
Sukar diungkapkan dengan kata-kata bila mana kehilangan insan yang paling disayangi. Apa lagi orang yang mengandungkannya selama 9 bulan, dibesarkan dengan kasih sayang. Malah si anak ini menjadi tempat ibu bergantung harap. Kini dia pergi buat selama-lamanya.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia secara mengejut kira-kira pukul 7 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia lapan bulan.
Dengan perasaan diselubungi pilu yang tidak terkira, ibu kepada pelawak terkenal Abam Bocey meluahkan rasa sayu membuatkan sesiapa sahaja mendengar turut menangis.
Ini yang dikongsikan saudara Khairul Hakimin Muhammad
dalam bingkisannya menerusi facebooknya semalam. Tulisan yang cukup menyentuh hati tular sehingga dikongsikan hampir 2k.
Dalam banyak-banyak berita semalam, saya membaca satu demi satu luahan Puan Sabariah Arshad. Termasuk video yang dimuat naik wartawan dan rakan artis. Ianya memang luahan sempurna seorang ibu.
Semalam, anak yang dikandung 9 bulan, dijaga rapi kemudiannya dewasa dan menjaga beliau dengan paling selesa, menghembuskan nafas terakhir di dalam tidur. Dikejutkan isteri namun tidak lagi bergerak dan bernafas. Maka pulanglah dia ke negeri abadi tanpa sedikit pun pesanan atau nasihat kepada yang tinggal.
Si ibu ini, setiap kali membuka mulut, keluarlah ayat,
“dia sabar dengan saya.”
“dia baik sangat dengan saya.”
“dia jaga saya baik-baik.”
“saya ni sakit, susah berjalan, susah nak buat itu nak buat ini, tapi dia sangat sabar dengan saya, tak pernah tinggi suara, semua dia buat ja.”
Maka inilah yang kita selalu dengar, anak lelaki, syurganya di bawah tapak kaki ibu. Bagaimana rumitnya nak menjaga, nak melayan dan menuruti kehendak ibu, tetap perlu disantuni dengan sebaiknya.
Disebalik gelak ketawa yang kita sering lihat dan terhibur, di luar sana, apabila dia pulang ke rumah, dia menghiburkan ibunya sendiri dengan layanan anak soleh.
Tak ada diberitahu sesiapa, tidak ada selfie sambil membantu ibu, semuanya penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Itulah Abam Bocey yang kita kenal.
Syurga tempatmu insya-Allah. Banyak saya belajar dari kematian almarhum. Semoga kita yang masih berpeluang melihat, sentuhlah hati sendiri dan belajar lihat dan pandang bagaimana seorang ibu menghulurkan kunci syurga dari tangannya sendiri kepada anaknya.
Itulah kejayaan paling besar buat ibu. Nanti berpelukan di sana, anak dah tunggu.
Ya Rabb. Doa kami, semoga Puan terus kuat dan tabah. Kami juga tidak setabah dan sekuat Puan, kehilangan anak adalah kehilangan paling besar buat seorang ibu, namun, bahu kami tetap ada untuk tahan sekejap tangisan, legakan sebentar keresahan. Semoga hal kecil ini dapat menenangkan puan.
Kawan-kawan, santuni emak kita sebaik-baiknya. Mereka sahaja ada kunci pintu syurga kita semua.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Nak masuk syurga juga.
Ada Bahagian Orang Lain Dalam Rezeki Kita. Kisah Nenek Menjual Makanan Ni Tarik Perhatian Netizen.

Apabila kita didik sejak kecil oleh ibu bapa mengenai sikap kemanusiaan, saling membantu dan pekerti mulia, sudah tentu ia menjadi amalan hidup kita seharian.
Tidak kiralah kita berharta atau tidak, sikap saling membantu dan menyantuni orang sekeliling menjadi amalan harian.
Begitulah yang dilakukan oleh seorang pemilik facebook, Missy Ezain yang melahirkan rasa simpati melihat kegigihan seorang nenek yang berniaga untuk mencari rezeki buat keluarganya.
