak?”
Pastikan anda menerima dan menghormati apa sahaja pilihan mereka. Ia akan memperkasakan anak untuk mengetahui apabila mereka selesa dan tidak selesa dengan kasih sayang secara fizikal.
Jelaskan kepada keluarga dan sahabat
Ia mungkin konsep asing bagi ahli keluarga apabila anda membenarkan anak membuat pilihan sama ada mereka mahu atau tidak memeluk mahupun mencium seseorang.
Perjelaskan secara terbuka bahawa itu pilihan yang anda mahukan untuk si kecil – untuk tidak memaksa mereka memberikan kasih sayang fizikal sekiranya tidak selesa.
Perkukuhkan rasa hormat dalam hal peluk anak
Dalam masa yang sama, terangkan kepada anak bahawa penolakan untuk bersalaman, berpelukan atau berciuman bukanlah alasan untuk mereka menjadi tidak beradab. Ajari mereka untuk menolak dengan penuh hormat.
Jangan lupa untuk memuji mereka sekiranya anak melakukannya dengan baik.
Berbincang mengenai hak mereka
Sebaiknya berbincang dari hati ke hati bersama anak. Perjelaskan kepada mereka mengenai pilihan yang ada. Didik mereka mengenai ‘sentuhan selamat’ dan ‘sentuhan tidak menyelesakan’.
Komunikasi seperti ini dapat membantu anak untuk berasa lebih selesa berkongsi segalanya dengan anda tanpa merahsiakan apa-apa.
Selain peluk anak, anda boleh galakkan kasih sayang bukan fizikal
Anak mungkin mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kasih sayang mereka – seperti memberikan lukisan atau menyanyikan lagu untuk mereka. Galakkan anak untuk mempamerkan kasih sayang dengan cara mereka sendiri.
Sekiranya ibu bapa memaksa anak untuk menunjukkan kasih sayang walaupun mereka tidak selesa, ia seperti kita mengajar si kecil untuk mengabaikan gerak hati. Sekali gus ada risiko diambil kesempatan oleh individu lain.
Usah memaksa anak memberikan pelukan, salam hari raya atau ciuman, sebaiknya biarkan mereka memilih dan melakukannya dengan seikhlas hati.