Berita

Anak Menangis Lihat Suspek Kes Bunuh Bapa, Tertuduh Kes Bunuh Sabari Didakwa Hari Ini

Share

Anak menangis lihat suspek kes bunuh bapa, tertuduh kes bunuh Sabari didakwa hari ini. Ahli keluarga pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom hadir di Mahkamah Majistret Kubang Pasu, Alor Setar, Kedah bagi mengikuti proses pertuduhan kes pembunuhan pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62.

Anak Menangis Lihat Suspek Kes Bunuh Bapa

Anak sulung Sabari, Suraiya Izzati, 29, yang menunggu di pintu masuk kelihatan hiba dan menitiskan air mata ketika dua suspek dibawa masuk ke bangunan mahkamah.

Terdahulu dua suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sabari tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi.

Sabari bergambar bersama anak-anak dan menantunya.

Dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu dijangka berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes bunuh Sabari dan dokumen itu sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, Isnin lalu.

Tertuduh Kes Bunuh Sabari Didakwa Hari Ini

Sebelum ini, dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun berkenaan direman selama seminggu dari 11 hingga 17 Oktober lalu, di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Kedua-dua suspek disiasat polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Media melaporkan Sabari, hilang pada 3 September lalu selepas dipercayai keluar dari rumahnya menaiki kereta Proton Waja miliknya.

Bagaimanapun, mangsa gagal dihubungi ahli keluarga serta tidak pulang ke rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling sebelum dilaporkan hilang.

Kehilangan itu bertambah misteri apabila kereta milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di Kampung Pulau Belantek, Sik.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.

Berikutan itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, polis menahan dua suspek terbabit pada 27 September bagi membantu siasatan.

Fisol dilapor berkata, hasil siasatan lanjut, suspek terbabit membuat pengakuan mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap, dekat Derang, Jitra dalam keadaan tangannya diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Operasi pencarian telah dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober melibatkan pelbagai agensi.

Namun, polis memutuskan untuk menghentikan operasi mencari pada 3 Oktober berikutan tidak menemui sebarang petunjuk.

Sumber: Harian Metro  Harian Metro 1

Baca artikel lain juga: Lelaki Warga Emas Hilang Lebih 2 Minggu, Kereta Ditemui Terbakar, Ada Pindahan Wang Ke Akaun Pihak Ketiga

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my