Malah, kegigigan nenek yang berusia 70an ini, mengundang simpati apabila gerainya tidak mendapat sambutan. Dengan niat ikhlas ingin membantu, pemilik facebook ini telah menyeru agar mereka yang tinggal berdekatan dengan gerai nenek itu singgah memberi sokongan membeli juadah jualan nenek itu.
Lebih mengujakan, perkongsian ini telah mendapat perhatian netizen sehingga share cecah 14K share!
Dengan tujuan yang sama ingin viral bagi membantu nenek ini mendapat pelanggan lebih ramai.
Tengahari tadi. Tetiba je suami aku suruh aku singgah belikan die mee jawa & mee hailam kt kedai embah. Padahal time makan tengahari tu.
Masa break lunch hour aku pun bawak lah keta menyusur jalan-jalan kecik menuju kesana. Aku bukan pandai sangat pun jalan ipoh ni. Tapi aku ingatlah skit-skit jalan ke kedai embah tu sebab suami aku penah bawak beberapa kali sebelum ni.
Sampai je depan kedai tu, aku parking tepi jalan. Matikan enjin. Kedai ni didirikan betul-betul depan umah kayu dua tingkat. Nampak lama. Tapi bersih. Ala-ala rumah kampung dulu-dulu. Kiri kanan rumah kampung. Nama pun kampung melayu. Tak jauh dari situ ade surau. Ade dewan orang ramai. Tapi suasana agak sunyi sikit sebab kereta-kerata tak lalu situ. Sebab terpencil sikit dari jalan utama.
Suami aku penah citer. Masa die kecik-kecik dulu, masa nk balik sekolah die selalu singgah kedai embah ni beli jajan, kalau ade duit lebih sikit die beli lah mee jawa ke mee hailam ke laksa ke kat kedai embah ni. Aku agak kedai ni dah lama lah bukak. Dari zaman suami aku masih beringus sampai lah die dh beranak bini.
TAK RAMAI DATANG KE GERAI
Nak dijadikan citer, masa aku sampai tadi kedai tu sunyi. Takde orang. Kerusi meja banyak. Tapi kosong. Yang aku bleh agak kedai tu bukak bile aku nampak jajan-jajan bergantung. Tong plastik berisi biskut kacang, gula-gula bersusun atas meja kaunter.
Sampai je depan kaunter, aku bagi salam. Aku nampak pintu umah kayu tu terbukak. Kt dalam umah tu aku nampak ade sorang makcik tengah baring. Berehat agaknye. Sebelah die sorang pempuan. Ade sorang budak kecik dekat sebelah die. Anak cucu die gamaknye.
Bila deme nampak aku datang, makcik tu pun bangun perlahan—lahan ke depan kaunter.
“nak ape? ” tanya makcik.
“nak kutiyau hailam 1 ngan mee jawa 1”, balas aku.
“tapi kutiyau hailam nk tambah keropok yang macam dalam mee jawa tu yer” tambah aku lagi.
Makcik angguk je. Paham le kot gamaknye.
KEGIGIHAN SEORANG NENEK MENJUAL DEMI REZEKI
Dalam tempoh menunggu die siapkan order aku. Aku tengok kiri kanan atas bawah umah die dan kedai die. Aku nampak kt ampaian baju-baju opah & kain batik bersidai. Teringat kt mak aku kt kampung. Mak aku pun gemor pakai baju opah. Rumah die nampak season, cat dinding kayu pun mcm dh luntur.
Lepas tu, aku tengok kt dalam kaunter tu. Ade la nampak 4 5 bijik periuk besi atas dapor gas tu. Mungkin dalamnye berisi kuah hailam atau kuah mee jawa dah siap masak tunggu untuk diceduk aje.
Saiz periuk biasa-biasa aje. Mungkin sebab customer tak ramai mcm kedai mamak. Sebab tu makcik masak skala kecik je. Teka aku.
