Perkongsian kisah daripada Encik Hyzer Habeeburrehman dan Puan Sherin Mohd Yasin, mengenai anaknya Heily Jasmine, 4 tahun yang secara tiba-tiba disahkan ada tumor di bahagian otak, seharusnya diambil peringatan oleh setiap ibu bapa agar kita sama-sama mengambil berat terhadap kesihatan anak-anak kita.
Menurut perkongsian kisah wanita yang cukup tabah ini mengenai anaknya Heily, semenjak dilahirkan hingga sebelum di diagnose menginap tumor otak. Anaknya itu sama seperti anak-anaknya yang lain, sihat dan aktif.
“ Heily atau juga lebih mesra disapa Bubu dilahirkan normal pada 11 Sept 2013 dan merupakan anak yang cukup manja dan juga aktif. Minatnya adalah semua super hero, memang semua permainan lelaki sajalah, kalau cakap mudahnya. Dia langsung tidak menunjukkan apa-apa tanda yang menyatakan dia sakit. Main macam biasa.
“Cuma sebelum tiga minggu di diagnos ada ketumbuhan di otaknya, Bubu ada muntah-muntah dan panas badan. Demamnya pula on and off
. Saya merasakan itu demam yang biasa sahaja sebagai mana melalui pengalaman membesarkan dua orang anak sebelum ini.”Demam Serta Muntah
“Dua tiga hari sihat, lepas itu muntah lagi hinggalah suatu ketika dia muntah hingga jadi lemah tubuhnya. Jadi kami bawa ke DEMC Specialist Hospital, Shah Alam memandangkan hospital ini menjadi pilihan utama keluarga kami. Tapi masalahnya, bila tiba di sana wad pula penuh dan pihak hospital merasakan tidak sesuai untuk dilakukan pemeriksaan lanjut. Kami diberikan offer latter untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital lain.
“Jadi kami bawa Bubu ke hospital lain, jam 9.00 malam anak kami telah pun diwadkan. Tiga malam kami berkampung di sana dan akhirnya doktor putuskan hanya masalah pada perut, itu yang menyebabkan Bubu muntah-muntah. Kami akur dan turut berasa lega Bubu telah sembuh bila dibenarkan pulang.
“Namun selang dua hari kemudian, muntah lagi. Kami jadi pelik akan penyakit Bubu, pun begitu keadaannya masih dilihat aktif. Hinggalah pada suatu pagi, apabila dia bangun sahaja daripada tidur terus muntah-muntah dan keadaannya menjadi sangat lemah dan saya baringkan di atas sofa sambil saya dan suami cuba Goggle di internet tentang apa penyakitnya itu.
“Ya Allah, masa itu apa yang terpapar di skrin telefon cukup mencemaskan kami. Semua tanda-tanda yang Bubu alami adalah simptom penyakit-penyakit kronik! Lalu kami bergegas ke DEMC Specialist Hospital sekali lagi untuk dapatkan rawatan lanjut,” cerita Sherin satu persatu dengan tenang.
Tetap Positif
Setibanya di sana,pelbagai proses pemeriksaan dilalui dan semuanya seakan lancar. Bermula dengan penempatan wad dan seterusnya hingga selesai operasi pembedahan.
“Segala-galanya berjalan lancar, Allah pemudahan setiap urusan saat kami sekeluarga harungi detik getir itu. Sampai sahaja hospital, kami menunggu tidak terlalu lama untuk dapatkan bilik. Ketika itu keadaan Bubu saya lihat semakin teruk.
“Jika dia terlena seketika, dia akan bangun tersentak dan menjerit mengatakan sakit kepala. Bila saya melihat keadaan Bubu, jujur saya katakan saya pilu melihat keadaannya. Namun ketika itu, saya cuba untuk berlaku tenang, positif dan mengharapkan yang baik-baik sahaja,” tokok Hyzer sambil diakui oleh isterinya yang berada di sisi.
Sambil menyambung lagi, “ Pun begitu, walau pun doktor telah membuat pemeriksaan namun hati saya tertanya-tanya kenapa doktor lambat bagi keputusan. Ketika ini 1001 perasaan ada dalam hati kami sekeluarga. Serius atau tidak? Persoalan ini terus berlegar-legar mencari jawapannya.
“Hinggalah apabila kami diberitahu bahawa Bubu ada brain tumor. Terkasima, terkejut, tidak mahu percaya dan semuanya tidak keruan. Untuk orang yang bukan berlatar belakangkan ilmu medical, bila disebut tentang kanser atau ketumbuhan bagi kebanyakan daripada kita hanya memikirkan soal mati. Apatah lagi bila penyakit ini membabitkan bahagian kepala,” ujarnya lagi.
Berdepan dengan situasi begini, meminta untuk Sherin dan Hyzer menerima cadangan terbaik daripada pihak hospital agar segera melakukan pembedahan demi menyelamatkan Bubu.
“Apa yang kami inginkan, kesembuhan untuk Bubu. Jika melalui pembedahan adalah kaedah terbaik untuk membuang tumor di otak Bubu. Kami akur, semuanya kami serahkan kepada doktor yang pakar dan pembedahan tersebut dilakukan serta-merta.
“Dan alhamdulillah, keputusan yang cepat telah dibuat dan kini Bubu kembali aktif dan sihat. Syukur tidak terhingga kami sekeluarga ucapkan kepada pihak hospital yang telah berusaha sebaiknya untuk menjayakan operasi pembedahan tersebut,” ujarnya di akhir perbualan.