Anak Malaysia Dinobat Juara Siri Rancangan Memasak UK, Ini Info Tentang Syabira Yusoff!

Share

Baru-baru ini tular tentang seorang rakyat Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemenang dalam siri rancangan televisyen terkenal United Kingdom (UK) iaitu The Great British Bake Off (GBBO) bagi musim ke-13.

Syabira Yusoff yang merupakan penyelidik kardiovaskular di London menyingkirkan dua peserta akhir dalam siri rancangan tersebut untuk muncul juara.

Menerusi episod final yang disiarkan, ketiga-tiga peserta akhir itu ditugaskan menghasilkan makanan berkelah pada musim panas menggunakan bahan bermusim dari seluruh UK.

Mereka perlu membakar kek mini, pai sayuran dan sandwic menggunakan roti putih yang mereka hasilkan sendiri.

Bagi memenuhi kriteria tema itu, Syabira menghasilkan pai tanpa daging babi menggunakan cendawan.

Syabira menyatakan kemenangan tersebut merupakan pencapaian terbesar dalam hidupnya.

“Semua kerja keras, percubaan dan kesalahan yang dilakukan adalah berbaloi. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.

Berikut enam info mengenai Syabira:

1-Syabira berusia 32 tahun.

2-Dilahirkan di Malaysia dan merupakan salah seorang daripada tujuh adik beradik.

3-Beliau berpindah ke UK pada 2013 untuk menyambung pelajaran peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dan kini bertugas sebagai Penolong Penyelidik Kardiovaskular di King’s College, London.

4-Syabira hanya mula memasak pastri dan kek pada tahun 2017. Beliau mempamerkan kelainan dengan menonjolkan ‘rasa’ Malaysia kepada masakan klasik British seperti rendang ayam pasties Cornish.

5-Antara menu yang disediakan Syabira di GBBO ialah kek baldu merah yang sering dikongsi bersama rakan-rakannya di rumah.

6-Idea untuk menyertai GBBO bermula dua tahun lalu apabila beliau mula menonton rancangan popular itu.

The Great British Bake Off merupakan siri realiti televisyen popular yang menyaksikan para peserta bersaing untuk menjadi pembuat roti amatur terbaik di negara ini.

Sumber: Utusan Malaysia, Sinar Harian