Anak Meninggal Selepas Merentas Desa Di Sekolah. Ayah Terkilan Tak Dapat Tunai Permintaan Terakhir!

Share

Membaca berita yang disiarkan di beberapa akhbar tempatan mengenai seorang pelajar lelaki yang meninggal dunia selepas menyertai latihan merentas desa di sekolah, serba sedikit terkesan pada diri kita sebagai ibu bapa.
Tiada siapa menduga kejadian seperti ini boleh terjadi dan mengetahui lanjut tentang berita ini, jom baca selanjutnya.

Pelajar lelaki sebuah sekolah agama meninggal dunia selepas pengsan ketika menyertai latihan merentas desa di Sungai Besar, semalam. Mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sebelum kejadian, pelajar itu menjalani latihan merentas desa sejauh 3.8 kilometer. Ini yang dilaporkan Harian Metro.

Menakala kisah ini turut mendapat liputan di Sinar Harian yang mana menurut apa yang dikongsikan di akhbar tersebut, kasut bola menjadi permintaan terakhir adik Muhammad Shaharif Mohd Sarbaini, 16 yang merupakan pelajar tingkatan 4 Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Sungai Besar. Bapanya, Mohd Sarbaini Kamarul Baharin, 50, berkata, arwah anaknya itu sempat bersembang dan memintanya membelikan kasut bola baharu pada malam kelmarin.


"Arwah nampak pelik malam sebelum kejadian. Biasanya arwah serius, tapi malam itu dia bergurau dengan saya.

"Saya bertanya kepada arwah sama ada dia inginkan sesuatu, arwah tersenyum dan maklumkan dia inginkan kasut bola untuk digunakan semasa pemilihan pemain bola sepak sekolahnya," katanya.

Mohd Sarbaini yang menetap di Parit 8 Sungai Besar berkata, dia terkilan kerana tidak sempat membeli kasut bola seperti dihajati Muhammad Shaharif.

"Saya memang berhasrat hendak beli kasut bola untuknya, tapi takdir menentukan arwah pergi dahulu meninggalkan kami sekeluarga," katanya.

Ujarnya, Allahyarham Muhammad Shaharif seorang yang aktif dalam sukan termasuk mewakili sekolah ke peringkat negeri dalam sukan kriket.

"Saya dimaklumkan arwah sempat menamatkan latihan merentas desa dan menduduki tempat keempat.

"Sejurus arwah sampai (menamatkan larian) ke sekolah, rakannya memberitahu Muhammad Shaharif terus mendapatkan air dan baring di beranda surau.

"Rakannya menghampiri arwah pada mulanya menyangka Muhammad Shaharif terlalu penat tapi terkejut apabila mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Katanya, dia yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Sungai Besar dihubungi seorang guru memaklumkan anaknya pengsan selepas latihan merentas desa dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar.

"Namun, segalanya berakhir apabila pegawai perubatan mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia.

"Saya reda dengan ketentuan ALLAH kerana arwah merupakan anak yang baik dan mendengar kata," katanya.

Katanya, jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap jam 10.20 pagi tadi (artikel ini disiarkan pada 15 Janurai)

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

"Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

sumber : Harian Metro & Sinar Harian