Masih belum habis persoalan mengenai pengasuh yang masih diperkatakan. Rata-rata semua ibu bapa menyokong bila mana kerajaan mewajibkan pusat asuhan di setiap agensi kerajaan.
Satu tindakan yang perlu segera dilakukan. Barulah senang hati ibu-ibu untuk bekerja sepanjang hari. Bukan itu sahaja, masa juga dapat dijimatkan bila mana tidak perlu mengambil dan menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh. Sangat menjimatkan masa.
Secara positifnya, anak-anak pun punya lebih masa dengan mak ayah bila mana boleh ke tempat kerja bersama-sama.
Tak mahu terus undang padah dan memilih jalan selamat tanpa perlu merasa bimbang, memilih Taska di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah jaminan paling selamat buat ibu-ibu.
Ini jawapan dan hujah Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor, Puan Mahanom Basri yang juga merupakan pakar industri negara dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Kes kematian Allahyarham bayi Adam Rayqal Mohd Sufi yang berumur 5 bulan sangat mengejutkan rakyat Malaysia di mana telah hilang kemanusiaan serta tidak boleh diterima .
Saya sekadar ingin berikan sedikit nasihat buat semua dalam memilih.
Pertama
1)Semua yang terlibat mengasuh anak tak kira di TASKA atau di rumah mesti mempunyai latihan berupa ilmu dan kemahiran mengenai aspek perkembangan serta mengurus anak.
2) Mereka juga mesti sihat dari segi jasmani, emosi serta rohani di mana anak adalah anugerah Tuhan yang perlu diberi penuh perhatian dan kasih sayang.
3)Aspek keselamatan dan pertolongan cemas juga perlu diberi kepada setiap pengasuh serta sop berkaitan supaya tak mudah panik. Bertindak segera dan pantas.
4) Ibubapa mesti bijak memilih TASKA yang berdaftar di bawah JKM dan mempunyai perakuan pendaftaran. Malah pengasuh/pendidik mesti memiliki sijil Kursus Asuhan dan Didikan Awal kanak-kanak PERMATA bagi yang telah lebih 6 bulan bekerja atau sekurang-kurangnya sijil berkaitan perkembangan kanak-kanak.
Lebih terjamin selamat dan kurang risiko
Mengapa Taska dikatakan lebih selamat buat anak-anak kita. Ini yang anda perlu tahu.
1) TASKA berdaftar mematuhi peraturan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dari aspek keselamatan. Mesti menyimpan rekod fire drill dan segala requirement yang lain.
2) Aspek kesihatan dari Jabatan Kesihatan antaranya pengasuh mesti mendapat suntikan TY2 dan mengikuti kursus pengendalian makanan serta kebersihan premis
juga sijil pest control.
3) Pihak berkuasa tempatan juga akan memastikan bangunan /premis sesuai dari segi ruang bermain dalam dan luar. Pencahayaan, pengudaraan yang mencukupi serta penggunaan keseluruhan ruang yang kondusif untuk kanak-kanak.
4) TASKA mempunyai program shedule harian yang sistematik di mana setiap peringkat umur anak membuat aktiviti yang berbeza mengikut potensi dan keupayaan.
5) Pemakanan juga sangat dititikberatkan bermula dari memilih menu yang seimbang dan berkhasiat, mempunyai kuantiti yang bersesuaian mengikut tahap umur, penyediaan sehingga menghidang makanan.
6) TASKA juga mempunyai Buku Log harian yang mengandungi semua elemen asuhan serta pembelajaran. Hatta najis pun kita catatkan tekstur, warna supaya ibubapa dan pengasuh ada kesinambungan.
7) Aktiviti penglibatan ibubapa yang dapat memberi peluang ibubapa berbincang dan memberi pandangan kerana ibubapa adalah rakan kongsi mendidik anak. Walaubagaimana kesibukan mereka , ibubapa tetap pengasuh utama kanak-kanak.
Jadi ibu ayah, tepuk dada dan tanyalah selera. Jangan hanya kisahkan wang dan kos sahaja, apa yang lebih utama adalah memikirkan soal keselamatan anak-anak kita sepanjang hari.