Anak Perempuan, Mereka Nak Kita Faham Dunia Mereka. Deep Perkongsian Ayah Ni!

Share

Sebagai ibu ayah kita jangan pernah lupa tentang amanah terhadap anak-anak.

Ianya suatu anugerah yang tidak ternilai dan wajib kita pelihara dan jaga sebaiknya.

Bukan sahaja kita berkerja siang malam bagi memastikan makan pakai mereka cukup dan sempurna, malah bab menjaga emosi juga perlu diberi tumpuan.

Apatah lagi dalam menjaga anak perempuan. Itu bukan kerja mudah dan hakikatnya anak-anak mahu difahami oleh ibu dan ayah mereka.

Untuk itu, ambil pengajaran daripada perkongsian seorang ayah ini yang juga merupakan seorang doktor.


Setiap hari balik dari tempat kerja, anak perempuan saya mesti akan cari saya.

Saya buka je pintu, akan bermulalah segala cerita dia dari pagi sampai ke petang.

Kalau anak saya cerita benda sedih, saya akan ikut sama rasa sedih. Kalau dia buat lawak, saya pun gelak berdekah-dekah sampai hentak-hentak lantai.

Benda besar dia akan cerita, benda yang kecil-kecil lagilah dia akan cerita.

Sampailah satu minggu tu, mood saya tak baik. Hari-hari rasa penat sangat bila balik dari kerja. Dalam otak ni ada bermacam benda yang saya fikirkan sepanjang minggu.

Perkara yang patut saya tinggalkan di tempat kerja, saya terbawa-bawa sampai ke rumah.

Bila anak saya nak berborak, saya kata nanti dulu dan terus masuk ke bilik.

Saya mandi, solat, makan dan lepas tu saya tak tengok pun anak saya tadi.

Sampailah dia tertidur sendiri. Dan itulah kebodohan saya yang paling besar.

Malam tu anak saya tertunggu-tunggukan saya. Apalah sangat yang dia mahukan. Dia cuma nakkan secebis masa dari saya.

Itulah yang terjadi setiap hari selama seminggu.

Sampai satu hari, anak perempuan saya jatuh sakit. Demam, tak ada selera makan.

Kebanyakan masa dia baring saja. Sekelip mata rumah ni hilang serinya. Tak ada lagi gelak ketawa dia. Tak ada lagi suara dia yang selalu memenuhi segenap ruang rumah ni.

Semuanya jadi diam. Yang ada hanyalah sebuah kesunyian.

Sunyi sangat sampai saya boleh rasa langit ni tinggi ke rendah. Saya rindu nak dengar suara anak saya.

Saya datang pada anak dan minta dia cerita apa-apa pada saya. Dia buka mata separuh dan dia kata dia nak tidur.

Allah. Luluh hati saya ni. Masa ni barulah timbul rasa menyesal dalam hati.

Dalam hati ni, saya merayu supaya dia cakaplah apa-apa pun. Sampai malam pun saya sanggup dengar.

Sungguhlah kawan-kawan.

Anak perempuan, mereka nak rasa keberadaan ayahnya.

Anak perempuan, mereka nak kita faham dunia mereka.

Hargailah anak yang ada disisi. Anak yang banyak bercakap itulah yang paling kita rindui bila mereka membesar dan tiada lagi disisi satu hari nanti.

Ya, kita semua sibuk bekerja. Mencari rezeki tak putus masa. Namun di sebalik kesibukan kita, ada anak kecil yang merindui wajah dan senyuman kita.

Sumber : Redza Zainol