Dalam suasana sunyi tu, sambil menunggu makcik tu panaskan kuah, angin pulak bertiup sepoi-sepoi bahasa. Mengingatkan aku pada mak ayah kt kampung. Sayu pulak rasa hati. Pandangan mata aku beralih pada tangan makcik yg tengah bungkuskan mi ke dalam plastik.
Urat-urat timbul menampakkan usianya memang dh terlalu tua. Cara pakaian die hanya berserkup kepala, berbaju opah & berkain batik aje buatkan aku rindu betul kt mak aku. Mak aku time-time mcm ni mesti tengah baring-baring depan pintu sementara tunggu waktu azan zohor. Tapi makcik ni nampaknya gigih berniaga di usia senja begini. Hati aku dipanah rasa simpati. Kesian pulak kat makcik.
Aku nampak order aku dh siap bungkus. Aku bangun pegi ke arah makcik. Aku pun tanya “berapa makcik?” (aku tau dah berapa harganya sebab aku nampak menu & harga terpampang kt white board dekat dalam kaunter tu. Tp just nk confirmation aje).
“Rm6” kata die.
“keropok extra tadi makcik tak kire ke?” tanya aku.
“RM6.30” jawab makcik.
Aku macam terkedu kejap. Die cas keropok extra tu 30 sen aje. (kome bayangkan zaman mcm sekarang serba serbi mahal ni makcik ni cuma cas 30 sen jer). Dah la mi die jual murah-murah je. Rm3 je semuanya. berapa la sangat die dapat untung kalau mcm ni.
Aku keluarkan duit kertas RM5. Dan ade la RM1 dalam 8 keping. Aku bagi semuanya pada makcik. Die belek sehelai-sehelai. Nampak mcm die nk pulangkan baki. Tapi aku cakap kt die “makcik ambiklah semua yer, saya sedekah”
Dekat situ baru aku nampak muka makcik berseri sikit. Suka die aku tengok. Aku lagi suke tengok muka die mcm tu. Dari tadi nampak muram jer. Ini baru bercahaya sikit.
BERNIAGA TAK MAHU SUSAHKAN ANAK
Aku pun ape lagi start lah borak. Dari tadi mcm-mcm persoalan dalam benak sanubari ni. Mana tahu kot-kot aku boleh tolong.
“suami saya bagitau dulu masa die kecik-kecik suka singgah sini. Die teringin nak makan mi embah. Die suruh saya singgah beli”. Kata aku memulakan perbualan.
“sape? Die duduk mana?” Tanya makcik.
“kt kg rapat jaya tambahan sana nun. Saya pun xtau ler embah kenal die ke tak.. ” sambil aku menuding jari arah kampung sana.
“ramai dulu budak-budak datang. Tengok muka makcik cam lah kot” balasnya.
Aku pun tanya lagi. “petang-petang ramai ke orang datang kedai?”
“sekarang tak ramai dah.. Dulu ramai lah..” jawab makcik. Ada getar sikit dihujung ayatnye.
“makcik tinggal dgn sape?” ini lah masa yg ditunggu-tunggu. Aku memang nak sangat tanya ni.
“dengan anak.. ” dia jawab.
“suami makcik ade lagi ke?” tanya aku.
“suami takde dah..” jawabnya.
“jadi makcik duduk berdua dengan anak ke?” tanya aku lagi.
“a’ah.. Suaminye ade juga” jawabnya.
“berapa umur makcik”
“77” dia jawab. Wahh lebih kurang baya ayah aku jer.
Aku memang nak tanya lagi. Belum cukup puas hati lagi.
“anak-anak makcik ade berapa orang?”
“anak ade 3. Yg kt tinggal kat rumah ni anak bongsu” jawabnya.
“anak-anak makcik ade kirim duit ke?” aku mula tanya soalan sensitif. Sebab ini yang aku betul-betul nak tahu. Segan jugak aku nk tanya ni.
