Anak Tak Suka Berus Gigi? Ibu Jangan Mengalah! Usahakan Helah Seperti Doktor Ini Sarankan.

Share

Mengajar anak untuk memberus gigi adalah suatu perkara yang agak sukar juga perlu dilakukan oleh ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika tidak dibiasakan dari kecil. Memang agak mencabar untuk pastikan anak-anak menggosok gigi sekurang-kurangnya pada waktu pagi dan malam.

Pun begitu keadaannya, kita tidak boleh menyerah kalah dan membiarkan anak-anak berterusan enggan menggosok gigi. Jika ini berlaku akan membawa masalah kerosakan gigi yang serius dan kebersihan mulut tidak dapat dijaga. Oleh itu, ikuti helah yang berkesan daripada Dr. Yuliana Ayob ini untuk menarik minat anak-anak gosok gigi. Selamat mencuba!


 

  1. Beritahu pada anak, kita nak memberus giginya. Panggillah anak untuk berasa ‘rela’ giginya diberus. Ciptalah lagu memberus gigi sehingga anak berpusing-pusing menari, dan berasa gembira, teruja untuk memberus gigi. Lagu saya berubah-ubah ikut ‘mood’. Paling senang, gunakan rentak lagu ‘london bridge’ dan menukar liriknya kepada memberus gigi.

2. Perlu ke menggunakan ubat gigi? Jika anak sudah pandai meludah, bolehlah memberus dengan meletakkan ubat gigi. Ubat gigi janganlah banyak, nanti lain pula jadinya. Sekadar sebesar biji kacang tanah, memadailah. Selepas memberus, tidak semestinya perlu berkumur. Jika mahu berkumur pun, boleh juga. Dalam ubat gigi ada fluorida yang boleh menguatkan gigi dan mengelakkan gigi berlubang.

3. Gunakanlah berus gigi untuk budak. Janganlah pakai berus gigi saiz mak pak. Mulut anak kan masih kecil. Biasanya berus gigi yang dijual ada disertakan label usia. Contohnya dua tahun ke bawah dan sebagainya.

4. Jika kita baru nak mula memberus gigi anak, buatlah lembut-lembut dan cepat-cepat supaya anak tidak menjadi trauma. Ini kalau memberus kasar sampai menyakitkan gusi anak, memanglah anak tak nak giginya diberus lagi. Ibu bapa belajarlah bertenang. Kalau ada darah yang keluar, itu petanda banyaknya sisa makanan yang melekat pada gigi dan lamanya kita tak beruskan gigi anak. Stay calm and keep on brushing, gently!

5. Apabila anak dah biasa giginya diberus, bolehlah memberus lebih lama dan lebih kerap. Bila bagusnya nak berus gigi ni? Sebaiknya ketika bangun pagi dan sebelum tidur. Tetapi ikut mudah masing-masinglah. Sekali sehari pun memadai. Dua kali sehari memang terbaik. Jangan tak memberus langsung sudahlah ya.

6.Biasanya anak suka buat apa yang dia biasa nampak. Kalau anak nampak Emak selalu main telefon, anak pun suka nak main telefon. Kalau anak nampak Ayah selalu merokok, anak pun ada kemungkinan berpotensi menjadi perokok apabila dewasa nanti. Eh, dah keluar topik. Maksud saya, pastikan anak nampak kita memberus gigi. Contohnya semasa memandikan anak, kita pun memberuslah gigi. Macam anak saya selalunya akan meminta berus gigi yang saya pegang. Bagilah, supaya anak kenal dengan berus gigi.

Banyak dah tips ni. Ada lagi ni. Larat ke nak baca lagi?

7. Semakin anak membesar, berilah peluang kepada anak untuk memilih warna berus gigi yang digemarinya. Mungkin ini boleh menjadi motivasi untuk anak memberus gigi.

8. Semasa memberus, cubalah bercakap dengan anak. Sama ada menyanyi ataupun memberi semangat kepadanya. Jangan lupa untuk memuji anak setelah selesai memberus gigi. ‘Eh cantik gigi Yusuf.’ Ini ayat biasa saya.

9. Boleh juga cuba ajar anak memberus gigi ‘teddy bear’ di rumah. Beri anak memegang berus gigi dan peluang untuk memberus gigi mainan. Mungkin anak akan berasa seronok dan faham tentang proses memberus gigi.

Selamat mencuba!

Sumber : Dr. Yuliana Ayob