Kenapa anak-anak suka kucing? Kucing adalah haiwan yang begitu comel. Ia adalah antara haiwan peliharaan yang disukai oleh kanak-kanak selain arnab, ikan dan hamster. Telatah kucing yang nakal dan manja amat mencuit hati si kecil yang membuatkan ramai yang ingin peliharanya.
Bila anak minta hendak bela kucing, ramai ibu bapa agak keberatan. Pelbagai alasan yang diberi kepada anak termasuk faktor kebersihan, alahan dan sebagainya. Namun hakikatnya, memelihara haiwan mampu mendidik kanak-kanak menjadi seorang positif dalam pelbagai aspek.
Berpeluang menemu bual Ong Chiek Ming, Mars Petcare Country Director, Malaysia, Singapura dan Filipina berpendapat walaupun kucing tidak mampu berkomunikasi secara verbal namun ia mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi dengan peliharaan kesayangan. Malah si kecil akan tidak kekok memeluk, mencium dan ‘mendukung’ kucing tersayang.
“Adalah penting untuk kita menanamkan rasa tanggungjawab dan pemikiran yang tepat kepada kanak-kanak ketika mereka masih muda kerana pada usia ini mereka cenderung untuk bertanya kepada ibu bapa dan mahu memelihara haiwan peliharaan mereka sendiri.
“Memiliki haiwan peliharaan boleh menjadi sangat bermanfaat untuk kedua-dua ibu bapa dan kanak-kanak apabila pemilik memahami tanggungjawab dan tahu bagaimana mahu menjaga haiwan peliharaan mereka dengan betul.
“Pemahaman yang disampaikan ketika masih muda ini akan kekal sehingga dewasa untuk memupuk tabiat yang baik,” ujarnya ketika ditemui di Program CSR ‘Jom Sayangi Haiwan Kita” yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seafield 3, Subang Jaya, Selangor pada awal tahun lepas.
Pendapat ini turut disokong oleh Doktor Susan, iaitu seorang Doktor Veterinar mengenai memupuk tabiat yang baik kepada kanak-kanak. Berikut adalah antara manfaat-manfaat yang di peroleh jika ibu bapa membenarkan si manja memelihara kucing sebagai haiwan kesayangan.
Ikuti ENAM info ini dikongsi sendiri oleh Doktor Susan Wan Mei Ki
1.Meningkatkan keyakinan diri
Apabila haiwan peliharaan bermain bersamanya, anak-anak akan berasa diri lebih dihargai. Dengan ini, keyakinan diri si kecil dipengaruhi oleh perasaan positif yang terbentuk oleh haiwan peliharaannya.
2.Prihatin kepada orang lain
Si kecil juga didedahkan dengan sikap bersimpati, menghormati pendapat dan perasaan orang lain serta bertimbang rasa. Mana tidaknya, jika kucing lapar, si kecil akan memberikan makanan dan minuman. Jika perilaku kucing nampak kelainan, si kecil tahu bahawa ‘teman kesayangannya’ sakit.
3.Mendidik
Anak yang diberi kebenaran untuk menjaga haiwan peliharaan dari kecil dilihat lebih berkeyakinan diri, pandai berkongsi, bekerjasama, bersifat berbelas kasihan, lembut hati dan sentiasa sedia berkongsi kegembiraan.
5.Sikap tanggungjawab
Biarpun penjagaan kucing dilakukan oleh ibu bapa, namun ia mengajar anak anda erti sikap tanggungjawab. Anak anda akan menyedari bahawa haiwan peliharaan memerlukan penjagaan sama seperti yang diperlukan manusia.
6.Menyemai sikap kasih sayang
Haiwan peliharaan adalah cara terbaik untuk menyemai sikap kasih sayang terhadap makhluk lain dalam diri kanak-kanak. Mana tidaknya, setiap pagi bangun tidur atau ke tadika akan memeluk dan mencium kucing tersayang. Pengalaman ini memberikan kesan positif kepada sikapnya.
Tahukah anda karektor kucing ialah:
1.Aktif
2.Manja
3.Suka main
4.Bersendirian
Info
*Merupakan haiwan yang boleh digunakan dalam merawat pesakit yang menghidapi trauma. Kanak-kanak autisme juga didapati memberi respons yang positif dalam sesi terapi dengan kucing”.
*Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada anjing dan kucing sukar mendapat alahan berbanding mereka yang tidak memiliki haiwan peliharaan di rumah.
Memang patut biarkan anak bela kucing kerana ia terapi buat anak sekali gus memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.