“ade.. Tapi jarang-jaranglah bagi sebab diorang pun keje biasa-biasa jer” die menjawab sambil tunduk ke bawah. Mungkin segan nk cerita. Agak aku. “suami makcik ade tinggalkan pencen ke?” aku rendahkan suara sikit agar makcik rasa selesa dgn soalan aku yg makin mencabar ni.
“takde.. Harapkan berniaga je lah”. Suaranya makin tenggelam. Sedikit emosi. Buat aku rasa lagi simpati.
Di akhir perbualan sebelum aku meninggalkan kedai embah, die sempat berkirim salam kepada suami aku. Mungkin die rasa bersyukur, ade lagi anak-anak yang masih sudi nk datang membeli ke kedainye.
Sungguh.. Sungguh aku simpati. Di usia begini. Mak ayah aku tak kerja dah. Duduk rumah je tunggu anak-anak bagi duit tiap-tiap bulan. Tapi embah. Dalam usia begini. Masih perlu berniaga untuk cari rezeki yang tak seberapa. Mungkin ini aje pilihan yang dia ada untuk dapat duit untuk penuhi keperluan hidup. Nak baya bil api air semua.
MOGA BERTAMBAH REZEKI BUAT NENEK NI
Buatkan aku lebih kasihan, kedai dia kurang mendapat sambutan. Aku tahu masyarakat kawasan tu tahu kedai die beroperasi. Cuma mungkin saingan dari kedai lain yang tawar hidangan lebih sedap dan pelbagai. Dan lokasi yang lebih strategik. Iaitu di tepi jalan-jalan utama.
Aku terpanggil untuk menulis cerita tengahari tadi disini sebab aku kasihankan embah. Die ade effort untuk meniaga pelbagai jenis mi. Walaupun dia masak sedikit. Tapi menu itu ADA.
Harga jauh lebih murah. Simple. Setanding dengan harga. Tapi rasa serius sedap.
Boleh aku katakan rasa mcm air tangan mak-mak kite kt kampung. kalo tak sedap takkanlah suami & mak mertua aku mengidam nk mkn mi die tengahari buta. Bak kata suami aku. Rasanya x berubah dari zaman die kecik dulu sampai sekarang.
Bayangkan pulak kalau pelanggan dah tak ramai. Mcmana die nk cover modal yang die dh keluarkan untuk jualan hari tu? Bayangkanlah jika hanya aku sahaja pelanggan die untuk hari ini. Rm13 aje mana nak tanggung. Kesian beb..
Izinkan aku untuk menyeru semua. VIRALKAN post ni.
Aku tak mintak banyak. Korang datanglah, singgahlah kedai dia. Kalau taknak makan, bungkuslah sikit boleh bagi anak-anak atau kawan-kawan. Semoga niat baik kita nak membantu ekonomi die termakbul.
Kalau ade yang kenal embah bolehlah share dekat komen. Aku nk tahu jgk latar belakang die. aku tulis panjang-panjang ni sebab aku nak tolong die SAHAJA tak lebih dari itu.
Kalau ade yang nk datang kedai dia boleh cari kat alamat ni:
Regat rapat jaya 2, kg rapat jaya, 31350 ipoh.
(kedai die dalam kampung melayu dekat dengan TUDM)
#Aku nk mintak tolong korang komen yg baik-baik & yg positif aje. Mohon jgn kecam sesiapa. Maaf sbb penulisan aku x bape cantik sbb aku org biashe-biashe je.
TERKINI SETELAH VIRAL
Selepas viral, kedai nenek berkenaan dikunjungi ramai. Malah ada yang memberi turut berkongsi lokasi kedai nenek ini berserta alamat
Semoga niat baik pemilik facebook berkenaan dirahmati. Sesungguhnya setiap dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.
Kredit: Missy Ezain
Begini Cara Buat Baja Suburkan Tanah & Pokok. Guna 5 Bahan Ni Je. Boleh Bantu Rawat Air Dalam Kolam & Aquarium Juga!

