Memiliki anak istimewa adalah satu kelebihan buat ibu bapa yang terpilih. Bukan semua yang bertuah mendapat pengiktirafan tersebut.
Disebalik kekurangan yang dipandang dari mata kasar, namun sebenarnya anak-anak syurga ini cukup istimewa dan ada banyak kelebihan mereka.
Anak diagnos Disleksia
Berkongsi kisah anak bongsunya yang didiagnos Disleksia, Puan Noraiha Rais yang juga pemilik sebuah butik pengantin Demelza yang terletak di Rawang, mengakui anaknya itu seperti kanak-kanak lain seusianya.
“Jika orang tengok dari mata kasar, mereka mungkin tidak menyangka anak saya ini Disleksia. Cuma kalau bab pembelajaran dia sedikit ketinggalan berbanding kakak dan abangnya yang lain. Sekarang dia berumur 11 tahun dan ada subjek dia boleh dan ada yang tak boleh. Tetapi setakat ini dia belajar di sekolah biasa.
“Tetapi dia sangat bijak terutama dalam bermain lego. Pernah sebelum ini saya masukkan dia dalam satu pertandingan Program Robotik Lego dan dia mendapat tempat kedua. Sehinggakan pihak penganjur kagum dengan kebolehannya.
“Memang dia sangat obses dan struktur lego yang rumit dia dapat selesaikan dengan mudah,”ujar Noraiha yang memberitahu mungkin akan masukkan anak ke sekolah kemahiran sama ada bidang vokasional tetapi bergantung kepada minat anaknya.
Tak nak beri tekanan
Mengakui mula mengetahui anak mempunyai masalah sejak tadika lagi anaknya, Hilai Hamdhy Bin Hasmili mempunyai tanda-tanda disleksia, namun turun naik dalam pelajaran menyebabkan Noraiha beranggapan itu adalah perkara biasa.
“Waktu sekolah rendah, cikgu ada cakap anak ada masalah bab pembelajaran. Kena sediakan Pendidikan khas, tetapi memandangkan sekarang dia sudah tahun lima dan agak terlambat. Jadi untuk masuk dalam sekolah khas mungkin kena tunggu sekolah menengah kelak. Tahap pemahaman dia sepatutnya tahun 5 tetapi sekarang ibarat baru tahap tahun 3. Apa pun sebagai ibu bapa kami terima apa jua pencapaian anak-anak setakat yang termampu.
“Dia boleh membaca tetapi ada subjek yang lemah dan agak terbelakang sedikit. Jadi, saya hantar pada guru tuisyen selain jumpa pakar psikologi Pendidikan. Tetapi kami tidak mahu beri tekanan jadi tak ‘push’ sangat,”jelas Noraiha lagi.
Jiwa halus dan mulia
Ini adalah ujian Allah dan kena banyak bersabar dalam membesarkan anak-anak kerana setiap dari mereka tidak sama. Biarpun memiliki kekurangan dalam akademi, namun Hilal miliki jiwa yang sangat halus dan mulia.
“Saya masih ingat lagi kenangan bulan Mac yang lalu. Di sekolahnya ada buat satu pungutan dana untuk padang sekolah. Kebetulan anak ada bawa balik surat pihak sekolah minta sumbangan untuk padang sekolah. Tetapi saya cakap nanti mama tengok surat tu.
“Disebabkan dia tak sabar, terus dipecahkan tabung dan bawa semua duit syiling ke sekolah untuk didermakan. Saya tak tahu, rupanya Hilal sanggup pecahkan tabung dirinya sendiri dan bawa duit itu ke sekolah untuk di dermakan.
“Disebabkan itu, cikgu rasa terharu dan beri kad jemputan untuk hadir makan malam Majlis Anugerah. lebih membuatkan saya terharu, perkara tersebut dapat perhatian pihak sekolah sehingga namanya jadi sebutan Menteri Pendidikan ketika itu. Malah, anak saya diajak bergambar bersama waktu itu. Itulah kenangan dan saya fikir anak OKU ada kelebihan yang kita sendiri tak fikirkan yang dia akan buat begitu.
“Sebagai ibu memang saya rasa sangat terharu akan kebaikan yang ada dalam diri anak-anak istimewa. Di sekolah juga anak saya okey tiada masalah bergaul dengan kawan-kawan. Cuma pemahaman pelajaran agak kurang dan akademi agak lemah.
“Saya bersyukur kerana walaupun kekurangan dari segi pembelajaran tapi dia masih boleh faham. Sebagai ibu saya kadang-kadang takut apabila disleksia, autisme ini pemikiran ke belakang berbanding umur. Tetapi sebenarnya mereka faham Cuma kita yang tak faham mereka.
“Saya dulu ada pusat tuisyen, Akademi Pintas. Jadi, saya akan bawa anak-anak dan juga pelajar untuk join kerja-kerja sukarelawan streetfeeding kt Masjid Jamek bersama NGO Unggas. Hilal juga tidak ketinggalan untuk join sekali,”ujar Puan Noraiha lagi.