Anak Lemah Subjek Matematik, Ibu Ayah Tolong Buat Apa Cikgu Ni Tunjukkan!

Share

Ibu bapa mana yang tidak berasa gembira bila melihat pembelajaran anak-anak yang memberangsangkan. Syukur dikurniakan anak yang bijak dan mudah faham apa yang diajar oleh guru-guru.

Namun jika ada sesetengahnya anak-anak kita tidak dapat skor dengan baik sesuatu subjek umpamanya, jadi apa usaha kita sebagai ibu bapa untuk membantu anak-anak sewaktu mereka di rumah?

Cadangan dan saranan dari seorang cikgu ini elok dijadikan panduan. Jom semak apa katanya.


BAGAIMANA KITA BOLEH MEMBANTU ANAK YANG LEMAH DI RUMAH?

Baik, pagi ni aku kongsi tips untuk ibu bapa dan penjaga untuk bantu anak yang lemah dalam sesuatu topik khususnya mata pelajaran Matematik.

1) Download soalan peperiksaan pertengahan tahun/akhir tahun dan minta anak buat seperti mana tempoh peperiksaan. Google je, belambak soalan boleh dimuat turun dan cetaklah.

Boleh juga guna set soalan dalam buku latihan yang dibeli. Jangan benarkan anak meniru, tengok sifir dan bertanya dalam tempoh ini. Jangan bagi adik-adik dia kacau. Buat bagai peperiksaan yang sebenar.

2) Rujuk skema jawapan dan tanda kertas anak bersama dia. Kira markah dan tulis besar-besar macam cikgu selalu tulis. Buku latihan biasanya disediakan skema jawapan dibahagian tengah atau belakang.

3) Kesan topik apa yang anak buat silap dalam kertas soalan tersebut. Contohnya jika dia salah dalam topik Bahagi, Isipadu Cecair, Perpuluhan, Pecahan, Luas, Ukuran Panjang dan Jisim; listkan semua sekali.

Mula latih mereka secara topikal. Mula dulu dengan Bahagi. Bagi penerangan cara kira yang betul mengikut kefahaman kita. Bagi soalan Bahagi je banyak-banyak. Bagi sampai 50-100 soalan pun tak apa. Biar dia buat sampai dia faham betul-betul.

Ini dinamakan teknik masteri. Murid belajar satu-satu topik sampai dia betul-betul kuasai baru bergerak ke topik seterusnya. Tak semestinya dalam satu hari kita buat semua ini, mungkin makan masa 2-7 hari baru mereka kuasai.

Jangan risau bab masa. Lambat ke cepat dia boleh kuasai tu nombor dua. Yang penting latih tubi topik sama.

Buku latihan berbentuk topikal berlambak di pasaran. Beli sahaja. Bila dah kuasai, baru bergerak topik seterusnya yang mereka salah dalam peperiksaan. Latih tubi lagi sama macam topik Bahagi tadi.

Begitulah ulang dan ulang sehingga mereka kuasai semua topik yang mereka lemah tadi.

Langkah akhir sekali, beri semula soalan peperiksaan pertengahan tahun atau set soalan akhir tahun yang merangkumi semua topik.

Bagi anak jawab, InsyaAllah ada peningkatan yang mendadak.

********************************************

Aku tahu, pasti ada yang pertikai kenapa suruh ibu bapa ajar anak kat rumah. Pasti ada yang kata itu tugas guru.

Benar, tugas mengajar adalah tugas guru. Benar sekali.

Cuma perlu diingatkan guru mengajar secara kelas. Tak boleh hadap satu lawan satu. Tak boleh tumpu pada anak kita seorang. Tak boleh bagi perhatian macam ibu bapa boleh bagi secara one to one dengan anak.

Bila mengajar secara kelas, pasti ada murid yang ketinggalan. Yang mana mereka tak faham tapi mereka tak tanya pula. Bila mereka tanya, penerangan yang diberi mereka faham seketika. Pulang lupa pula. Tambah-tambah bila cikgu mula masuk topik yang seterusnya.

Topik yang mereka belum betul-betul faham, mereka akan tak dapat kuasai.

Ini tips KHAS UNTUK IBU BAPA YANG MAHU MEMBANTU anak-anak mereka belajar di rumah. Yang tak nak bantu, tak apalah.

Ini bukan paksaan. Ini bukan gesaan. Ini cuma tips bagi ibu bapa yang berkobar-kobar nak bantu anak, cuma tak tahu cara.

Nah, inilah caranya.

Silakan SHARE kepada kawan-kawan kalian yang jenis suka bantu ajar anak-anak di rumah juga.

Kerjasama ibu bapa dan guru pasti lahirkan generasi yang lebih berjaya.

Sumber : Mohd Fadli Salleh