Tanaman dan pokok-pokok yang kita tanam jika hidup subur pasti buat kita rasa senang hati. Berbaloi berpeluh dan patutlah orang kata berbakti kepada tanah ini memang meninggalkan kepuasan yang berbeza bagi yang menanamnya.
Menuai hasil tanaman sendiri seperti cili, tomato, sawi, terung, bendi dan sebagainya di halaman rumah mahupun pada mini kebun pasti memberikan kepuasan yang tidak ternilai.
Selain menjimatkan belanja dapur, hasil tanaman ini juga boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Namun ada kalanya tuaian tanaman tersebut kurang memberikan hasil yang memberangsangkan. Jom ikut petua yang diberikan oleh Sepang Farmville untuk menghasilkan baja organik yang baik sebagai penggalak pokok.

Kita suka kan kalau pokok kita subur dan cantik gebu gebas kan? Hari ni mari kita belajar buat baja organik PSB(photo synthetic bacteria).
Baja ni sgt baik utk pokok. Bahan2 pun mudah ja. Antara faedah PSB ialah untuk kesuburan tanah dan pokok, penggalak bunga. Guna seminggu sekali pada tanaman.
Malah, baja ini juga boleh juga digunakan untuk merawat air dalam kolam/aquarium. Caranya sama dengan merawat tanaan. Hanya tuang masuk dalam kolam atau aquarium.
Resipi:
3 biji telur(hancurkan skali dgn kulit telur)
2 sudu ajinomoto
1 sudu belacan
3 sudu sos ikan
5 liter air tanpa klorin
(boleh tadah air paip dan simpan semalaman sblm guna/air mineral/air telaga/air sungai/air terjun dari 7 gunung)
Cara membuat:
- Untuk sukatan tu boleh letak lebih, takde masalah. Kita nk buat baja organik, bukan nak buat adunan kek.
- Masukkan semua bahan tersebut ke dalam botol air 5 liter dan goncang. Jemur tengah panas. Jemur selama sebulan atau sehingga telah bertukar warna menjadi “crimson red”.
- Buka sedikit penutup supaya ada pengudaraan ketika proses penghasilan bakteria.
- Nk cepat sikit, tambah pati PSB(jika ada). Proses akan jadi lebih cepat, dlm 2 minggu dh boleh guna.
- Nnti dh jadi, guna 5ml pati PSB dengan 1 liter air tanpa klorin. Kemudian spray pada medium dan bawah daun. Selamat mencoba dan moga berjaya.
#psb #bajaorganik #photosynthesisbacteria #bacteriabaik
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Dulu Mudah & Tak Pening Cari Pengasuh. Sebab Itu, Ibu-Ibu Kena Bersabar & Bijak Atur Masa-Tun Hasmah

Wajah penuh keibuan ini nyata sangat mesra dengan siapa sahaja biar pertama kali bersua muka.
Penulis menelusuri isi hati insan bernama Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali mengenai kehidupannya yang pernah bergelar Wanita Pertama ke-4 apabila suami kesayangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri.
Dan kini sekali lagi, beliau menyandang gelaran tersebut bila mana suami kesayangannya sekali lagi dilantik sebagai orang nombor satu negara sekali gus bergelar PM ke-7.

Jujur mengakui tidak pernah menyiapkan diri sebagai isteri perdana menteri, sebaliknya jawatan doktor yang disandangnya banyak membantunya.
“Cabaran sentiasa ada tetapi tidak banyak sebab saya sudah biasa berkecimpung dengan masyarakat. Meskipun mereka masyarakat yang berpenyakit tetapi saya mudah mesra dengan mereka dan sebagai isteri pemimpin itu yang penting sekali.
“Bermesra dan bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung dapat menjaga watak atau karakter kita supaya bukan sahaja bagi gambaran yang baik tetapi secara tidak langsung menjaga nama baik suami. Jika kita buat sesuatu nanti orang akan menyebut itulah isteri kepada orang itu ini. Gambaran sebegini sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat.
