Bertukar status menjadi ibu boleh mengubah seseorang wanita yang sebelum ini menjadikan kerjayanya sebagai keutamaan kini lebih memberi tumpuan utama kepada anak dan keluarga.
Sememangnya kehadiran seorang anak dalam kehidupan wanita boleh mengubah 360 darjah keutamaan dirinya walaupun sebelum ini dia pernah bergelar orang terkenal.
Begitulah yang dialami oleh pelakon jelita Izara Aishah sejak bergelar ibu dua tahun lalu. Melahirkan cahaya mata pertama, Irisa Alaia pada 15 April 2020 benar-benar telah mengubah keutamaan pelakon drama bersiri Ombak Rindu
ini.Jika sebelum ini Izara yang sememangnya terkenal sebagai pelakon hebat dalam apa jua peranan yang dipegangnya dalam drama mahu pun filem, kini tumpuan utamanya beralih kepada buah hati tersayang.
Melahirkan anak sulung pada zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat pandemik Covid-19 membuatkan Izara puas menghabiskan masa mengurus dan membesarkan anaknya sendiri.
Bonding yang terikat antara kedua beranak ini membuatkan menantu tiri kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza memperlahankan kerjaya seninya kerana mahu memberi fokus kepada keluarga.
Kehadiran Irisa benar-benar membuatkan Izara sukar untuk berpisah dengan cinta hatinya itu.
“She’s my heaven on earth”. Begitulah kapsyen Izara pada satu posting gambar dia dan anaknya dalam laman Instagramnya.
Itulah gambaran kasih sayang yang tiada tolok bandingannya dari seorang ibu kepada anak tersayang.
Bahkan menurut Izara kalau ada penggambaran pun paling lewat dia kena pulang sebelum pukul 12 tengah malam.
Izara bersykur kerana setakat ini pihak produksi sangat memahami permintaannya malah Izara sentiasa berusaha mengatur jadual agar karier, perniagaan dan keluarga seimbang.
Bagaimanapun buat masa ini Izara belum boleh memberi tumpuan penuh kepada perniagaan kerana sibuk menguruskan anak sendiri.
Pelakon yang kini tampil dengan imej berhijab banyak melunaskan komitmen sebagai jurucakap atau wajah untuk beberapa produk fesyen tempatan.
Izara mendirikan rumah tangga dengan Adib Khalid pada November 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Irisa Alaia yang kini berusia dua tahun.
Sumber: Mstar