Anak Tergamam Terima Mesej Ibu, Mengatakan Terlibat Kemalangan & Meninggal Dunia!

Share

Umumnya di dalam keluarga, kita sering menghantar mesej antara satu sama lain untuk berkomunikasi, bertanya khabar mahu pun beri pesanan dan sebagainya. Tidak dinafikan juga, melalui hantaran mesej itu boleh membuatkan kita terasa dekat dan diingati selalu. Apatah lagi andai mesej daripada ibu ayah dan anak-anak yang disayangi.

Namun lain pula kisahnya terjadi pada keluarga ini, apabila di suatu pagi seorang anak yang dikenali sebagai Munirah Ezuddin menerima mesej daripada ibunya dengan ayat yang buat mereka adik beradik tergamam.

“Saya tak percaya mulanya bila ada orang hantar mesej guna telefon ibu beritahu pemilik telefon kemalangan dan meninggal dunia.

“Saya anggap mungkin telefon ibu tercicir dan harapkan orang itu tersalah, tapi terpaksa reda dengan ketentuan Allah apabila kehilangan ibu dan ayah serentak akibat dilanggar pemandu mabuk,” kata Munirah Ezuddin, 21, ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin, hari ini.

Difahamkan menurut laporan myMetro, Munirah adalah anak kedua pasangan orang kurang upaya (OKU), Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 48, yang maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas jam 7.45 pagi tadi di Jalan Serkam Pantai, di sini.

Tak Sempat Merasa Tinggal Di Rumah Baharu

Munira berkata, ketika kejadian dia bersama empat lagi adiknya sedang tidur di rumah pusaka nenek mereka di Tambak Bugis, di sini, sebelum menerima kiriman WhatsApp sekitar jam 8 pagi berhubung kejadian.

“Biasanya, jika ibu dan ayah hantar mesej tidak begitu teratur, tapi mesej diterima cantik dan jelas serta disertakan dengan lokasi menyebabkan kami adik beradik terus bergegas pergi mencari.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya tergamam apabila melihat jenazah ayah dan ibu yang OKU bisu sudah terbujur kaku dan ditutup dengan kain.

“Hanya Allah yang tahu. Lebih menyedihkan apabila mengenangkan arwah ayah tidak sempat tinggal di rumah baharu di Sebatu, Sungai Rambai yang sudah 90 peratus siap.

“Itulah impiannya untuk tinggal bersama ibu sehingga ke akhir hayat selain hasratnya untuk menjadi nelayan selepas berhenti kerja di kilang membuat berus pada April lalu,” katanya.

Munirah berkata, ketika pulang daripada bersiar-siar di Bandar Melaka termasuk melawat Kota A Farmosa tengah malam tadi, ibunya ada memberitahu akan keluar untuk berjumpa semula rakan-rakan jam 8 pagi ini untuk sambung bersiar-siar di pusat beli belah.

“Ayah tidak menunjukkan perubahan sikap ketara dan ceria seperti biasa, begitu juga ibu.

“Arwah seorang penyayang dan kenangan yang tidak dilupakan dia gemar mencium kami dari kecil hingga kini,” katanya sebak.

Sumber : myMetro

Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI!

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club