Anak Perempuan Sunyi Dari Suara Ayahnya, Cenderung Cari Lelaki Lain Untuk Isi Kekosongan. Sebab Tu ‘5C’ Ini Sangat Penting Dari Seorang Ayah

Share

Ayah adalah lelaki pertama yang hadir dalam hidup anak perempuan. Tidak hairanlah ada yang mengatakan anak perempuan rapatnya lebih condong dengan si ayah. Apa yang ingin dilakukan pasti ayah  dahulu yang ditagih pendapat.

Ada juga orang mengatakan, biasanya, semasa kecil anak perempuan lebih rapat dan manja dengan ayah. Sehingga ke alam dewasa dan berumah tangga, sfat itu kekal dan tak pernah hilang.

Bgai si ayah pula  ada kalanya tidak senang duduk apabila si anak perempuan jatuh sakit. Dia ditatang bak minyak yang penuh. Sebab itu, segala kebaikan ayah akan dikenang si anak dan sentiasa menjaga hubungan ayah dan anak perempuan ini.

Bahkan, ayah juga menjadi role model pada anak perempuan selain ibu. Segala tingkah laku ayah ini akan diikuti si anak hingga besar. Malah, jika ayah berjaya mencapai sesuatu anak juga ingin berjaya seperi ayahnya.

Demikian betapa utuhnya kasih sayang dan hubungan anak perempuan dan si ayah. Kerana itu, figura seorang ayah cukup penting dan wajib ada dalam melengkapi rumah tangga.

Hadamkan perkongsian saudara Ammar Kamilin tentang pentingnya  ‘5C’ yang perlu  si ayah usahakan untuk anak remaja perempuan.


“Dia macam ada masalah dengan ayah dia. Ayah dia terlalu sibuk, sampai tak sempat bercakap dengan dia.

Mula-mula dia tak kisah sangat. Dia faham, ayah dia bekerja untuk sara keluarga. Tapi, lama-lama dia macam kecil hati, sebab dengan abang dan kakak dia, ok je ayah dia layan. Dengan adik-adik dia pun ok.” Panjang lebar dia bercerita.

“Tapi, pelajaran dia di sekolah, elok kan. Tak silap abah, ‘Top 5’ lagi.”

“Itulah. Pelajaran dia masih ok. Tapi, itu tahun lepas. Kebelakangan ni, dia macam banyak berkhayal dan tiba-tiba menangis. Risau juga, takut dia ‘stress’ dan ‘effect’ pelajaran dia.”

Abah hanya mengangguk-angguk. Mengenangkan karakter rakan perempuan yang dia diceritakan.

Abah memang biasa dengan kebanyakan rakan-rakan dia. Hampir satu kelas pernah bersembang dan bergurau mesra dengan abah.

Kebiasaan, semasa mengambil dia di depan sekolah, sempat juga menyapa mereka dan mengambil hati dengan soalan-soalan bertanya khabar.

Ada antara mereka pernah datang ke rumah untuk buat tugasan sekolah dan belajar bersama.

Rakan yang diceritakan ini pernah bertandang ke rumah. Sudah pasti, perasaannya lebih berat apabila terkenang ujian yang sedang dilalui anak remaja ini.

Abah tidak pasti apa yang difikirkan oleh bapa-bapa sehingga ada antara mereka ‘terlepas pandang’ perasaan anak remaja perempuan.

Dalam kes anak ini, dia berada di ranking tengah dalam susunan adik beradik. Dia memiliki kakak dan abang yang hampir dewasa, juga memiliki adik-adik kecil di bawahnya.

Abang dan kakak sudah boleh membawa diri, walaupun tidak dipeduli si ayah.

Adik-adik masih dijaga dan dikawal oleh ibu.

Lalu dia yang di tengah-tengah, seperti terabai. Masih di peringkat awal remaja, tetapi dibiar keseorangan berdikari.

Saya tidak mendabik dada, konon bapa sempurna. Ada masa terlupa juga.

Apabila cerita begini diceritakan oleh anak, ia seperti ‘alarm’ yang mengingatkan diri sendiri supaya kekal berada di sisi anak remaja, terutamanya perempuan.

Walaupun, umumnya, mereka lebih rapat dengan ibu, tetapi ada sisi seorang bapa yang masih mereka perlukan (bagi yang punya bapa).

Para bapa, tanya diri, bila kali terakhir kita benar-benar memperuntukkan masa khusus untuk anak remaja perempuan?

Tanpa ada abang, kakak, atau adik-adik bersama mereka.

Mereka perlukan masa ‘berkualiti’ bersama kita. Mereka tidak akan berbincang isu-isu ‘dewasa’ sekiranya wujud terlalu ramai gangguan di sekeliling mereka.

Macam anak remaja perempuan saya, dia cukup tidak selesa apabila mahu mengadu sikit, adik-adik terlopong mendengar bersama-sama di sebelah abahnya. Dia terus ‘turn off’. Di rumah, memang ruang itu hampir tiada.

Lalu, dia memilih untuk banyak diam. Yang ruginya, saya sebagai bapa. Tempoh paling kritikal perkembangan seorang remaja, tidak dapat dikongsi bersama.

Tetapi, Allah ilhamkan ruang yang saya tidak nampak sebelum ini sebagai ‘sesi berdua berkualiti’ bersama dia.

Waktu pergi dan balik sekolah setiap hari di dalam kereta.

Hanya itu waktu kami boleh bercakap berdua sesuka hati tanpa didengari sesiapa.

Jika sebelumnya, waktu itu dia isi dengan tidur selenanya. Sekarang, seboleh mungkin saya isi dengan aktiviti yang menghalang dia tidur.

