Kisah lelaki ini pernah tular sebelum ini apabila mengambil keputusan untuk menyerahkan empat daripada enam anak di bawah jagaannya kepada orang lain akibat tidak berkemampuan untuk menjaga mereka.
Di dalam perkongsian tersebut menyatakan arwah menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan tidak mampu bekerja selain perlu membesarkan semua anaknya selepas bercerai dengan isterinya dua tahun lalu.
Disebabkan itu, dia mengambil keputusan menyerahkan empat anaknya kepada rumah kebajikan demi masa depan mereka.
Terbaru, bapa kepada enam anak ini dilaporkan meninggal dunia selepas pulang dari mengerjakan umrah.
Berkumpullah anak-anak arwah Bro Bob Hse menatap saat terakhir wajah arwah ayahnya. 6 orang semuanya. Paling kecil setahun lebih. Dia menjerit nak ayah bila lihat ayahnya dikafankan. Maklumlah hidupnya dengan ayah nya. Dari kecil tak rasa kasih sayang seorang ibu. Bangun tidur ayah, merengek dekat ayah, merajuk tunggu ayah pujuk.
Semoga arwah abang saya diturunkan rahmat dan pengampunan buatnya. Allah humma aamiin.
Perkongsian ini dimuat naik oleh Mohd Zatullah Kamarudin, adik kepada arwah menerusi laman facebooknya semalam.
Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang sebaik tiba di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu tidak sihat.
Adiknya Mohd Zatullah, 27, berkata dia menjemput arwah yang baru pulang menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 2 petang.
“Ketika itu abang sudah kelihatan tidak sihat lalu saya terus bawanya ke HTJ untuk rawatan. Sebaik tiba di hospital, saya pimpin abang dan meletakkannya di atas kerusi roda.
“Namun, abang tiba-tiba rebah dan pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepadanya sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Zatullah yang juga pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina, Seremban berkata, arwah abangnya menerima tajaan menunaikan umrah itu dan dia ke Tanah Suci bersama seorang rakan.
“Arwah amat gembira apabila dapat menunaikan umrah dan sepanjang arwah di sana, saya mengambil tanggungjawab menjaga enam anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun.
“Saya tidak sangka dia akan ‘pergi’ selepas tiga jam pulang ke tanah air,” katanya yang turut memaklumkan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, jam 11 pagi tadi.
Sumber : Paan Ovrtd, Md Zatullah Kamaruddin