Bergelar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Rayyan Khalaf ternyata membuatkan aktres genit Elfira Loy sedikit paranoid dalam hal yang membabitkan keselamatan dan nyawa diri di musim pandemik COVID-19 ini.
Pada satu tahap isteri kepada Faris Khairol Anuar ini lebih selesa menghabiskan masa di rumah memberi sepenuh perhatian menjaga anaknya.
“Mendengar kes wabak COVID 19 ini meningkat saban hari, jujur buat saya sedikit takut dan curiga dengan apa saja kemungkinan. Perasan itu menjadi jadi apatah lagi saya ada anak berusia 14 bulan.
“Saya sampai satu tahap bimbang jika lalai dan tersilap langkah dalam mematuhi SOP, ia akan memudaratkan diri, anak, suami dan orang terdekat. Kalau boleh saya tak nak lama lama berada di luar.
“Kita punyalah jaga SOP dan berhati hati, tapi rasa sedih apabila ada segelintir yang ambil mudah bab itu. Ada yang macam tak makan saman walaupun akan dikompaun RM1000 jika tidak memakainya. Tapi kalau kita sama sama sepakat menjaga diri dan sekeliling terutama dengan memakai pelitup muka, itu sudah bagus,” katanya yang dilantik selama setahun mewakili jenama Himaya.
Mengalih bicara mengajaknya bercerita mengenai fasa indah bergelar ibu saat ini, Elfira memaklumkan anaknya kini sudah boleh berjalan dan berdiri.
“Saban hari, ada saja keletahnya yang mencuit hati. Saya tak ketinggalan berkongsi apa saja detik atau momen indah fasanya bertambah umur di Instagram. Cuma anak saya ini kategori ‘baby’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dia tak berjumpa sangat dengan orang di luar. Masanya pun banyak dihabiskan di rumah. Saya tak mahu ambil risiko. Dia juga yang jenis ‘happy go lucky’ dan gemar tersenyum. Cuma kalau ada orang datang rumah, dia susah nak mendekati mereka dan ambil masa untuk jadi mesra.
“Dia macam seolah olah tahu dengan situasi pandemik sekarang yang tak boleh sewenang wenangnya bercampur dengan orang ramai,” katanya yang selain mewakili jenama berkenaan juga turut memberi input termasuk pemilihan warna serta fabrik pelitup muka itu.
Kata pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini, baginya pelitup muka kini bukan hanya keperluan, ia juga seperti satu tanggungjawab yang sangat besar maknanya.
“Suka atau tidak, kita kena biasakan norma baharu ini. Saya sedar pemakaian pelitup muka ini jika tidak kena materialnya boleh melemaskan dan memberi kesan kepada kulit muka. Jadi kena pilih yang bagus seperti Himaya.
“Kita kena sedar kegagalan kita memakai pelitup muka bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri, tapi orang sekeliling juga. Belajarlah untuk terus membiasakannya demi kebaikan bersama. Kita jangan mementingkan diri sendiri. Sama sama beringat,” katanya.
“Saya mendengar banyak maklumbalas daripada golongan bertudung di luar sana yang menyatakan kesukaran mereka untuk mendapatkan pelitup muka yang mudah dipakai oleh wanita bertudung.
“Kebanyakan pelitup muka yang dijual memerlukan mereka memakai sambungan (mask extender) dan ini agak merumitkan jika mereka tidak mempunyai sambungan berkenaan. Justeru, Himaya muncul tepat pada waktunya bagi memberikan pilihan yang lebih selesa kepada golongan wanita bertudung. Malah ia juga boleh dipakai golongan wanita tak bertudung dan lelaki,” katanya
Bagi menarik perhatian lebih ramai pengguna, Himaya menjalin kerjasama Elfira. Pelantikan Elfira dibuat memandangkan ia sesuai dengan penampilannya yang bertudung serta mempunyai jumlah pengikut yang ramai di platform sosial media.
“Selain itu, Elfira juga mempunyai imej yang bersih dan beliau turut menggalas tanggungjawab dengan baik bukan saja sebagai seorang artis tetapi juga sebagai seorang ibu, anak dan isteri,” katanya.