Risiko tidak diterima oleh masyarakat memang buruk terutama bagi isteri kepada pemimpin. Alhamdulillah sepanjang suami saya menjadi pemimpin, yang buruk itu tiada, apatah lagi yang boleh menjejaskan suami. Baik ketika suami bergelar menteri sehinggalah menjadi orang nombor satu Negara.
“Bukan kerana saya sudah siapkan diri untuk itu tetapi jawatan doktor yang saya sandang itu banyak membantu. Masyarakat sangat hormat pada doktor kerana kita membuat kebaikan. Keduanya, bagaimana kita berusaha dengan masyarakat dengan berhubung rapat dengan mereka. Kalau kita tidak tegur, sombong dan wajah itu akan menunjukkan penampilan kita. Justeru, sebagai doktor sudah bersiap sedia bagaimana mahu kerjasama dengan masyarakat.
“Tidak kira suami menjadi pemimpin atau tidak, tetapi status isteri yang disandang itu, kita kena bersiap sedia dalam segala hal,”ulas Tun Hasmah sambil memberitahu tanggungjawab isteri pemimpin kena sentiasa berada di belakang suami dan memberi sokongan sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan kerana itulah tugas utama seorang isteri.
Sentiasa di belakang suami
Jujur mengakui bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin, namun berkat sokongan suami dan keluarga, beliau berjaya mengharunginya.
“Bergelar isteri pemimpin dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai doktor, bukan perkara yang mudah. Apatah lagi, saya perlu berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimana cara kita yakinkan untuk membantu mengubati penyakit mereka itu yang penting. Alhamdulillah, saya melalui perjalanan sebagai doktor dan isteri pemimpin negara dengan baik.
“Sebagai ibu pula, lebih-lebih lagi apabila kita sebagai pegawai kerajaan. Kena bijak atur masa sebagai isteri, ibu dan tidak lupa wanita berkerjaya. Soal masa tidak timbul kerana tidak ada banyak masalah. Waktu dulu nak cari pengasuh mudah. Dulu ada ipar duai di rumah yang boleh diharap untuk bantu jaga anak-anak. Begitu juga dengan pembantu rumah yang tua dan berumur yang memang boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Memang mudah dan tidak perlu peningkan kepala seperti sekarang.
“Kami dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Mazhar dan Maizura. Yang sulung, Marina ada pemikiran sendiri dan sedikit mengikut jejak langkah ayahnya. Berdikari dan tegas dalam pendirian. Yang kedua, Mirzan lebih minat pada kewangan dan pandai uruskan bidang tersebut. Yang ketiga, Melinda pula sepenuh masa suri rumah yang menjaga anak-anak sepenuh masa. Dia sangat low profile.
“Yang keempat, Mokhzani pula bijak dalam pengurusan dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas. Dia ada karakter seorang pengurus yang cekap baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Mukhriz pula lebih menjurus kepada saya. Tetapi bab tanggungjawab dia banyak ikut jejak langkah ayahnya. Dia lembut tetapi tegas. Yang keenam Mazhar dan yang ketujuh, Maizura masih bujang dan ada cita-cita sendiri.
“Cuma, sekarang ini memandangkan yang lain ada yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tinggal yang bongsu lebih rapat memandangkan dia masih bujang dan kebetulan tinggal bersama kami. Sebagai ibu saya sentiasa galakkan anak-anak dan demikian juga untuk yang bongsu ini. Saya bantu dan galakkan supaya dia tidak rasa ketinggalan dalam keluarga.
Saya ada tiga anak lelaki dan masing-masing ada karenah tersendiri. Kalau ikutkan anak yang paling nakal Mokhzani waktu kecil dahulu. Tetapi dia yang paling prihatin dalam banyak hal dan sangat melayan andai ada tetamu datang ke rumah. Mirzan pula pernah sekali dapat surat daripada ayahnya kerana malas belajar, selepas itu barulah dia berubah.
