
Kadang-kadang, bila anak tertinggal duit belanja atau bekal, ibu bapa cenderung panik dan terus cari jalan mudah mesej cikgu suruh pinjamkan duit atau belikan makanan.
Niatnya mungkin untuk memastikan anak tidak lapar, tapi tanpa sedar, kita sedang membentuk satu tabiat yang kurang baik. Anak jadi terlalu bergantung dan tak belajar dari kesilapan sendiri.
Perkongsian dari FB Dr. Kamilin Jamilin ini mengajak kita sebagai ibu bapa untuk berfikir semula tentang cara kita mendidik anak-anak supaya lebih bertanggungjawab dan berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.

Ini pandangan saya sebagai salah seorang ayah. Saya pun ada anak-anak yang tahun ni baru masuk darjah 1, abang dia darjah 4 dan yang sulung sudah tingkatan 3.
Kalau anak-anak tertinggal duit ke, bekal ke, jangan susahkan cikgu, atau mesej cikgu untuk pinjamkan dulu duit atau minta cikgu belikan makanan ke itu ini, melainkan memang kes-kes kecemasan macam anak ada gastrik ke dan seumpama.
Yang pertama, kita kena hormat cikgu sebagai guru yang mendidik anak-anak kita. Hormat kerjaya mereka dan hormat masa mereka. Mereka bukan pekerja kita atau khadam kita.
Mereka pun ada banyak tugas; mendidik, mengajar, tugasan pejabat dan macam-macam lagi. Bayangkan kalau ada 10 ibu bapa yang mesej cikgu suruh cikgu buat itu ini untuk anak-anak mereka.
Kedua, ajar anak-anak kita untuk perbaiki kesilapan dan uruskan diri sendiri.
Kalau mereka tertinggal duit atau bekal, ajar mereka akibatnya mereka akan berlapar, esok jangan tinggal lagi.
Kalau tertinggal buku atau tak buat kerja rumah, kena tanggung sendiri kalau cikgu denda, lain kali jangan buat lagi.
Kalau hilangkan barang kawan, bagi mereka tugas sapu sampah ke kemas rumah ke misalnya dan upah untuk gantikan balik, belajar untuk bertanggungjawab. Jangan ‘simply’ bagi duit yang buat mereka ambil mudah dan lepas tangan.
Kalau bergaduh kena rotan, biar mereka rasa sakit sebagai pengajaran.
Jangan sentiasa bersikap memenangkan anak kita. “Aku kenal anak aku!”, “Anak aku baik la kat rumah, aku tau siapa dia!”. Itu bukan sikap yang bagus. Itu narsisistik dan akan membentuk anak kita menjadi sedemikian rupa juga.
Jangan terlalu manjakan anak-anak dengan kesempurnaan. Ajar anak-anak untuk berdikari. Masalah hanya menjadi masalah kalau kita tak pandai selesaikan masalah. Suatu hari nanti kita semua akan buat silap, akan tersadung jatuh.
Itu lumrah kehidupan. Belajar untuk bangkit 1001 kali dan selesaikan masalah sendiri. Ibu bapa bukan penyelesai masalah, tapi sekadar pembimbing dan penunjuk jalan untuk terus melangkah.
.
Anak-anak yang berjaya di masa depan adalah anak-anak yang mampu untuk membina diri mereka sendiri hasil kekuatan yang terbina daripada pengalaman jatuh bangun dan salah silap.
Ketika mereka kecil, kita sangka kita mampu untuk memilih atau buat segalanya untuk mereka, tapi apabila mereka semakin meningkat remaja dan dewasa, akhirnya mereka akan ada pilihan mereka sendiri dan pikul tanggungjawab sendiri.
Ketika itu, kita nak mereka tahu untuk buat pilihan yang sewajarnya dan bersedia menghadapi implikasi tindakan mereka…Sebab kita takkan selamanya berada di sisi mereka.
Sumber: FB Dr. Kamilin Jamilin