Bila musim hujan begini, pengidap asma akan lebih kerap berasa semput. Bila ini yang terjadi, tentunya kita sebagai ibu bapa berasa runsing dengan tahap kesihatan anak yang semakin menurun.
Umumnya, anak-anak yang mengidap penyakit asma ini akan bergantung dengan ‘inhaler’ bagi memberi kelegaan pada saluran pernafasan bila mendapat serangan asma. Atau jika serius, pesakit akan di bawa ke hospital atau klinik untuk mengambil ‘nebuliser’.
Melihat keadaan berterusan begini, tentu naluri seorang ibu ingin usahakan pelbagai cara dengan harapan agar segera pulih daripada penyakit yang ditanggung.
Di sini dikongsikan pelbagai petua dan cara untuk redakannya dan bolehlah dicuba. Pun begitu jangan pernah tinggal nasihat dan ubat yang diberikan oleh doktor. Ini hanya sebagai cara alternatif sahaja dan jika serasi boleh diamalkan.
Petua Merawat Penyakit Asma atau Lelah Secara Tradisional
Petua 1: Petola
Kita biasa makan sayur air petola tetapi tidak tahu khasiat sebenar buah petola untuk tujuan merawat penyakit asma.
Caranya: Ambil sebiji petola kemudian potong sedikit dan buangkan biji dan buat lubang di tengah-tengah. Selepas itu, masukkan beberapa biji gula batu ke dalam dan bakar petola itu hingga masak. Selepas masak, perah petola untuk menghasilkan jus. Amalkan meminum jus berkenaan.
Petua 2: Halia
Halia memiliki ramuan anti-asma yang baik. Cara pemakanan membabitkan halia amat banyak. Halia juga boleh dijadikan minuman yang mana lebih mudah disediakan. Amalkan meminumnya setiap hari dan galakkan anak-anak anda berbuat demikian.
Petua 3: Madu
Madu amat baik untuk mencairkan lendir yang terdapat dalam saluran pernafasan. Penyediaan mudah saja, anda juga boleh memakan madu terus atau menyediakan dengan mencampur dengan air suam. Semua sedia maklum bahawa madu memiliki banyak khasiat dan keistimewaan untuk merawat banyak penyakit termasuk mengurangkan batuk dan selsema di mana ia berkaitan dengan saluran pernafasan.
Masih terdapat pelbagai petua di luar sana untuk mengatasi penyakit Asma. Cuma apa yang perlu dilakukan adalah berusaha untuk mencari penawarnya secara tradisional.
sumber : Ana Mahabu
Selain itu melalui perkongsian daripada Rohana Edi pula ada menjelaskan tentang 5 tip yang boleh dipraktikkan.
5 Rawatan Alternatif Boleh Dicuba
1. Bawa anak berenang tiap-tiap minggu
Berenang membantu melatih paru-paru anak kita. Paru-paru akan lebih kuat dan mengurangkan asma beransur-ansur.
2.Rebus bawang kecil
Rebus sehingga lembut beberapa biji bawang merah kecil. Kisar sehingga hancur. Tapis airnya dan amalkan minum seminggu sekali.
3.Menggunakan madu dan getah betik
Ambil satu sudu besar madu dan 4-5 titik getah betik. Campurkan madu dan getah betik. Berikan anak kita minum sambil baca selawat.
4. Amalkan sirih
Ambil tujuh helai sirih bertemu urat, tujuh helai daun lalang muda dan seulas lengkuas sebesar ibu jari kaki. Rebus dengan 1 liter air hingga mendidih sepenuhnya. Biarkan sejuk dan campurkan setengah gelas air rebusan ini dengan sesudu besar madu dan sesudu kecil air limau nipis. Amalkan setiap malam sebelum tidur.
5.Menggunakan Minyak Herba
Sapu minyak herba ke bahagian dada, leher dan belakang badan.
Jika tak mampu nak buat semua petua di atas pun tak apa. Sekurang-kurangnya, cubalah 2 atau 3 cara untuk kurang kesakitan yang ditanggung oleh anak-anak yang mengidap asma ini. Pun begitu dapatkan juga nasihat dan rawatan doktor demi kebaikan kesihatan anak-anak.