Waktu itulah, saya mendapat pelbagai cerita dari sudut pandang seorang remaja perempuan. Saya boleh kata, bukan mudah mengumpan mereka membuka mulut. Kita perlu dapatkan ‘kepercayaan’.

Bagaimana?

Pastikan, waimma satu patah perkataan yang mereka sebut, tidak disampaikan pada orang lain. Sekali mereka terdengar kita ‘tercerita’, kepercayaan akan hilang. Membina semula kepercayaan, perlukan usaha berkali ganda.

(cerita rakan tadi, dicerita atas keizinan)

Sesekali dia tertidur semasa saya memandu, saya renung wajah anak perempuan remaja ini.

Dia makin dewasa.

Budak kecil yang saya letak dalam bakul motor dan bawa meronda waktu petang, sudah ‘tiada’.

Budak kecil yang meradang jika saya sorokkan bantal busuknya sudah ‘tiada’.

Budak kecil yang memeluk kaki saya dan minta didukung, sudah ‘tiada’.

Budak kecil yang setiap hari menyanyi riang lagu ‘Barney and friends’ dan memeluk saya sebagai Barney, sudah ‘tiada’.

Tahu-tahu, stereng kereta basah disebabkan tangan yang mengesat airmata terus hinggap padanya.

Begitu saya hiba, kerana,

Budak kecil yang setiap masa dulu, sebelum tidur mahu abah bacakan kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran, sudah tidak perlukan abah untuk memeluk dia sebelum tidur.

Dia sudah remaja. Menuju dewasa.

Semuanya telah lepas. 
Yang tinggal, kenangan.

Sedang saya hiba,

Kepalanya menunjal-nunjal batang gear manual kereta Myvi yang sedang bergerak.

‘Hai anak. Abah tahu nak tukar gear. Tak perlu tanduk gear abah ni.’

Saya tersenyum dalam leleh airmata. Menolak perlahan kepalanya ke tingkap. 
Penat sangat agaknya.

Dia bukan tak perlukan abah. 
Cuma, keperluannya sudah berbeza.

Dia sudah tak perlu didukung, tetapi dia mahu seorang abah yang mendorong.

Dia tak perlu pencerita, tetapi dia mahukan seseorang untuk bercerita.

Dia tak perlu bantal busuk, tetapi dia perlukan seseorang yang boleh menenangkan dia dalam sukar, sama seperti fungsi bantal busuk pada dirinya dulu.

Bapa.

Ini bukan cerita anak saya saja. 
Cerita anak remaja kita jua.

Usahakan ‘5C’ pada anak remaja perempuan.

1. Cakap – 
Bapa kena selalu bercakap dengan anak perempuan. Jangan biarkan sehari berlalu dalam hidup kita tanpa sepatah perkataan untuk dia. Dia perlu tahu, dia masih ada tempat dalam hidup ayahnya. Dia perlu rasa ‘visible’ di mata ayahnya.

Anak perempuan yang sunyi dari suara ayahnya, cenderung mencari suara lelaki lain untuk mengisi kekosongan itu.

Mahukah begitu, wahai ayah?

 

2. Cakna – 
Bapa perlu ambil tahu, apa keperluan anak perempuan. Terutama apabila mereka baligh. Mereka sudah mula mempunyai hormon yang dirembes mengikut kitaran. Dia akan berperangai saling tak tumpah seperti ibunya. Haruslah, mereka sedang menuju dewasa. Jadi, emosi mereka, bapa perlu cakna (ambil tahu).

3. Calm – Bapa perlu sentiasa tenang dalam menangani anak perempuan. Tunjukkan pada mereka, kemampuan kita mengawal emosi, barulah mereka dapat meniru yang baik daripada kita.

Ada masa kita betul, ada masa mereka juga mungkin betul.

Elakkan panas baran tak tentu hala. Maki sesedap rasa. Mereka akan takut dan menjauhkan diri.

Tahu kan, statistik menunjukkan ramai lelaki di rumah orang-orang tua? Elakkan daripada puncanya kerana perangai kita yang mudah ‘naik hantu’.

4. Ceria – Bapa perlu menunjukkan sisi ceria seorang ayah. Ayah perlu dilihat ‘jinak’ oleh anak perempuan supaya mudah didekati. Tiada siapa yang berani dengan ayah yang bengis 24 jam.

Kalau pun tidak pandai berhumor, tunjukkan kita mampu ketawa. Kalau mampu ‘gila-gila remaja’, itu lebih mereka suka, kerana kita ‘match’ dengan mereka.

Ya, perkara serius, kita perlu kekal serius. 
Bercanda mengikut kesesuaian ya.

5. Cinta – Ini yang terpenting bagi saya, tetapi diletakkan terakhir supaya tidak dilupakan.

Bawa anak remaja perempuan mencintai Allah. Cari ruang menjadi imam untuk mereka. Ambil peluang bercerita kisah-kisah perempuan baik dalam sirah Islam.

Sentiasa ingatkan mereka, “Abah tidak selalu ada, tetapi Allah sentiasa ada dan dekat dengan kita. Mengadu dan meminta pada Dia. “

Satu lagi abah, 
Dalam masa sama, usah berhenti menunjukkan kasih sayang pada anak perempuan. Peluk dan cium mereka. Elakkan mereka kekok memeluk kita dek kerana lama tidak menyentuh mereka.

Dia, anak kita. 
Budak kecil yang kita buatkan susu dan tukar pampersnya. Masih budak yang sama, cuma dia sedang mendewasa. 
Jauh dalam hatinya, kita kekal abah dia. 
Sampai bila-bila.

-Ammar Kamilin-
Bahu untuk anak perempuan bersandar.

#ParentThinkStory
#BudakKripton