Anak Masuk Darjah 1, Ambillah Gambarnya Banyak-banyak. Kenapa & Mengapa, Ibu Ni Kongsikan Sebabnya!

Share

Anak kali pertama melangkah ke darjah satu, tentu macam-macam kisah dan ragamnya. Kadang-kala kalau diingat kembali boleh tersenyum sendiri kita dibuatnya. Malah tidak dinafikan, melepas anak-anak berdikari sendiri di sekolah juga membuatkan hati kita berasa sebak.

Senang cakap, begitu banyak memori dicipta oleh anak-anak kita hinggalah sampai suatu masa dan ketikanya anak-anak sudah membesar tanpa kita sedari. Hal ini turut dikongsikan oleh seorang ibu dan turut menyarankan agar ibu-ibu di luar sana untuk turut mengambil gambar kenangan anak-anak di hari pertama  persekolahan mereka. Kenapa dan apa sebabnya, jom kita  baca perkongsian daripadanya ini.

Banyak gambar anak orientasi darjah 1 hari ni.

Nasihat saya..

Ambiklah gambar banyak-banyak.
Ambiklah video puas-puas.

Dari hari beli barang sampailah hari habis orientasi.

Buat satu folder.
‘1st time school’.

Sungguh!

Sebab sampai satu masa kita tak sedar, anak kita dah nak sekolah menengah. Tetiba je hah.

Dulu mula-mula, kita cuti seminggu.
Ye ye jadi spy intai anak dari jauh.

Betul ke dia masuk kelas.
Betul ke dia pergi kantin.
Betul ke dia bayar duit.
Ambik ke tidak bakinya.

Masa dia nak masuk kelas, dia lambai kita.
Betulkan beg yang berat.
Sama berat pun dengan badan dia.
Tak sanggup tengok.
Rasa nak tolong.

Tapi kita tahan.
Kita biar.
Kita ambik gambar.

Lepas tu tiba masa rehat.
Bila dia nak jalan ke meja makan, nasi dia tumpah kawan langgar.
Anak kita muka blur.
Pandang kiri kanan.
Antara nak minta tolong dengan nak kutip nasi.
Antara nak nangis dengan nak bertenang.

Kita rasa nak lompat masuk pagar.
Nak tolong dia.
Kita pun nak nangis sama.

Tapi, kita tahan.
Kita biarkan.
Kita ambik gambar.

Pastu kang dia nak pergi tandas.
Selalu kalau pergi tandas awam, kita teman dia sampai depan pintu.
Ni dia kena pergi sorang-sorang.

Mana nak betulkan baju.
Mana nak jaga kain jangan basah.
Mana nak capai paip.

Rasa masa tu nak susup masuk tandas.
Nak teman dia macam biasa.

Tapi kita tahan.
Kita biarkan.
Kita ambik gambar.

Tu belum lagi….

Kisah kena denda tak siap kerja.
Kisah kejap kawan, kejap tak kawan dengan member.
Kisah hati kembang kena puji.
Kisah tak puas hati kerja kena komen.
Kisah terlupa bawa barang yang cikgu suruh.
Kisah hati galau pemadam kesayangan hilang.

Ada masa, balik rumah dengan hilai tawa gembira.
Ada hari, masuk kereta dengan linang air mata duka.

Semuanya. Dia akan hadap.

Sampai satu masa.
Kita tunjuk semula gambar anak kita pada hari pertama dia jejak kaki di sekolah sampailah ke sekarang.

“Tengok ni anak. Awak kuat. Awak dah hadap segala benda besar pada saiz awak yang sangat kecik. Awak adalah survivor.”

Begitulah. Cepatnya masa berlalu. Jadi….Ambiklah gambar. Jangan lupa! Supaya nanti kita tak lupa…

sumber : Siti Suryani Yaakop