Kasih seorang ibu – kerana terlalu kasihankan anak sulungnya, seorang wanita sanggup mencuri demi memenuhi permintaan anaknya.

“Saya mohon maaf dan akui perbuatan ini salah, namun saya lakukan kerana terlalu kasihankan anak sulung yang teringin makan daging masak merah,” katanya yang ditangkap kerana mencuri di pasar raya di Seri Iskandar, semalam.

Wanita yang berusia 31 tahun itu ditahan kerana mencuri sebungkus pek isian semula krim mandian, serbuk lada hitam, krim muka, dua bungkusan daging diperap dan satu paket kiub tulang ayam.

Percubaan mencuri itu gagal apabila dia ditahan oleh pengawal keselamatan premis tersebut ketika melepasi kaunter pembayaran. Semua barangan itu disembunyikn di dalam begnya.

Jelas wanita itu, anak sulungnya yang berusia 10 tahun memberitahu keinginannya untuk makan daging masak merah sejak beberapa hari lalu.

“Dia Teringin Makan Daging Masak Merah,” Demi Anak, Wanita Ini Ditahan Polis
Sumber Gambar: Resipi Cheff

“Sebelum itu, anak tanya saya ada wang ke, sebab dia nak makan daging masak merah dan saya kata ada tetapi saya tak beli kerana dalam dompet hanya ada RM24 sahaja.

Ads

“Pada 12.40 tengah hari semalam, selepas mengambil anak kedua dari tadika, saya ke pasar raya itu, saya terdesak dan di fikiran hanya mahu menyediakan daging masak merah buat anak.

“Saya ditahan pengawal keselamatan premis itu dan saya merayu minta dilepaskan, namun tidak diendahkan kerana mereka ikut prosedur,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, kejadian ini yang mengakibatkan dia bermalam di lokap sangat menginsafkan dan memberi pengalaman kepadanya.

Ads

Dia yang hanya memperoleh RM600 setiap bulan hasil menjadi pengasuh tinggal di sebuah rumah sewa yang dibayar adik lelakinya di Seri Iskandar.

Katanya, dia juga sedang dalam proses penceraian selepas digantung tak bertali sejak hampir lebih setahun yang lalu.

“Dengan wang itu saya tanggung semuanya dan kadang-kadang tak cukup, malah yuran tadika anak juga selalu tertangguh, bayaran kelas mengaji anak sudah sembilan bulan tak berbayar. Tetapi nasib baik ustaz memahami.

Ads

“Sebelum ini saya ada meminta bantuan Kak Ida (aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh) atau adik jika tak cukup wang, cuma kali ini saya tak fikir panjang dan sudah tebal muka mahu meminjam lagi,” katanya.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu wanita yang kami bantu ditahan. Namun apapun, kami bersyukur dia tidak didakwa dan akan terus membantunya,” katanya.

Wanita beranak tiga ini juga menjelaskan, dia sangat bersyukur kerana dibebaskan dan berharap agar orang lain tidak terikut dengan tindakan yang diambilnya.

Sumber: Harian Metro

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI