Selepas 46 hari melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam orang ramai berpeluang untuk keluar dari rumah selepas kerajaan melonggarkan sedikit PKP. Walaupun tidak sepenuhnya dilaksanakan memandangkan virus Covid-19 masih belum dihapuskan, namun demi memastikan ekonomi berjalan, membuatkan kerajaan mengambil pendekatan sedemikian.
Namun, pelbagai kisah sama ada yang gembira mahupun duka dikongsikan orang ramai di media sosia. Antara yang paling menyentuh hati netizen adalah gambar orang ramai yang sedang berbaris di hadapan kedai pajak gadai.
Perkara tersebut telah menimbulkan beberapa pandangan orang ramai mengenai nasib mereka yang berbaris itu. Apa tidaknya, ada yang berpendapat bahawa berkemungkinan mereka itu memerlukan wang untuk menyara kehidupan.
Menjengah ke laman Twitter, terdapat beberapa warganet yang berkongsikan suasana di pelbagai tempat yang menunjukkan orang ramai berbaris di hadapan kedai pajak gadai. Perkongsian warganet kebanyakannya telah mengundang pelbagai reaksi sedih.
Mungkin pada sesetengah orang, PKP ini tidak banyak memberi kesan memandangkan ada yang masih memiliki pendapatan dan sebahagian majikan membenarkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah. Jadi, secara tidak langsung, gaji tidak dipotong dan dibekukan.
Namun Ttidak bagi sesetengah yang lain terutama yang bekerja sendiri. Golongan ini terjejas teruk memandangkan selama ini mereka bergantung kepada gaji harian. Bila berlaku Covid-19, sumber pencarian mereka ini mungkin telah terganggu berikutan daripada pelaksanaan PKP yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.
Dalam pada itu, rata-rata warganet terkesan dan sebak tattkala melihat situasi tersebut yang mana seseorang individu memerlukan wang terpaksa bergadai untuk meneruskan kehidupan.
Namun satu kisah seorang ibu tua yang terpaksa bergadai memandangkan duit bantuan belum di terima dan gajinya sebagai seorang tukang cuci harian sudah habis digunakan. Kisah mak cik ini dimuat naik seorang wanita menerusi Twitternya @theiliaqilah.
Menurutnya,makcik tersebut mempunyai anak menghidap penyakit asma yang semestinya memerlukan bantuan perubatan. Tambah gadis itu lagi, makcik berkenaan masih belum menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan dan hanya bergantung kepada pendapatan sebagai tukang cuci.
Situasi tersebut benar-benar mendatangkan sebak di hati warganet sehinggakan ada yang bertanyakan detail perihal ibu malang tersebut.