“Anak Rapat Dengan Saya, Layan Seperti Kawan.” Anak & Isteri Pembawa Rezeki, Terapi Bahagia Ezad Lazim

Share

Cukup sempoi dan happy go lucky, itulah antara persamaan yang ada pada penyanyi Ezad Lazim dan isterinya, Zeana Ramli.

Mereka juga senada dan seiring baik dalam hal kerjaya mahupun rumah tangga. Pasangan sama sepadan kini cukup bahagia ditambah dengan kehadiran sepasang anak comel sebagai penyeri rumah tangga.

Cukup berterima kasih dan bersyukur dikurniakan isteri yang memahami, akui pemilik nama sebenar, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, dia beruntung kerana isterinya juga bertanggungjawab sebagai  pengurus peribadi.

Pengorbanan isteri tidak terbalas

“Dialah isteri dan dia juga pengurus saya. dia bijak urus masa dan kerjaya begitu juga saya. saya beruntung kerana adanya dia. Memang ada kala saya kasihan melihat dia kepenatan urus saya dan rumah tangga, tetapi dia tidak mengeluh.

“Sebagai suami saya bantu mana yang patut. Yang pastinya dia banyak buat tetapi saya cuba bantu mana yang boleh. Pengorbannya tidak terbalas. Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga juga sentiasa ada dan tak putus sehingga kini.

“Ini semua berkat doa dan usaha isteri yang banyak membantu. Pada saya, populariti bukan perkara utama buat saya sekarang. Yang penting diberikan kesihatan yang baik dan dapat menampung kehidupan sekeluarga serta menghasilkan karya buat peminat seni.

“Untuk semua bakal dan mereka yang bergelar suami, segala kesilapan boleh diperbaiki dan dijadikan pengajaran. Mudah-mudahan kita jadi lebih matang dan lebih baik daripada sebelum ini. Sebab tu sebagai suami termasuklah diri saya sendiri, kena hargai orang tersayang disekeliling terutama isteri dan anak-anak.

Urus masa secara bijak

Jelas bapa kepada Puteri Rania Keisha dan Putera Muhammad Darwish, tak ada masalah untuk membahagikan masa dengan anak-anak kerana  dia dan isteri sama-sama menguruskan mereka sendiri.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana  urusan kami sekeluarga sentiasa dipermudahkan. nak kata tak ada masa tetapi sebenarnya sentiasa ada kerana kita sendiri yang kena urus secara bijak.

“Isteri seorang yang tahu bagaimana untuk bahagi masa antara kerjaya saya, sebagai ibu dan isteri serta dan masa yang sama bisnesnya. Tetapi kami selalu doa dan harap Allah permudahkan segalanya,” ulasnya lagi dengan panjang lebar.

Cabaran ibu bapa generasi sekarang

Isu gajet dan media sosial seperti tiktok dan sebagainya memang satu cabaran untuk ibu bapa generasi sekarang. Bagi Ezad, perkara tersebut turut dialami olehnya dan isteri.

“Zaman sekarang tak sama dengan kita dahulu, begitu juga cara pemikiran dan pengurusan anak-anak sekarang pun tak sama. Jadi cukup mencabar dalam mendidik anak-anak,  tetapi kami berdua memang had kan.

“Nak kata tak bagi pun tak boleh juga sebab kami sebagai ibu bapa pun menggunakan medium tersebut terutama untuk tujuan bisnes dan kerjaya.

“Tetapi kami akan terangkan dengan baik kepada anak-anak supaya mereka faham kenapa saya dan ibunya menghadkan penggunaan medium tersebut.

Isteri garang suami simple


Tambah pelantun lagu Demi Cinta ini lagi, isterinya banyak ajar anak-anak berdikari manakala dia pula berbeza kerana sejak dahulu jenis yang simple.

“Soal garang memang Zeana lagi garang, tegas dengan anak-anak. Mereka banyak meminta dengan saya kerana ikut apa jua kemahuan anak-anak. Walaupun penat saya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah, pada saya bahagiakan anak-anak dan isteri adalah terapi dalam rumahtangga.

“Lagipun ini pengalaman sebagai ibu bapa sementelah kami berdua berkahwin dalam usia agak lewat dan membesarkan anak-anak sendiri jadi itu tidak menjadi masalah. Anak-anak jua punca rezeki dan penguat kasih sayang antara kami suami isteri. 

Ayah kurang peka berbanding ibu

Mengulas mengenai sambutan Hari Bapa yang tidak ‘semeriah’ Hari ibu, akui Ezad lagi, semuanya bergantung cara sesebuah keluarga itu meraikannya.

“Soal sambutan hari bapa ni bukan nak kata tak meriah tetapi sebab orang lelaki khususnya kaum ayah ni yang memainkan peranan. Benda-benda begini mereka kurang peka berbanding kaum ibu. Malah ada yang tak ingat hari-hari istimewa baik hari lahi mahupun ulangtahun.

“Biasanya kaum Wanita yang selalu ingat tarikh istimewa, bukan nak kata kaum ibu jenis beria tetapi bab begini mereka memang alert dan partikular bab-bab begini.  Tetapi tak bermakna ayah tak nak tunjukkan kasih sayang lebih cuma mungkin mereka jenis pelupa,” kongsi Ezad lagi.

Anak lebih rapat & selesa dengan ayah

Akui suami kesayangan Zeana ini lagi, tanggungjawab ayah dan suami sangat besar terutama dalam hal mencari rezeki. Tetapi tak bermakna anak-anak tak rapat dengannya.

“Cuma ibu lebih rapat kerana daripada awal lagi sentuhan pertama anak-anak adalah daripada ibu baik mengandung hingga melahirkan.

“Dalam hal saya sendiri misalnya, anak-anak lebih rapat dan selesa dengan saya.  Tak marah-mara, itulah cara saya dengan anak-anak. Kalau ikutkan saya bukan jenis membeli barangan tetapi daraipada segi percakapan dan pergaulan saya layan mereka seperti kawan-kawan.

“Adakala isteri bengang atau marah kononnya saya tak ambil berat dengan anak, padahal  saya lebih suka pendekatan ‘cool’. Bila anak-anak selesa jadi mereka lebih telus dan mudah nak berkongsi atau mengadu jika ada masalah. Tetapi kena ada juga peranan ibu cuma cara dipraktikkan ibu dan ayah berbeza. Tetapi yang penting tujuannya sama iaitu mahukan anak-anak membanggakan kami kelak,” ungkap Ezad sebelum menutup perbualan bersama penulis.


ARTIKEL MENARIK: “Muka Mummy, Perangai & Cara Cakap Baba.” Berlakon Jadi Doktor, Warganet Puji Bahasa Melayu Jebat Jayden

ARTIKEL POPULAR: “Teruja Nak Kongsi Berita Indah. Saya Hamil!.” Alahan Teruk, Dr Amalina Syukur Suami & Ibu Banyak Bantu

BACA INI JUGA : “Heykal Sakit Ke? Nampak Kurus Betul.Hampir Tak Kenal.” Penampilan Suami Faezah Elai Raih Perhatian


Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club