“Waktu kecil juga, jika ada yang membuat salah dan ayahnya mahu jatuhkan hukuman, semua anak-anak akan dipanggil supaya mereka dengar apa kesalahan dan denda yang dikenakan,” jelas Tun sambil memberitahu, dia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap anak-anak sebaliknya bersedia bila-bila masa untuk mereka datang bercerita masalah atau sebagainya.
Kena banyak sabar
Status dan pangkat yang disandang bagaimana pun bukanlah tiket untuk anak-anaknya bermewah dan hidup seperti di dalam sangkar emas. Sebaliknya, Tun menegaskan kepada anak-anak supaya kena usaha sendiri jika mahukan sesuatu.
“Apa jua kemudahan tidak akan datang bergolek jika tidak berusaha. Ini nilai-nilai mulia yang harus diajar pada anak-anak. Yang utama, hormat kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memberikan sesuatu kepada kita. Jadi kita kena balas dengan ucapan terima kasih. Kedua, kerja keras manakala yang ketiga amanah dan keempat jangan boros dan kena tahu uruskan wang ringgit dengan bijak.
“Selain itu kena juga praktik kan dalam diri anak-anak amal bakti dan kebajikan supaya dalam diri terbit rasa kesedaran dan keinsafan selain bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan lagi satu kena banyak bersabar.
“Saya berkahwin lambat. Waktu itu, umur 29 tahun tu kira lambat tetapi Alhamdulillah kami dikurniakan anak dan dapat membesarkan mereka dengan baik. Lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran. Saya dan suami sudah sepakat, apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kami akan hadir di konvokesyen mereka dan itu kami praktik kan pada semua anak-anak.
“Zaman dulu tidak sama seperti sekarang. Dulu waktu anak-anak tengah periksa, saya tidak terbang kerana ingin berada bersama mereka supaya mereka tidak risau. Seperti menantu-menantu lakukan kini bagi anak-anak mereka.
“Kalau nak dibandingkan ibu dahulu dengan kini jauh bezanya. Saya faham situasi ibu sekarang kerana era sudah bertukar, kalau zaman saya dulu tiada internet, sosial media dan sebagainya. Anak-anak dulu tekun dengan apa yang ibu cakap. Malah minat mereka juga simple tetapi sekarang sudah bertukar ditambah pula kini zaman informasi. Tidak perlu penat mencari, segalanya boleh diperoleh hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa sekarang profesional dan masa untuk anak-anak terbatas
“Tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kita. Walaupun sibuk wajib ambil berat pada anak-anak. Tiada alasan sibuk dengan kerja jika sayangkan masa depan anak-anak. Sungguhpun sekarang zaman informasi, elakkan membiarkan anak-anak terperuk atau terkurung dalam bilik dan melayani komputer.
“Kalau nak tengok televisyen kena di ruang tamu atau bilik keluarga. Ini bagi mengelakkan anak-anak bersendirian di dalam bilik tanpa bergaul dengan ahli keluarga yang lain,” cerita Tun lagi sambil mengakui momen paling indah dalam hidupnya adalah sewaktu melahirkan anak-anak dengan selamat dan membesar dengan baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi.
Suka muzik
Seperti mana wanita biasa lain, beliau juga mempunyai minat tersendiri terutama dalam bidang muzik selain suka membaca, menulis dan menonton.
“Kalau dulu saya suka bermain piano dan sebagainya. Saya suka muzik dan kebetulan dalam keluarga ada yang berdarah muzik. Sebab itu saya jatuh cinta dengan bidang ini. Kadangkala waktu reunion keluarga, kami akan berkumpul dan waktu masing-masing akan tunjukkan kebolehan masing-masing. Tetapi sekarang mata saya sudah tidak nampak jadi kuranglah nak main piano dah tak nampak ‘taugeh’ di kertas,” seloroh Tun lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017